:: My gangS :: TQVM

Wednesday, April 27, 2016

Bab 4 Assalamualaikum Cinta





BAB 4


SHERRY YANG berpakaian seksi dengan skirt putih pendek separas peha itu melangkah masuk dengan penuh bergaya ke syarikat milik Puan Sri Atikah itu yang terletak di tengah-tengah ibu kota itu. Dia tersenyum lebar apabila mengenangkan akan tujuan yang sebenar dia datang ke situ pada hari ini. Dan dengan penuh berlagak serta tanpa mempedulikan pekerja-pekerja lain yang berada di ruang lobi, dia terus sahaja menonong ke lif untuk ke tingkat lima.
Dalam masa yang sama, kelihatan Rykal sudah pun bangun dari kerusinya. Kala itu jam sudah pun menghampiri waktu tengah hari. Perut pun dah mula berkeroncong setelah lama kosong sejak sarapan pagi tadi. Namun langkahnya terhenti tatkala matanya kelibat Sherry yang tiba-tiba melintas dari hadapan pintu biliknya. Serentak dia mengundur kembali beberapa langkah. Tidak jadi untuk keluar dari bilik. Dia mengeluh sedikit lega. Nasiblah perempuan berlagak itu tidak perasan akan wujudnya dia di situ.
Tidak sedap hati, Rykal berjalan kembali menuju ke pintu biliknya dan menyorok di situ. Walaupun Sherry tidak mencarinya namun dia tidak berapa gemar dengan kehadiran perempuan itu di situ.
“Dia dah buat surprise lagi.. tak ada kerja ke apa? Habislah kau Az.. kau beritahu aku tadi ada lunch date dengan Nadia.. masaklah kalau macam ni.”
Rungut Rykal apabila teringat kembali dengan apa yang diberitahu oleh sepupunya sebentar tadi. Katanya mahu keluar makan dengan Nadia sebentar kerana lama tak jumpa. Namun dengan kehadiran Sherry di situ untuk ketika ini bakal menimbulkan kekecohan jika perkara itu diketahui oleh perempuan berlagak itu.
Rykal membetulkan sedikit tali lehernya sebelum membuka pintu biliknya dengan perlahan-lahan. Kepala dijengukkan sedikit pada celahan pintu yang terbuka sambil matanya melilau melihat ruangan pejabat yang menempatkan sebahagian dari staff itu. Nampak macam line clear je? Desis hati Rykal. Tak ada pulak bunyi bising-bising seperti kebiasaan Sherry datang ke situ. Semuanya dah okay ke?
Walaupun begitu dia tetap rasa tidak sedap hati. Dia kembali menutup pintu biliknya dan kembali melabuhkan punggung di kerusi. Mungkin dia perlu menunggu buat seketika sebelum keluar. Walau macam mana pun, dia tetap rasa bimbang dengan sepupunya di bilik sebelah.


NIA MENGALIHKAN sedikit gelas yang berisi jus oren itu ke tengah meja setelah minuman yang baru dihantar itu sudah beberapa kali disedut. Dia memandang ke arah Anita yang sedang mengacau-ngacau straw minumannya. Ketika itu mereka berdua sedang menunggu untuk makan tengah hari di sebuah kafe berdekatan dengan ofis mereka bekerja.
“Kalau ayah aku tu macam ayah kau, tak adalah aku macam ni.” Rungut Nia akan satu punca dari masalahnya. Semua itu berkait-rapat dengan latarbelakang keluarganya atau lebih tepat mengenai bekas pekerjaan ayahnya itu.
“Susah jugak hidup kau ni kan? Nak ada boyfriend pun tak boleh.. tapi kan kalau tak berkawan, macam mana kau nak tahu perangai sebenar dorang? Hantu ke atau memang hantu? Atau pun hantu bungkus?” Anita mengeluh selamba. Namun keluhan dari Anita itu disambut dengan sambutan ketawa dari Nia.
“Mulut kau jahat sangat kan? Suka hati orang je cakap orang hantu.” Tuduh Nia pada mulut Anita yang terlalu ‘lepas’ itu. Kadang-kadang sahabatnya itu boleh tahan lucu orangnya.
“Dah memang betul apa yang aku cakap.. kau kenalah cakap dengan ayah kau tu.. kalau tak sampai bila-bilalah kau macam ni.. lainlah kalau kat mata tu ada scanner.. tak pun susah-susah sangat kau suruh je ayah kau carikan calon untuk kau.”
Tiba-tiba Anita dapat idea. Mungkin itu yang terbaik untuk Nia. Macam kata orang, jodoh pilihan ibu bapa lebih berkat.
“Ishh tak naklah aku.. sah-sah dia cop abang terap jugak.” Balas Nia sambil mencebik. Tak dapat nak dibayangkan kalau calon suaminya itu dipilih cari calon ‘abang terap’ jugak. Apa dah tak ada orang lain ke kat dunia ni!
“Apa benda abang terap tu?”  Soal Anita. Baginya istilah yang digunakan oleh Nia itu terlalu asing. Yalah selama dia hidup inilah kali pertama telinga mendengar perkataan itu. Pelik bebenor bunyinya!
“Askarlah.. kau kan tahu ayah aku kerja apa? Lagi mau tanya.”
Jelas Nia sambil mengeluh perlahan. Geram juga dengan perangai Anita yang kadang-kadang blur semedang. Padahal dia dah kenal lama dengan Anita. Dari zaman belajar lagi.
“Ohh.. sebab askar dia meniarap ke sampai kau gelar macam tu? Siot je kau panggil abang terap bagai.” Anita mengangguk sebelum ketawa perlahan. Menahan dari ketawa besar yang mahu meletus. Karang orang sekeliling kat kafe tu pelik pula dengan perangainya yang ketawa macam apa saja. Hilang terus sifat ayu sebagai wanita Melayu terakhir kononnya. Sedangkan Nia mula buat muka menyampah. Tak adalah nak marah sangat pun dengan Anita. Cuma kadang-kadang je perangai sahabatnya itu membuatkan dia geram. Apa-apapun Anita merupakan sahabat terbaik yang boleh dijadikan tempat mengadu masalahnya. Nak mengadu kat ayahnya? Baik jangan cari nahas!


AZRIF YANG sedang menatap laporan kerja di laptopnya itu segera mengangat muka setelah mendengar pintu bilik pejabatnya dikuak dari luar tanpa sebarang dari ketukan. Matanya sedikit membulat dengan kehadiran Sherry yang agak mengejut di situ. Riak wajah Sherry yang tersenyum ceria itu dipandang dengan rasa sedikit berdebar. Rasa tak sedap hati. Apalagi bila teringat akan lunch date dengan Nadia. Bimbang pulak kalau-kalau Sherry dapat tahu. Habislah aku macam ni!
“Kenapa you tengok i macam tu? I ni cantik sangat ke?” Soal Sherry dengan nada suara paling manja. Sesekali dia membetulkan gulungan rambutnya yang berwarna perang itu. Kononnya nak nampak cantik dan sempurna di mata Azrif.
Azrif pula mengerdipkan bebola matanya beberapa kali. Konon-konon buat terpegun sangat dengan kecantikan yang dimiliki oleh perempuan yang berada di hadapannya hari ini. Walau dalam hati dah mula rasa menyampah dengan perangai Sherry yang perasan cantik itu. Namun dia cuba untuk bersabar. Dah gatal sangat nak ada hubungan dengan perempuan yang perasan itu. Hadap ajelah Azrif Iqmal oi!
Ishh.. gila you tak cantik.. you ni cantik sangat tapi lagi elok kalau cantik luar dengan yang dalam sekali tu.” Azrif berkata selamba. Memperli Sherry yang masih meliuk-lentok di hadapannya itu. Dah nak sama macam sotong kurita saja. Cuma yang jenis ini berpakaian walaupun pakaiannya macam tak cukup meter kainnya.
Dan Sherry pula buat-buat senyum segan. Matanya ditundukkan seketika. Kata-kata dari lelaki kacak itu memang punyai maksud yang tersirat. Hanya dia dan Azrif sahaja yang tahu.
“Tapi kenapa you tiba-tiba je ada kat sini? You tak bagitahu I pun kata nak datang.” Soal Azrif sedikit pelik. Kebiasaannya Sherry akan menelefonnya terlebih dahulu sebelum datang. Yalah kalau datang cari terus dia dekat pejabat, kebarangkalian nak jumpa tu macam susah sikit. Asyik ke sana-sini sahaja dengan Rykal atas urusan kerja yang tak pernah habis. Ah poyo lah kau Azrif! Sibuk dengan kerja konon. Padahal takut bertembung dengan Nadia. Kang tak pasal-pasal pulak terjadi perang dunia ketiga!
“Ala... you ni.. i datang buat surprise pun you macam tak suka je.”
Jelas Sherry buat muka. Meter keceriaan di wajahnya mula berkurangan dua puluh lima peratus. Jangan sampai negatif sudahlah. Karang tak pasal-pasal kena pujuk pulak kalau dah merajuk.
Azrif yang mendengar perkataan ‘surprise’ itu benar-benar terkejut.  Mulutnya sedikit terlopong sebelum air liur ditelan kesat. Kejutan apa pulak si Sherry ni? Jangan buat bukan-bukan sudahlah. Karang tak tahu nak sorok kat mana muka aku yang kacak ni kalau satu pejabat tahu!
Surprise?” Azrif kembali bertanya. Masih lagi tak faham dengan suprise yang dimaksudkan oleh perempuan yang memakai skirt pendek itu.
You ni dah lupa ke hari ini berapa hari bulan?”
Soal Sherry lagi. Kali ini memang dia betul-betul kecewa dengan Azrif yang mungkin sudah lupa akan sesuatu. Riak wajahnya berubah teruk. Hilang terus rasa ceria yang bermukim di lubuk hati.
Manakala Azrif pula sudah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Masih lagi tidak faham. Atau boleh dikatakan langsung tak nampak bayang apa-apa. Gelap kelam kelabu terus!
“Oh you nak paw i kan? You ni macam tahu-tahu je i dah gaji.” Azrif hentam saja apa yang terlintas di kepalanya saat itu. Walaupun ketika itu Sherry sudah pun berpeluk tubuh. Muncung mulutnya sudah hampir panjang sedepa. Tanda sudah merajuk dengan lelaki kacak itu. Tambah-tambah lagi bila Azrif langsung lupa yang hari tersebut adalah hari perkenalan mereka yang ketiga puluh. Sakit hati betul. Macam rugi aje aku pakai baju dan mekap cantik-cantik macam ni!



 Boleh dapatkan yang terawal di sana, 
di 2 lokasi berikut 
😄😄😄
(1)
Pesta Buku Antarabangsa 2016
Booth A1001 Hall A1
29 April - 9 Mei
Maeps, Serdang

(2)
Urban Lifestyle Expo 2016
Booth 46, 47 & 48
29 April - 1 Mei
10 pagi - 10 malam
Expo Hall, Danga City Mall,
Johor Bharu 







No comments: