:: My gangS :: TQVM

Tuesday, April 26, 2016

Bab 1 Assalamualaikum Cinta

Salam.. bersiaran kita di awal pagi..hehe
okeyhh.. Bab 1 Assalamualaikum Cinta..
untuk bacaan-bacaan awal  :)






BAB 1 



PUAN SRI ATIKAH duduk termenung panjang di meja makan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis sarapan yang sudah sedia terhidang. Itulah yang sering dilakukannya setiap pagi setelah dia bersara dari dunia korporat hampir lima tahun yang lalu. Setia menunggu cucu-cucunya untuk bersarapan bersama-sama. Dan untuk ketika itu jugalah dia dapat berpeluang mengambil masa untuk bertanya khabar dengan kedua-dua warisnya itu. Yelah masing-masing pun semakin sibuk dengan tanggungjawab yang dipikul. Keluar awal pagi dan lewat malam baru lah nampak bayang muka. Dan semestinya saat itu dia tidak mahu untuk melepaskan peluang untuk bertemu muka dengan kedua-dua cucunya yang paling disayanginya itu. 
Seketika dia tersenyum sendiri. Mula teringatkan akan kenangan-kenangan lama ketika dia masih bersama dengan anak-anak dan menantunya. Ketika itu kedua-dua sulung dan bongsunya, Fazlan dan Fakhrul masih lagi bersamanya. Masing-masing  sedang bahagia dengan isteri dan anak-anak yang sudah berusia lima tahun. Dan Puan Sri Atikah tidak dapat menafikan yang itulah antara saat paling bahagia di dalam hidupnya. Walaupun ketika itu arwah suaminya sudah tiada di sisi. Meninggalkannya dengan anak-anak akibat sakit jantung yang mengejut. 
Namun kebahagiaan yang dikecapi itu tidak bertahan lama. Anak-anak dan menantunya itu terlibat di dalam kemalangan sehingga meragut nyawa masing-masing. Ketika itu mereka sekeluarga sedang di dalam perjalanan untuk pergi bercuti. Yang terselamat hanyalah dia dan kedua-dua cucunya yang masih lagi kecil. Lama juga Puan Sri Atikah mengambil masa untuk melupakan semuanya. Lagi-lagi apabila Rykal dan Azrif terlalu kecil untuk memahami apa yang sudah terjadi. Semuanya menjadi cabaran yang kuat untuknya membesarkan Rykal dan Azrif yang sudah bergelar anak yatim piatu itu.
Dan kini setelah dua puluh lima tahun kejadian itu berlaku, barulah dia boleh mengeluh kelegaan. Rykal dan Azrif sudah pun menjangkau usia tiga puluh tahun ketika ini. Sudah cukup matang untuk mengendali hidup sendiri. Masing-masing agak rapat dengan sesama sendiri seperti adik beradik kembar walaupun mempunyai hubungan sepupu. Dia pun sudah tidak lagi mengambil tahu akan syarikat yang menjadi peninggalan arwah suaminya itu. Semuanya sudah diambil alih oleh Rykal Safuan dan Azrif Iqbal.
“Fazlan, Fakhrul.. mama janji mama akan jaga Rykal dan Azrif selagi umur mama masih panjang.. selagi tubuh mama masih lagi kuat.” Puan Sri Atikah berkata perlahan. Seakan-akan berjanji pada dirinya sendiri. Dan tanpa sedar ada air mata yang bergenang di kelopak matanya.
Sungguh ketika ini hanya Rykal dan Azrif sahajalah yang menjadi tempatnya untuk bergantung harap selain menjadi penghibur hatinya di kala kesunyian. Dan semua itu menunjukkan tidak tergambar kasih-sayangnya pada Rykal dan Azrif. Infiniti!
Sekilas dia sempat mengerling ke arah dinding ruang tamu yang menempatkan satu frame gambar besar yang diletakkan di ruangan itu. Satu gambar keluarga yang diambil pada hari raya puasa dua puluh lima tahun yang lalu. Itulah antara gambar-gambar terakhir bersama-sama dengan anak dan menantunya sebelum mereka semua pergi. Terlalu banyak kenangan pahit manis yang tersimpan kemas. Walaupun begitu dia sudah pun reda dengan apa yang sudah berlaku.
“Rykal, Azrif.. tok ma sayang sangat dengan kamu berdua.” Sambung Puan Sri Atikah lagi dengan nada perlahan. Hujung kelopak matanya dikesat sedikit dengan ibu jari. Tidak mahu kedua-dua cucunya itu perasan dengan emosi yang agak sensitif pada pagi ini.

BUNYI AIR dari singki bilik air dari sebuah banglo dua tingkat yang terletak di pinggir sebuah bandar kedengaran mencurah-curah keluar. Satu figura seorang lelaki kelihatan sedang santai berdiri berhadapan singki. Sebelah tangannya sedang memegang pili paip dan sebelah tangannya pula sedang ralit dengan aktiviti menggosok gigi dengan keadaan menunduk memandang ke bawah.
Setelah beberapa minit kemudian, dia mula melangkah keluar dari bilik air setelah aktiviti membersihkan diri itu selesai. Dengan tuala yang masih berikat di pinggang, Rykal melewati meja sisi katil yang menempatkan beberapa buah frame gambar ketika dia masih kecil dahulu sebelum melangkah ke almari pakaian yang dipasang secara built-in di dinding biliknya.
Almari pakaian yang mempunyai lima pintu itu dibuka perlahan. Melilau-lilau matanya mencari kemeja yang akan dipakainya ke pejabat nanti. Dia termenung seketika. Terlalu banyak kemeja yang mempunyai pelbagai high-end brand sehingga dia sendiri tidak tahu untuk memilih yang mana. Akhirnya kemeja berwarna biru muda polos itu menjadi pilihannya sebelum dipadankan dengan seluar slek hitam pekat.
Dan untuk beberapa ketika kemudian, dia sudah pun berdiri di depan dressing table. Mula membetulkan tie yang melingkari kolar baju berserta dengan menyisir rambut agar kelihatan kemas dan rapi. Semua itu sedikit mengambil masa. Memang dia seorang yang amat teliti dan cerewet. Semuanya perlu nampak sempurna. Dan itulah seorang yang bernama Rykal Safuan!

AZRIF MENGELUH perlahan dengan tuala mandi yang masih berikat di pinggang. Lama dia berdiri berhadapan dengan almari pakaian itu. Aktiviti yang cukup tidak digemarinya pada setiap pagi jika di bekerja. Iaitu memilih pakaian kerja. Sebenarnya dia seorang yang simple. Tidak terlalu cerewet dengan apa yang akan dipakainya walaupun bertaraf cucu kepada orang kaya.
Berbeza dengan sepupunya yang bernama Rykal itu. Semuanya kena nampak sempurna dan tip-top dari segenap segi. Hatta susunan minyak wangi pun kena berada di tempat yang betul. Tidak boleh lari sikit dari tempat asal. Kalah orang yang menghidap OCD (Obsessive Compulsive Disorder)!
Namun tanggungjawab sebagai CEO di sebuah syarikat besar menuntut dia berpakaian seformal mungkin. Dan itu amat tidak disukainya walau akhirnya dia terpaksa juga menuruti. Yelah takkan nak pakai selekeh pulak kan? Kena jaga jugak imej seorang pekerja eksekutif!
Akhirnya dia hanya mengambil kemeja putih berjalur lurus kecil itu sahaja sebelum disarungkan ke badan. Baginya semua pakaian kerjanya itu nampak sama sahaja. Tak ada bezanya pun walau berlainan warna atau jenama. Lainlah kalau pakai tshirt dengan jeans kan? Buat rambut pacak-pacak sikit. Nampaklah stylo-mylo kan! Ah mimpi siang hari lah kau Azrif Iqbal oi nak pakai macam tu! Dia tersenyum sendiri sebelum mengemaskan rambut ikalnya yang sudah mula panjang mencecah ke kolar baju.
Hmm, esok lusa aku potonglah sikit.” Getusnya perlahan seraya meletakkan kembali sikat yang dipegang. Dia tahu akan ada mulut yang menegurnya nanti. Dan itu sudah semestinya Rykal Safuan! Antara lelaki paling cerewet dan teliti yang pernah dikenali. Dan itu tidak lain dan tidak bukan. Sepupunya sendiri yang sedang menghuni di bilik sebelah.
Setelah siap mengenakan stokin, dia mengambil briefcase yang terdampar di atas katil sebelum bersiul-siul ceria. Sekejapan dia memberhentikan langkah apabila kakinya melintasi bilik sebelah. Jam di pergelangan tangan dijeling sekilas. Baru menginjak ke angka tujuh setengah pagi. Masih punya banyak masa dan tidak perlu tergesa-gesa. Apakata  kita usha orang sebelah sikit? Cadang hatinya tiba-tiba. Dia sudah tersenyum nakal.
“Woiii... dah-dahla tu sikat rambut.. dah handsome apa?” Tegurnya sedikit kuat sebelum pintu bilik sepupunya itu ditepuk kuat dari luar. Dia ketawa kecil sebelum kedengaran suara Rykal dari dalam yang tidak berapa jelas butirannya. Dan sebelum apa-apa yang terjadi, cepat-cepat dia bergegas menuruni tangga. Sudah tentu neneknya itu sudah menunggu mereka di meja makan untuk bersarapan bersama-sama.
Seketika kemudian, bunyi bunyi dan derapan langkah yang kedengaran dari tingkat atas mengejutkan sedikit Puan Sri Atikah yang masih mengelamun panjang. Cepat-cepat dia membetulkan sedikit kedudukannya sebelum lehernya dipanjang sedikit ke arah tangga. Kelihatan Azrif sedang tergesa-gesa melangkah turun dari tangga rumah.
Morning Tok Ma.” Sapa Azrif ceria tersenyum seraya mengambil tempat di sebelah neneknya itu. Briefcase yang dibawa bersamanya diletakkan ke kerusi sebelah.
Morning sayang..” Balas Puan Sri Atikah membalas dengan senyuman manis. 
“Apa yang bising-bising tadi?” Sambung wanita yang sudah menginjak ke usia pertengahan tujuh puluhan itu. Berkerut-kerut dahi tuanya memandang ke arah Azrif yang tersengih tanpa rasa bersalah.
“Saje usik Rykal Tok Ma.. dia kan jenis lambat bersiap.” Jawab Azrif sambil tersengih mengenai sikap sepupunya itu.
Hishh kamu ni.. ada-ada saje.” Keluh Puan Sri Atikah menggeleng-gelengkan kepalanya. Tahu sangat sikap Azrif yang suka menyakat Rykal. Dia faham sangat dengan sikap cucunya yang bernama Rykal itu. Kalau dah bersiap kalah perempuan. Serba-serbi kena teliti dan sempurna. Entah-entah perempuan pun cepat lagi bersiap!
Dan Azrif pula hanya buat endah tidak endah saja dengan rungutan dari neneknya. Apa yang lebih penting adalah untuk mengisi perutnya yang sudah berkeriuk-riuk meminta makanan. Pelbagai jenis sarapan yang terhidang di atas meja membuatkan dia menelan liur. Banyak sangat pilihan sampai tak tahu nak ngap yang mana satu dulu!
 Namun melihatkan Tok Ma yang masih menunggu Rykal membuatkan dia terpaksa menahan sabar untuk seketika.


Boleh dapatkan yang terawal di sana, 
di 2 lokasi berikut 󾌸󾌸󾌸

(1)
Pesta Buku Antarabangsa 2016
Booth A1001 Hall A1
29 April - 9 Mei
Maeps, Serdang

(2)
Urban Lifestyle Expo 2016
Booth 46, 47 & 48
29 April - 1 Mei
10 pagi - 10 malam
Expo Hall, Danga City Mall,
Johor Bharu






1 comment:

Unknown said...

sekarang saya menulis novel pada masa lapang.