BAB 5
JAM JENAMA
Hublot pergelangan tangannya sudah menghampiri pukul satu tengah hari
tatkala Rykal keluar dari biliknya. Dia yang sejak tadi berkurung sahaja di
dalam bilik semasa kedatangan Sherry mula berasa bosan. Lagi-lagi bila perut
pun dah mula buat bunyi pelik-pelik. Mahukan sesuatu untuk alas perut yang
kosong. Dan dia pula malas mahu menerjah ke bilik Azrif yang tidak jauh dari
biliknya itu untuk melihat samada perempuan bernama Sherry itu sudah pulang
atau pun tidak. Malas jika bertembung muka dengan perempuan bernama Sherry itu.
Sherry itu boleh tahan jugak gediknya. Macam tak cukup dengan sepupunya
seorang.
Meja setiausaha kepada Azrif itu
didekati. Seorang perempuan muda yang lebih dikenali dengan panggilan Khai itu
dipandang seketika. Nampak khusyuk benar buat kerja. Sampai macam langsung tak
sedar yang dia sudah pun berdiri di situ untuk beberapa saat.
“Khai, Encik Azrif dah keluar ke?”
Soal Rykal bertanya. Sekejap-sekejap
matanya memandang ke arah bilik Azrif yang bertutup rapat dari dalam. Macam
sunyi je. Dah keluar kut?
“Dah Encik Rykal, dengan Cik Sherry.”
Jawab Khairina jujur dan penuh sopan.
Rykal mengangguk perlahan. Akhirnya pulang juga. Desis hatinya sebelum menarik
telefon bimbitnya dari poket keluar. Mula menekan-nekan skrin telefon bimbitnya
itu sebelum satu Whatsapp dihantar
kepada Azrif yang sudah keluar entah ke mana.
“Oh lupa, awak tak keluar makan ke?
Kerja-kerja jugak, kesihatan kena jaga jugak.” Sempat Rykal menegur dan
menasihati akan setiausaha milik Azrif yang kelihatannya begitu tekun membuat
kerja. Seolah-olah perempuan muda itu seperti sudah lupa akan waktu makan dan
berehat yang sepatutnya.
“Kejap lagi Encik Rykal.. ada kerja
sikit lagi ni.” Balas Khairina sambil tersengih segan. Rasa terharu pula dengan
sikap prihatin pegawai atasannya itu pada pekerja bawahan sepertinya. Yalah
kebiasaannya orang yang berpangkat dan berjawatan tinggi ini jarang sangat nak
buat baik dengan pekerja biasa. Kalau ada pun mungkin boleh bilang dengan jari!
SEJAK DARI
dalam bilik pejabat lagi Sherry sudah menarik muka. Tanda merajuk dengan Azrif
yang seakan hilang ingatan terus akan tempoh perkenalan mereka itu. Walaupun
ketika itu mereka berdua sudah berada di dalam kereta, keadaannya tetap sama.
Sherry langsung tidak bercakap. Langsung tidak memandang kepada Azrif di
sebelah. Lebih suka memandang ke cermin tingkap. Lebih suka memandang orang
awam yang lalu-lalang di kawasan parkir berbumbung itu. Yalah hati memang rasa
sakit. Penghawa dingin kereta yang sejuk itu pun tak dapat nak menyejukkan
hatinya yang sedang panas. Tak adalah sampai panas berapi atau menggelegak.
Tapi serius dia kecewa dengan lelaki kacak bernama Azrif Iqbal itu. Macam
langsung tak menghargai akan detik perkenalan mereka sebulan yang lalu.
Manakala Azrif pula sedang ligat
memikirkan idea untuk memujuk Sherry. Dan disebabkan itu jugalah mereka berdua
masih berada di tempat parkir itu walaupun pada ketika itu enjin kereta sudah
pun dihidupkan.
“Habis tu apa sebenarnya? You bagitahulah I.. I betul-betul tak
tahu ni.” Soal Azrif lagi. Pandangan ditala pada Sherry di sebelah yang
langsung tidak menoleh ke arahnya. Susah betul nak kena handle perempuan ni. Nak merajuk pun agak-agaklah jugak. Cakap tu
biarlah terang. Biarlah straight je to the
point. Tak payahlah nak kena konar baring sangat sana-sini. Ni main
terjah macam tu aje manalah aku nak faham apa niat sebenar. Lepas tu orang
tanya bukannya nak cakap betul-betul. Last-last aku jugak yang kena. Haihh, macam-macam hal! Gerutu hati
kecil Azrif.
“You
dah lupa ke hari ni hari genap sebulan perkenalan kita?” Akhirnya Sherry
menoleh. Dia kembali menyoal Azrif dengan soalan maut. Wajah kacak Azrif
ditatap seketika. Menagih jawapan yang sebenar.
“Haahlah.. macam mana I boleh lupa ni.”
Azrif sedikit terkejut dengan soalan mencabar dari Sherry itu. Sebelah
tangannya memegang sisi kepala sebelum tergaru-garu pada kulit kepala yang
langsung tak gatal. Sebenarnya memang pelik pun dengan surprise dari perempuan bernama Sherry itu. Dan dia langsung tidak
menyangka itulah tujuan sebenar Sherry yang beria-ia datang ke situ. Tapi
sungguh dia benar-benar lupa akan tempoh perkenalannya dengan perempuan itu.
Yalah benda tak penting sangat pun untuk diingatkan. Lainlah kalau hari lahir
ke? Ada jugak logiknya di situ.
Tangan Sherry itu dicapai perlahan. Muka
dibuat penuh rasa bersalah walaupun terpaksa berlakon semata-mata. Ah Azrif
Iqbal. Tahun depan dah boleh menang award
pelakon terbaik!
“I’m
sorry.. I betul-betul lupa.. nasib
baik you ingatkan i.” Azrif mula
meminta maaf. Dan serta-merta wajah Sherry yang muram itu kembali tersenyum
manja. Dan Azrif pula terpaksa buat-buat senyum dengan keadaan terpaksa.
“Sebab itulah I datang jumpa You.. I nak kita celebrate.” Sambung Sherry lagi. Sebenarnya sudah beberapa hari dia
memikirkan untuk menyambut tempoh perkenalannya bersama lelaki itu. Dan
disebabkan itu jugalah dia datang mengejut tadi ke pejabat Azrif. Nanti
bolehlah ditayang pada rakan-rakannya yang lain. Konon-kononnya hubungan dia
dan Azrif sweet sangat-sangat! Dan
kalau boleh dia sudah tidak mahu Azrif jatuh ke tangan perempuan lain. Apa-apa
pun Azrif tetap seorang CEO kepada syarikat besar. Ingat senang ke nak lepas
macam tu je? Payah nak dapat tu!
“Takkanlah baru kenal sebulan dah nak celebrate? Parah macam ni.” Rungut Azrif
dengan perlahan. Dia menoleh ke kanan sebentar agar perempuan di sebelahnya itu
tidak perasan dengan perubahan riak mukanya. Sejujurnya dia benar-benar tidak
suka dengan cadangan mengarut dari Sherry itu. Tambahan pula, dia bukannya
betul-betul mahu perhubungan yang serius dengan Sherry. Sekadar suka-suka saja
mengisi masa lapang sebelum berjumpa dengan perempuan yang betul-betul dapat
membuatkan hatinya jatuh tergolek ke lubang paling dalam.
Dan setakat ini dia tidak pernah lagi
berjumpa dengan perempuan sebegitu. Apa yang paling ramai dia jumpa pun,
semuanya jenis mata duitan. Termasuklah dengan Sherry yang berada di sebelahnya
itu walaupun dia tahu yang perempuan itu tidaklah sangat menunjuk yang dia juga
seorang yang materialistik. Kalau tak, takkanlah setiap kali keluar, ada saja
benda yang Sherry mahu dia belanjakan. Contohnya hari ini. Kalau dah celebrate nanti, mesti punya nak makan
kat tempat-tempat mewah. Lepas tu mesti ajak pergi beli hadiah. Konon-konon
sebagai tanda kenangan. Dan hadiah itu takkanlah cikai-cikai punya hadiah.
Kurang-kurang handbag berjenama sebijik. See, dia memang dah boleh baca gerak hati Sherry. Hanya tunggu masa
dan ketika saja yang akan menentukan.
Namun dia terpaksalah buat senyum
plastik sebelum menekan gear untuk meneruskan pemanduan. Moga-moga ada sesuatu
yang akan menghalangnya dari terpaksa mengikut cadangan mengarut Sherry itu.
Berharap sangat!
AZRIF DAN
Sherry sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran mewah yang
terdapat di tengah-tengah ibu kota. Ini semua adalah salah satu rancangan Azrif
untuk memujuk Sherry yang sedang merajuk tadi. Dan Sherry pula menyambut baik
niat Azrif itu. Terus rasa merajuknya hilang. Yalah bukan senang nak makan di
tempat sebegitu. Kalau setakat kerja biasa-biasa macam dia tu, kena kumpul duit
dulu barulah boleh nak merasa. Kalau tak jangan haraplah!
Sesekali Sherry yang berada di hadapan
Azrif melemparkan senyuman manja tatkala mereka berdua berlaga pandang.
Sedangkan Azrif hanya fokus sahaja dengan makanan yang terhidang. Di samping
kepala ligat memikirkan apa tindakan seterusnya untuk meninggalkan Sherry di
situ. Dia bimbang kalau-kalau Nadia sudah tertunggu-tunggu di tempat biasa yang
mereka sering berjumpa.
Bunyi nada applikasi dari Whatssap dari telefon bimbit milik Azrif
yang terletak di atas meja itu menarik perhatian dari Sherry. Serta-merta dia
memandang ke arah Azrif yang sudah meletakkan sudu dan garfunya ke tepi
pinggan. Kelihatan lelaki itu mula mengesat mulutnya dengan napkin sebelum
telefon bimbit itu dicapai dari atas meja yang diperbuat dari kaca tebal itu.
Entah kenapa Sherry seakan dapat merasakan sesuatu. Seperti ada benda yang tak
kena. Tidak berkelip matanya memandang ke arah Azrif yang sedang menekan-nekan
skrin telefon bimbitnya. Sungguh dia berminat dengan apa yang ada dalam
applikasi Whatssap yang dihantar itu.
Risau jika lelaki itu menerima mesej dari perempuan lain.
“Aku keluar, mungkin tak balik ofis.”
Azrif membaca kuat-kuat mesej yang dihantar oleh Rykal itu. Bukan dia tidak
perasan gerak-geri Sherry di hadapannya yang sudah tidak senang duduk. Nampak
sangat perempuan itu beria-ia mahu mengetahui akan kandungan dari applikasi Whatssap itu. Seketika kemudian, dia
kembali meletak telefon bimbitnya ke meja setelah nampak wajah puas hati yang
tergambar pada wajah Sherry yang bersolek tebal itu.
“Siapa?” Soal Sherry masih ingin tahu.
Walaupun seperti dah boleh agak siapa yang menghantar mesej Whatssap itu namun
dia tetap mahukan kepastian. Barulah hati boleh tenang dan tidak akan berfikir
bukan-bukan.
“Rykal.” Jawab Azrif pendek. Berharap
jawapannya itu akan memuaskan hati perempuan yang berada di hadapannya itu.
Kala itu wajah Sherry terus berubah riak. Seolah-olah kerisauan yang difkirkan
olehnya terbang begitu saja. Dia kembali meneruskan suapannya yang tergendala
tadi namun semuanya sekali lagi terhenti apabila telefon bimbit milik Azrif
sekali lagi berbunyi.
Azrif mengeluh perlahan sebelum
meletakkan kembali sudu dan garfunya. Namun kali ini dia sedikit berdebar.
Mesej dari Nadia. Aduh macam mana ni?
“Pukul
berapa you nak sampai ni? I dah lama tunggu You kat sini.” – Nadia
Azrif cepat-cepat menekan butang reply. “I dah on the way ni, jalan jam
teruk.” Kemudian dia mula memandang Sherry sebelum sedikit berdehem.
“Emm,
you.. I kena pergi sekarang.. Rykal text I balik.. ada masalah kat pejabat.”
Bohong Azrif. Telefon bimbit yang berada di tangannya itu cepat-cepat
dimasukkan ke poket seluar slek hitamnya. Sebagai langkah berjaga-jaga. Manalah
tahu kalau-kalau Sherry tak percaya dengan alasannya itu dan merampas telefon
bimbitnya. Takkan haru-biru kat situ nanti. Jadi sebelum terjadi apa-apa, baik
sediakan payung sebelum hujan.
Sherry mencebikkan mulutnya. Antara
alasan yang paling dia tidak gemar jika keluar dengan Azrif. Ada sahaja yang
tak kena. Sudahlah nak jumpa pun susah. Dan kalau dapat jumpa pun, tak sempat
sangat nak melepas rindu bagai. Contohnya sekarang, makan pun tak sempat nak
habiskan. Busy sangat!
“Please..
I kena pergi sekarang.. dia orang semua dah tunggu I.” Bohong Azrif lagi
sedikit dengan nada merayu. Berharap yang Sherry faham akan situasinya
sekarang. Walhal semuanya perbohongan belaka. Atas dasar mahu mengelak dari
duduk berlama-lamaan dengan Sherry. Lagipun dia pun tidak mahu Nadia merajuk
kerana menunggunya terlalu lama.
Wallet di dalam poket seluar ditarik sebelum
wang bernot RM50 diletakkan ke atas meja. “You
ambil duit ni.. buat tambang teksi.. sorry
I tak dapat hantar you balik.. Okaylah, I pergi dulu.. makan-makan ni semua I bayar.. no worries.”
Sambung Azrif lagi sebelum bergegas meninggalkan Sherry yang sudah langsung
mati selera. Sherry mengeluh kasar akibat tidak berpuas hati kerana
ditinggalkan begitu sahaja. Namun nak tak nak dia terpaksa terima semua itu.
Tambah-tambah lagi Azrif bukanlah seorang lelaki yang suka dipaksa-paksa.
Boleh dapatkan yang terawal di sana,
di 2 lokasi berikut
(1)
Pesta Buku Antarabangsa 2016
Booth A1001 Hall A1
29 April - 9 Mei
Maeps, Serdang
(2)
Urban Lifestyle Expo 2016
Booth 46, 47 & 48
29 April - 1 Mei
10 pagi - 10 malam
Expo Hall, Danga City Mall,
Johor Bharu
No comments:
Post a Comment