:: My gangS :: TQVM

Saturday, June 11, 2011

Trio Cerpen : Bestnya Kalau Betul




Salam ahad semua..Jom bace Trio Cerpen kita orang ngn name Mien Miq Dy (Shamien a.k.a Awin + Mike + Addy a.k.a Zura)...Cerpen Bestnya Kalau Betul ni kitaorang buat secara bertiga, tak tau lah best ke tak..hehe..Layan




***




-Syazwan :

Kita tengok dia, kita suka... tapi kita tak tau dia suke kita ke tak, camne nak buat dia suka kita dan lama-lama nak bagi dia jatuh cinta? Hati ni terpikat dekat seseorang, tapi malu-malu ni, tiap kali nampak dia, mesti timbul rasa nak ajak berborak, namun tak berani... bila dia tak ada depan mata.... rasa rindu pulak... boleh tak awak beritahu tahu apakah makna semua ni?


-Nabila :

Macam mana saya nak beritahu awak? Saya pun punya rasa yang sama dengan awak, saya pun suka dekat seseorang tu, tiap kali dia tengok saya, mesti saya tertunduk dan larikan pandangan mata ni. Saya jadi sangat malu bila saya tahu, dia sedang memerhatikan saya... sampai sekarang saya pendam sahaja perasaan ni...


Syazwan :

Kenapa awak tak luahkan pada dia yang awak sukakan dia? Nanti kalau awak terlambat, bagaimana?


Nabila :

Bagaimana saya nak luahkan pada dia? Saya ni perempuan, takkan perigi cari timba pulak?


Syazwan :

Habis tu awak, awak nak biarkan timba tu pergi cari perigi yang lain ke? Kalau awak nak tunggu macam ni, sampai ke tua tak dapat tau? Awak... jangan marah tau, saya cuma nak bagi semangat dekat awak, tapi... entahlah, saya sendiri pun tak berani walhal saya ni lelaki atau juga sebagai timba... timba ni bocor kerana hampir setiap kali air berkurangan, begitu juga dengan perasaan ni... takut nanti lama-lama ia akan padam dan lenyap begitu sahaja. Bagaimana kalau pintu hati dia tak terbuka, wak?


Nabila :

Awak... saya tak tahu apa sebenarnya yang awak rasa. Awak cuma beritahu saya yang awak suka dekat seseorang tu tapi siapa wak?


Syazwan :

Saya dah lama suka dekat dia wak... tapi orang tu takut jugak, dia perempuan yang dianggap sebagai perigi yang tak suka mencari timba...


Nabila :

Awak cakap pasal saya ke?


Syazwan :

Awak kan perempuan...


Nabila :

Awak... awak... awak suka saya ke?


Syazwan :

Boleh tak saya angguk?


Nabila :

Awak... betul ke?


Syazwan :

Boleh tak saya nak angguk lagi?


Nabila :

Angguklah... dan kalau saya nak tampar awak boleh tak?


Syazwan :

Tamparlah...


'Pang!'


Syazwan :

Kenapa?


Nabila :

Sebab awak tak berani nak terus terang awal-awal dekat saya. Malam ni saya akan ditunangkan dengan sepupu saya, saya tak nak bertunang dengan dia. Awak... tolonglah awak, tolong datang selamatkan saya :(


Syazwan :

Awak... Janganlah nangis. Boleh saya seka air mata awak?


Nabila :

Ya awak, saya angguk.


Syazwan :

Saya lap sampai habis ni.


Nabila :

Terima kasih :'(


Syazwan :

Tapi awak tetap menangis, kenapa bersedih sampai macam ni?


Nabila :

Kerana saya tetap mengharapkan awak datang sebagai superhero pujaan hati saya...


Syazwan :

Awak... siapa saya ni kalau nak dibandingkan sepupu awak tu? Dia jauh lebih segak dan kaya. Saya ni cuma juruteknik komputer je dan mana mungkin mak dan ayah awak bersetuju menerima saya sebagai menantu.


Nabila :

Tapi awak ada ketulusan :'(


Syazwan :

Tengok tu... nangis lagi. Boleh saya kuis dagu awak?


Nabila :

Saya angguk ni...


Syazwan :

Tanda setuju ye?


Nabila :

Saya angguk lagi.


Syazwan :

Kiutnya awak saat awak ketap bibir, lesung pipit bak Pretty Zinta, cantik sangat...


Nabila :

Awak pun tampan macam Aaron Aziz... saya suka awak...


Syazwan :

Saya pun... kalau macam tu saya akan datang selamatkan awak...


Nabila :

Terima kasih awak...


Syazwan :

Boleh peluk?


Nabila :

Saya tak angguk ni


Syazwan :

Selepas kahwin?


Nabila :

Saya angguk ni tau tapi saya tetap malu-malu.


Mereka berdua hanya bersembang di ruangan maya iaitu Facebook. Hanya menggunakan imaginasi yang tinggi untuk membayangkan setiap perbuatan itu. Biasalah jika orang sedang dilamun cinta, perkara yang tak ada pun akan diada-adakan.


***


"SEKARANG ni bagaimana Nabila? Mak dan ayah awak tolak pinangan saya. Awak cintakan saya kan?" Syazwan bersedih hati. Nabila mengangguk.

"Saya tak nak kehilangan awak." Nabila merayu biarpun pinangan dari pihak Syazwan ditolak mentah-mentah seminggu yang lalu.

"Saya malu awak. Tebal muka ni bila mak awak bandingkan pekerjaan saya dengan Rudy. Dia kata Rudy lebih layak dengan awak jadi awak pergilah dekat dia. Lupakan saja saya ni."


Syazwan terus menghidupkan enjin motor Honda Cup C70 milik arwah ayahnya. Itu sahaja yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya selain dari tanah sekangkang kera.

"Awak!!" Nabila meraung di situ kala Syazwan meninggalkan Nabila terkulat-kulat dalam tangisan hiba. Dia terpaksa juga bertunang dengan Rudy yang sangat dibencinya.

'Tolong Wan jangan tinggalkan saya...'

Nabila sebak biarpun bercinta baru sebulan, namun, rasa cinta itu telah membara. Majlis pertunangan bersama Rudy sebelum ini dibatalkan, atas helah Syazwan bagi menyelamatkan keadaan. Namun bila tiba saat pinangan Syazwan pula, Samsiah, ibu Nabila tegar mengutuk dan mencela rombongan meminang pihak Syazwan, meskipun sewaktu merisik dahulu Samsiah bermuka-muka kononnya gembira sekali Syazwan bakal menjadi menantunya nanti.


***


LESU tidak bermaya, wajahnya suram tatkala rindu tidak terlunas. Bisikan cinta seakan bernyanyi-nyanyi di halwa pendengarannya membuatkan jiwanya meronta-ronta mencari arah. Suara Syazwan seperti memanggil-manggil dirinya.


'Di manakah awak berada? Nabila merindui Syazwan.'


Mata bundarnya menjadi layu, pipi gebunya kusam sahaja. Air matanya tidak henti-henti menitis. Titisan air mata membaham nurani kasihnya terus memipih.

Bukan Rudy yang patut berada di sebelahnya, bukan Rudy yang layak menjadi suaminya, namun, desakan keluarga terpaksa dituruti. Ingin sahaja dia membunuh diri jika itulah pilihan yang ada.

Namun sebagai hamba Allah, dia hanya mampu berserah. Dia menyerahkan kebahagiaan hidupnya kepada Allah. Persandingan raja sehari sedang berlangsung, air mawar direnjis-renjis. Di situ, Nabila tetap mengalirkan air mata, lalu dirinya dipeluk oleh Samsiah. Ibunya membisikan sesuatu di telinga Nabila.


“Mak doakan kau bahagia Nabila...”


'Tidak! Nabila tidak akan bahagia hidup bersama Rudy. Nabila hanya mahukan Syazwan.'


Hanya Syazwan yang mampu merawat lara di hati. Oh Syazwan Nabila merinduimu, hadirlah dalam hidupnya walaupun hanya sekejap waktu. Sebak di dadanya parah, relung hatinya hiba,, dan jiwanya meruntun sesak. Samsiah berbahagia pula ketika ini, dapat bermenantukan Rudy yang segak berbaju Melayu bagaikan seorang pahlawan.


Rudy sedang mengukir senyuman sesekali menoleh ke arah Nabila yang tunduk membisu di atas pelamin indah. Pelamin itu cukup indah namun keindahan itu tidak menerangi hati Nabila. Pelamin itu dianggap pemusnah hidupnya.


Penantian Nabila berakhir dengan pernikahan antara dia dan Rudy. Kecewa sungguh dirasakan saat ini. Selama sebulan dia merana. Bertunang sehari dan esoknya menikah dengan Rudy tanpa rela hatinya sendiri berwalikan ayahnya Ramly yang ketika ini nampak berkerut dahi. Ayahnya barangkali mengerti apa yang sedang ditanggung oleh Nabila namun apa boleh dilakukan oleh ayahnya itu yang takutkan isteri.


***


DI KAMAR MALAM PERTAMA, Rudy duduk di sebelah Nabila. Dia mahukan belaian daripada seorang isteri namun, mustahil bagi Nabila tunaikan, kerana jiwa raganya milik Syazwan. Rudy tidak putus-putus memujuk agar Nabila menyerahkan kesaktian perawan cinta kepadanya. Nabila berdegil. Nabila tidak rela tubuhnya disentuh apatah lagi untuk tidur bersama Rudy sepupunya sendiri yang begitu dibencinya.


“Nabila...” Rudy bersuara lembut sambil tangan menjalar ke tubuh Nabila. Dengan pantas Nabila menepisnya lalu bangun dari birai katil bercadarkan kain berwarna kuning keemasan itu. Wajahnya menyinga sambil merenung tajam ke arah Rudy.


“Jangan kau sentuh tubuh aku! Kau tak layak jadi suamiku. Kau bukanlah lelaki yang baik malah kau seorang lelaki miang dan gatal. Kau telah banyak mengecewakan hati banyak perempuan dan termasuk Maya. Maya mencintai kau dan tergamak kau khianati cinta Maya, kawan baik aku tu. Sekarang dia memusuhi aku kerana dianggap perampas!”


Nabila mencerlung matanya kerana terlalu marah dan bengang terhadap apa yang berlaku. Rudy merupakan seorang kasanova yang sebenar-benarnya dibenci Nabila.


“Nabila... kau adalah jodoh aku, serta, kita sudah disatukan sekarang ni. Sudahlah tu, kau asyik nak marahkan aku dari tadi. Kau masih ingatkan Syazwan ke? Untuk apa lagi kau ingatkan dia? Kau sekarang ni bergelar isteri aku, tanggungjawab aku adalah menjaga kau, Nabila...”


“Aku boleh jaga diri aku sendirilah! Kau tak perlu masuk campur. Memang! Memang aku teringatkan Syazwan, dan hanya dia yang aku cinta, bukannya kau! Muka pun dah macam jambatan tak siap, ada hati nak jadi suami aku! Aku tahu, kau pancing kekayaan kau kepada ibu aku agar menerima lamaran kau tu. Cukuplah Rudy! Kau lelaki kasanova yang boleh mempermainkan hati dan perasaan orang lain,tapi bukan aku.Aku takkan termakan kata-kata manis kau yang tak ada sebarang guarantee tu! Aku nak kau ceraikan aku!”


“Tidak semudah itu Nabila. Aku tidak akan ceraikan kau sebelum aku dapat apa yang aku inginkan.” Kata Rudy yang juga berdiri merapati Nabila. Pantas, dia menyambar tubuh Nabila lalu dipeluknya kemas. Nabila sudah kelemasan.


“Lepaskan aku!” Nabila memaksa namun Rudy berkeras. Tubuh Nabila didakap kemas.



“Kau isteri aku. Kau harus turuti kemahuanku, Nabila...”


“Tidak!” Nabila cuba menolak tubuh Rudy yang mendakap erat tubuhnya. Dia begitu jijik disentuh lelaki kasanova itu.


“Kau jangan degil.”


“Aku jerit!”


“Kau ingin satu rumah ni tahu yang kau sedang menderhakai suami?”


“Apa aku peduli. Kau nak cakap yang kau ni alim tentang hal rumahtangga? Kau nak beritahu yang diri kau ni seorang suami mithali? Aku tak percayakan semua tu! Sudah berapa ramai tubuh gadis-gadis lain telah kau ratah! Kau pujuk mereka, kau pancing mereka dan kau gunakan kekayaan kau untuk mendapatkan apa yang nafsu kau inginkan. Aku rasa kau dah salah orang!”

“Aduh!” Rudy mengadu kesakitan.


Tempat paling sensitif Rudy telah menerima satu tendangan yang cukup dahsyat. Dakapan terhadap tubuh Nabila terlepas begitu sahaja. Nabila terus membuka pintu dan meluru keluar dari kamar indah bagaikan Neraka.


***


AIR MASAK di dalam gelas diteguk perlahan untuk menghilangkan debaran yang bertandang di hatinya. Dadanya masih lagi berdegup kencang apabila teringatkan kejadian tadi. Sungguh tegar Rudy memperlakunya sebegitu. Dia tidak suka dipaksa dan juga tidak suka memaksa. Rudy seolah-olah tidak memahami yang hati dan dirinya hanya untuk Syazwan sahaja. Tidak akan sesekali diserahkan kepada orang lain apatah lagi lelaki kasanova seperti Rudy itu. Berpura-pura baik di depan ibunya tetapi bersikap seperti buaya di belakangnya.

“Padan muka! Nak sangat paksa aku tadi. Rasakanlah tendangan mahahebat itu. Tak padan dengan Maya, masih lagi nak aku layan nafsu dia tu. Dasar lelaki miang!” Nabila mencemuh Rudy.

Sesekali bibirnya tersenyum apabila teringatkan keadaan Rudy yang sedikit terjerit menahan sakit akibat tendangan dia itu.

Keadaan yang sunyi sepi menyebabkan Nabila sedikit berjalan perlahan-lahan menuju ke ruang tamu rumahnya. Dia tahu yang Rudy tidak akan mengekorinya sampai ke dapur kerana bilik tidur ibu dan ayahnnya terletak berhampiran ruangan itu. Perlukah dia masuk kembali ke bilik pengantin itu? Fikirannya keliru untuk seketika.

Krekk!!

Tiba-tiba sahaja kedengaran pintu bilik dibuka. Nabila yang masih berada berhampiran dengan meja makan itu cepat-cepat menunduk dan bersembunyi di bawah meja. Keadaan yang samar-samar cahaya itu membolehkan dia melihat kelibat tubuh Rudy yang mula keluar disebalik pintu itu. Nabila menutup mulut cuba menahan nafas. Matanya tidak lepas-lepas memandang gerak–geri Rudy. Fikirnya, mesti Rudy tercari-cari dia pada saat ini.


***


“MANA pulak perempuan ni? Nak lari daripada aku ke? Nak cari nahas betullah dia ni.”

Gumam Rudy sambil melangkah menuju ke dapur. Rasa senak yang sudah mula berkurangan itu sudah membolehkan dia kembali berjalan seperti biasa. Tidak seperti mula-mula tadi, terhenjut-henjut menahan kesakitan.

Matanya masih meliar-liar mencari kelibat Nabila di dapur namun tidak juga berjumpa. Pintu bilik air yang berada di dapur dikuak perlahan namun tidak dijumpai juga. Dia merengus kasar dan menjenguk ke luar tingkap. Rasanya macam tidak logik sahaja jika difikirkan yang Nabila akan keluar dari rumah itu kerana jam sudah menunjukkan pukul dua pagi.

“Ping!!”

Terdengar bunyi sesuatu yang jatuh ke lantai. Rudy yang sedang menjenguk ke luar tingkap itu terperanjat. Dia tidak perasan yang kakinya sudah terlanggar pasu bunga yang berada berhampiran dengan peti ais itu. Diketap bibirnya tanda tidak puas hati.

“Nabila, kenapa tu?”

Tiba-tiba sahaja satu suara menegur dari arah belakang. Rudy berpaling dan melihat ibu Nabila, Puan Samsiah baru sahaja melangkah ke luar dari biliknya.

“Err..Mak..Rudy ni, tersepak pasu bunga tadi.” Rudy menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Cuba memberi alasan yang dikira logik akal.

“Oh, kamu Rudy! Emak ingatkan siapalah tadi. Buat apa dalam gelap ni? Kenapa tak pasang lampu?” Tanya Puan Samsiah lagi.

“Dahaga pulak tadi. Tu yang Rudy ke dapur. Tak jumpa pulak cari suis lampu.”

“Kamu ni ada-ada saja. Nabila dah tidur ke? Ishh dia ni, suami dahaga, dia pulak sibuk membuta.”

Marah Puan Samsiah menggeleng-geleng kepala mengenangkan perangai Nabila yang seakan tidak mengambil berat dengan Rudy.

“Tak apalah mak. Lagipun Rudy kesian sangat kat dia. Penat sangat kut dengan kenduri siang tadi.” Sambung Rudy lagi memberi alasan.

“Kalau macam tu mak tidur dululah. Kamu tu jangan tidur lambat-lambat pulak. Esok saja kemaskan pasu tu.” Pesan Puan Samsiah lalu kembali ke bilik.

“Ya mak. Nanti Rudy tidurlah.” Tangan Rudy mencapai cawan di atas rak. Matanya masih lagi memandang Samsiah hingga ke bilik tidurnya. Dia mengeluh nafas kelegaan.


***


NABILA yang terdengar sayup-sayup perbualan antara Rudy dan emaknya iu segera sahaja bertindak. Dia mengambil kesempatan itu untuk memasuki bilik pengantin mereka. Terkocoh-kocoh dia menutup pintu dan segera ke almari pakaian. Dicapai apa sahaja pakaian yang perlu dan disumbatnya ke dalam beg pakaian yang berada di dalam almari itu. Dia bertekad untuk melarikan diri. Melarikan diri dari cengkaman Rudy.

Matanya memandang ke arah tingkap yang masih bertutup itu. Mindanya mula merencanakan sesuatu. Ya, dia perlu ke luar dari rumah ini melalui tingkap kerana itu sahaja jalan mudah yang terfikir olehnya pada saat ini. Pintu utama rumah ini terlalu jauh dari bilik mereka dan dia berfikir jika dia hendak melalui pintu itu, keadaan mungkin berisiko. Rudy mungkin akan menyedarinya.

Tudung dicapai dan terus dipakai tanpa membetulkannya terlebih dahulu. Beg pakaian diambil lalu digalas ke bahu. Nabila bersiap sedia untuk melarikan diri. Tingkap kayu biliknya dibuka luas dan matanya menjenguk ke bawah. Tidak terlalu tinggi untuk dia terjun dari situ. Dengan lafaz Basmalah, Nabila terjun ke bawah.

“Maafkan Nabila mak. Nabila tak sanggup hidup dengan Rudy.”

Ucap Nabila memandang sayu ke arah rumahnya seketika sebelum melangkah laju menuju ke pintu pagar. Bertemankan cahaya bulan dan bintang-bintang di langit, Nabila pergi membawa diri.


***


“EH aku rasa pintu bilik ni tadi tak berkunci, macam mana pula boleh berkunci ni?”

Tanya Rudy di dalam hati. Tangannya cuba memulas tombol pintu bilik itu tetapi masih juga tidak bergerak. Dia mengeluh geram. Dia pasti Nabila menguncinya dari sebelah dalam. Hendak memanggil Nabila dia bimbang pula jika ibu Nabila akan mendengarnya. Hendak tak hendak dia pergi duduk di sofa buat seketika.

Mukanya diraup perlahan dan fikirannya menerawang jauh cuba memikirkan cara terbaik untuk membuka pintu bilik itu. Dia berfikir pasti bilik Nabila itu mempunyai kunci pendua. Segera dia bingkas bangun dari situ dan menuju ke arah ruang tamu. Di situ pelbagai jenis kunci ada di rak berhampiran dengan almari perhiasan. Dibeleknya satu persatu kunci tersebut dan cuba membandingkan kunci yang agak sama dengan kunci pintu bilik Nabila.

“Kau memang nak cabar aku malam ni Nabila. Tengok sajalah apa yang aku buat nanti.”

Gumam Rudy dan tergesa-gesa Rudy menghampiri pintu bilik. Sekali cucuk sahaja pada tombol pintu itu, pintu bilik Nabila segera terbuka. Pandangannya diliarkan ke sekeliling bilik yang tiada berpenghuni itu. Matanya tertancap pada tingkap yang terbuka luas. Dia segera menjengukkan kepala ke tanah namun tiada sesiapa di situ. Jejak Nabila tidak kelihatan lagi. Hatinya mendongkol geram. Tak sangka sekali begitu tekadnya Nabila melarikan diri dari rumah.

“Kurang ajar punya isteri, sanggup dia larikan diri pada malam pertama!” Rudy mencemuh Nabila.

Segera dia ke pintu utama untuk mengejar Nabila. Dia pasti Nabila tidak lari jauh lagi memandangkan Nabila hanya berjalan kaki.

“Kau ingat kau boleh lepas dari aku ke Nabila? Kau silap. Kau silap besar jika kau rasa perkara tu berlaku. Aku takkan lepaskan kau dengan mudah!”

Gumam Rudy lagi sambil menyarung kasar seliparnya. Hatinya geram dengan tindakan Nabila itu. Ternyata Nabila betul-betul tekad melarikan diri daripadanya setelah perkara itu berlaku. Pujukan serta kata-kata romantis dari bibirnya seakan kebal buat Nabila. Isterinya itu langsung tidak tercuit hati, malah sanggup memarahinya kembali. Kemewahan yang dilayangkan kepada Nabila juga tidak dapat membeli hati gadis itu dan gadis itu melarikan diri pula apabila dia memaksa gadis itu untuk tidur bersamanya.

Nabila bukannya seperti perempuan yang biasa dijumpainya. Hati gadis itu terlalu keras dan tidak mudah untuk mengalah. Nabila tidak seperti Maya. Maya selalu terpujuk dan seringkali tewas dengan pujuk rayunya sehingga sanggup menyerahkan apa saja miliknya. Apalagi dengan kekacakkan serta taraf darjatnya yang berasal dari golongan berada, Rudy seringkali mudah mempermain hati para wanita di sekelilingnya.

Rudy sedikit termengah-mengah apabila sampai di selekoh. Dia berjalan laju untuk mengejar Nabila.

‘Bodoh juga Rudy ni, kalau ya pun, gunalah kereta!’ Dia memarahi dirinya.

Dia berhenti seketika untuk mengambil nafas sambil merenung ke dalam kegelapan malam. Hanya bunyi unggas serta cengkerik yang kedengaran, tiada langsung bunyi kenderaan, jauh sekali bunyi tapak kaki orang melangkah.


***


NABILA yang sedang berjalan itu terhenti seketika apabila terdengar bunyi sesuatu.Kedengarannya seakan-akan bunyi kenderaan tetapi dia tidak pasti. Langkahnya dihentikan dan telinganya difokus pada bunyi tersebut. Seperti bunyi pergerakan seseorang, namun dia tidak dapat melihatnya dengan jelas kerana cahaya bulan hanya samar-samar sahaja ditambah lagi dengan lampu jalan yang menyala dan sekejap tertutup dengan sendiri.

Ketakutan mula menyelubungi hatinya tatkala terlihat bayang-bayang seseorang dari kejauhan. Kakinya seolah-olah terlekat pada jalan tar itu. Jantungnya bergetar kencang. Dia cuba untuk melarikan diri, namun kakinya seolah tidak dapat menerima arahan aripada otaknya. Dia terkaku di situ.

“Nabila! Kau memang tak boleh lari dari aku!”

Jerit Rudy sambil berlari-lari menuju ke arah Nabila yang berada kurang 20 meter dari jaraknya.

Nabila yang terkejut dengan jeritan Rudy itu mula menggelabah. Baru saat itu kakinya cuba bergerak namun semuanya sudah terlambat. Rudy sempat menarik tangan Nabila agar Nabila tidak melarikan diri. namun Nabila berkeras dan meronta-ronta.

“Lepaslah jantan keparat! Aku takkan ikut kau balik!” Balas Nabila.

“Kau ingat senang ke aku nak lepaskan kau?” Jerit Rudy pula.

“Lepaslah!!”

Di dalam keadaan panik dan cemas itu, Nabila cuba meloloskan dirinya agar tidak termasuk dalam rangkulan Rudy.Kesempatan itu diambilnya untuk menolak kasar tubuh Rudy ke tengah jalanraya. Rudy yang tidak sempat mengawal keseimbangan tubuhnya itu hampir tersembam di atas jalan. Pada masa itulah Nabila perasan ada kereta yang bergerak laju menghampiri arah mereka.


“Dumm!!!”


Nabila tersentak. Matanya membulat melihat tubuh Rudy melayang dirempuh kereta Myvi itu. Tubuh Rudy melambung tinggi ke udara sebelum menghempap permukaan jalan. Darah penuh berjejeran di atas jalan, akan tetapi kereta yang melanggar Rudy itu terus sahaja memecut laju. Pemandu kereta itu tidak sesekali memberhentikan kereta. Kemungkinan untuk dijadikan kes langgar lari sahaja memandangkan tiada siapa menjadi saksi di tempat kejadian.

Nabila terduduk di situ. Otaknya seakan-akan beku apabila melihat tubuh Rudy yang terbaring kaku dan bermandikan darah itu. Dia tidak boleh berbuat apa-apa melainkan hanya menjadi pemerhati sahaja. Bibirnya menggeletar dan matanya mula berkaca. Dia tidak ingin menangis, namun memandangkan Rudy ada pertalian darah dengannya, air matanya tetap juga menitis.

“N...na....bi..la....Maaf...kan...a...aku.” Hanya itu sahaja yang terluah dari bibir Rudy yang terketar-ketar sebelum dia menutup mata untuk selama-lamanya.


***


MENGGIGIL tangannya memegang stereng keretanya itu. Tidak dijangka sekali yang dia akan melanggar orang pada malam ini. Dirinya yang mula ketakutan itu terus memecut laju tanpa mempedulikan perlanggaran yang berlaku beberapa minit tadi.

Matanya tiba-tiba menangkap cahaya dari kejauhan. Cahaya itu terlalu terang dan menyebabkan pandangannya seakan terhalang. Dia cuba mengerdipkan matanya beberapa kali namun matanya masih tidak dapat melawan cahaya itu. Kemungkinan cahaya tersebut datang daripada kenderaan berat, namun dia sendiri tidak pasti kerana matanya mula terasa pedih.

Dia cuba memperlahan kelajuan keretanya apabila hampir tiba di selekoh itu, namun kenderaan berat yang berada di laluan bertentangan tiba-tiba sahaja memotong dan berada di laluan yang sama dengannya. Dia meneguk liur dan berdoa agar semuanya selamat. namun semua itu seperti telah ditakdirkan berlaku.

“Ponnn!!!”

Panjang sekali bunyi hon lori itu apabila menyedari ada kenderaan di atas laluan yang sama. Pemandu lori itu memang tidak sempat mengelak kerana lorinya sarat membawa barang. Sekali harung sahaja semuanya seperti berada di dalam drama. Kereta Myvi yang dipandu Maya dirempuh laju dan terperosok di bawah lori sebelum terheret beberapa meter ke bahu jalan.

Pemandu lori yang masih terpinga-pinga akibat kejadian itu meluru keluar untuk melihat apa yang berlaku. Kereta Myvi yang dipandu Maya remuk teruk. Tubuh Maya tidak kelihatan di mana-mana. Barangkali hancur berkecai bersama dengan kereta yang dipandunya.


***


~2 tahun berlalu~


KEHIBAAN dalam cinta bertahun berlalu. Bagaimanakah keadaan kekasih hati yang sudah lama ditinggalkan itu? Sudah terlalu lama dia menyepikan diri. Apa agaknya yang sedang berlaku pada sang kekasih itu saat ini. Entah makan ke tidak? Pakai dan tempat tinggal pula bagaimana? Adakah diurus dengan baik? Bila dikenangkan kembali, kecewa bertandang menghambat jiwanya yang kesepian. Sang kekasih hatinya itu sudah dilamar orang.

“Sudahlah Wan... barang yang lepas jangan dikenang. Kau ni tak habis-habis termenung sana termenung sini. Sejak kau dah buka perniagaan sendiri ni aku tengok kau tak pernah nak happy bila ada dekat rumah ni. Kalau ditempat kerja kau serius pulak, hairan aku tengok kau.

Wan, cubalah berikan ruang untuk diri kau tu lupakan apa yang berlaku. Sudah dua tahun kau menyepi dan kau tak teringin ke untuk menghubungi Nabila?”

Saddam tidak putus-putus memujuk lara sekeping hati lelaki yang kecewa itu. Saddam dapat memahami masalah Syazwan kerana sebelum ini Syazwan pernah menceritakan masalah itu namun selepas dia bercerita, sampai sekarang dia berkedaan seperti hilang jiwa.

Saddam meletakkan dua cawan kopi panas yang dibancuhnya ke atas meja. Minuman itu dibuatkan untuk Syazwan dan dirinya.Televisyen di hadapan masih terpasang dan Saddam tahu bahawa fikiran Syazwan sedang melayang. Wajah tampan itu hilang serinya kerana bermuram sahaja.

“Kalau dibelah dada ni adalah Nabila akan dapat melihat kesetiaan hati aku terhadap dirinya? Aku masih menunggu kehadirannya dalam realiti hidupku sekarang ni meskipun setiap malam dia selalu datang dalam mimpi-mimpiku. Dia kelihatan sedang memanggil aku kembali kepadanya.”

“Kau ni dah parah Wan. Cuba-cubalah bawa mengucap. Aku tengok kau ni dah macam orang tak betul. Bila malam je kau jadi macam ni, aduh... aku pun dah mental tengok kau semenjak kebelakangan ni.”

“Apa lagi yang aku boleh buat Saddam? Nak aku pergi musnahkan rumahtangga mereka ke? Jangan-jangan Nabila sedang berbahagia dengan si Rudy tu.” Kata Syazwan menongkat dagu di meja makan itu.

“Dah dua tahun Wan, takkan kau tak cari pengganti lain? Tasya tu... cuba kau bagi peluang padanya untuk kau dicintai olehnya. Aku tengok dia syok kat kau. Tasya tu lawa boleh tahan jugak.”

“Aku tak fikir untuk berkasih dengan pekerja aku sendiri. Lagipun hati dan perasaan aku ni hanya untuk Nabila seorang sahaja.” Syazwan mengeluh perlahan.

Saddam mencapai semula cawan kopinya dna diteguk bagaikan air sejuk. Tersembur air itu gara-gara kepanasan. Dia tidak perasan air itu masih panas. Terlupa agaknya.

“Apa ni Saddam! Habis kotor t-shirt aku ni!” Marah Syazwan yang terus bangun mencerlung mata.

“Eh, maaflah, aku tak sengajalah Wan... takkan tu pun nak marah.”

“Dahlah! Malaslah aku nak layan kau ni!” Bentak Syazwan terus melangkah masuk ke dalam biliknya dan menyepikan diri. Dia marah kerana itulah adalah t-shirt lambang Superman seperti Faizal Tahir selalu pakai tu. Baju yang terkena kotoran sebentar tadi adalah baju hadiah hari lahirnya diberikan oleh Nabila. Dia sayangkan baju itu.

Biarpun hatinya tercampak jauh dan dia cuba membenci Nabila namun semakin lama semakin sayang. Rindu mendalam, rindu yang pahit hilang manisnya tatkala mengenangkan nabila sudah menjadi milik orang. Dia sendiri terfikir untuk meyerahkan hatinya pada orang lain namun hatinya berkata tidak boleh.

Dia menanggalkan bajunya dan saat ini dingin malam menyapa tubuhnya yang tidak berbaju itu. Di tangannya dipegang baju berkesan kotoran kopi. Dibawakan perlahan-lahan baju itu lalu dicium baju pemberian Nabila dua tahun yang lalu. Tempoh dua tahun itu cukup lama bagi insan yang kerinduan sepertinya.

Tatkala baju itu menyentuh batang hidungnya, dengan perlahan-lahan dia rebahkan tubuh di atas tilam. Terbayanglah saat-saat indah tika bersama Nabila di sebuah taman bunga sambil menari-nari menyanyikan lagu Kuch Kuch Hota Hai.

Nabila berlari-lari bersama sari merah sambil dikejar manja oleh Syazwan. Merdu sungguh irama cinta yang sedang berlagu ketika itu.

Tum paasse aye, Tum paasse aye

Yun Muskurayee, Tum nena jane kya

Sapne de khaye, Aabto mera dil

Jaane ka sota hai, Kya karoon ha ye Kuch kuch hota hai

Dalam tidak sedar dia terus berdengkur. Dengkuran rindu telah hanyut dibawa pergi bersama nafas kesepian berombak hiba yang terlalu dalam serta luka yang terpendam.


***


"Saddam, aku rasa aku nak balik kampung lah, nak jenguk tempat Nabila. Kau tolong beritahu ayah angkat aku, aku tak jenguk dia minggu ni...aku dah call dia tadi,tapi dia tak angkat, mungkin tengah meeting kut?"

Syazwan menyatakan hasrat hatinya kepada teman baiknya itu. Saddam hanya mengangguk. Memang Syazwan seorang lelaki yang setia, hatinya masih lagi basah dengan cinta Nabila. Bilalah agaknya Syazwan dapat menemukan galang ganti Nabila? Atau, memang seluruh hidupnya akan menjadi hamba kepada cinta yang tak tercapai itu?

"Ok bro, aku no hal. Berapa hari kau pergi sana?"

"Sehari aja, esok aku baliklah...aku rindu kat kampung tu, yelah, tempat lahir aku kan."

"Hurm, yelah...drive elok-elok."

Saddam berpesan sebelum kelibat Syazwan hilang disebalik pintu BMW 7th series yang berwarna hitam berkilat itu.Bertuah betul Syazwan ni, dahlah ayah angkatnya kaya raya, bisnesnya pula maju sehingga serata pelusuk Asia Tenggara.


***


Di kampung...


"Assalamualaikum..."

Syazwan memberi salam di hadapan rumah batu bercampur kayu itu. Keretanya sudah segak terpakir di bawah pokok mangga, betul-betul berhadapan dengan rumah itu.

‘Aik, macam tak ada orang aja…’

Syazwan baru sahaja ingin melangkah pergi, namun satu suara menjawab salamnya, membuatkan dia membatalkan hasratnya tadi.

“Anak cari siapa? Anak sesat ke?”

Syazwan memandang wajah tua di hadapannya ketika ini. Ibu Nabila itu merenungnya kehairanan. Macam tengok alien mendarat pun ada. Kenapa? Apakah rambutnya sudah tidak terpacak? Apakah bibirnya sudah herot-berot? Atau…ahh…Syazwan mengenakan cermin mata hitam rupanya, manalah Puan Samsiah hendak cam!

Dengan penuh bergaya, Syazwan menanggalkan cermin matanya lalu disangkutkan pada leher T-shirt Polonya itu.

“Mak cik tak cam saya?”

Syazwan bertanya kepada Puan Samsiah. Puan Samsiah tercengang.

“Syazwan? Kamu ke ni nak? Ya Allah…segaknya kamu sekarang. Masuklah…”

Syazwan membontoti Puan Samsiah ke atas rumah. Puan Samsiah kalut ingin menyediakan air teh, namun Syazwan menghalang. Dia bukan ke sini untuk minum, dia ke sini untuk bertanyakan khabar si pujaan hati.

“Mak cik, Wan sebenarnya ke sini untuk bertanya khabar Nabila. Dia sihat Mak cik?”

Puan Samsiah memandang Syazwan. Sebuah senyuman kelat terukir pada wajah tua tersebut. Dia mengeluh perlahan.

“Wan tak tahu ke?”

Puan Samsiah bertanya kepada Syazwan. Syazwan mengerutkan dahinya.

“Tahu apa mak cik?”

“Wan tak tahu yang Nabila dah jadi balu? Wan tak tahu Rudy dah meninggal dua tahun dahulu, masa malam perkahwinan mereka? Wan memang betul-betul tak tahu?”

Syazwan menggelengkan kepalanya. Memang dia tidak mengetahui apa-apa pun tentang khabar Nabila setelah diri kekasihnya itu diijabkabulkan dengan orang lain.

“Innalillah…sungguh mak cik…Wan tak tahupun. Nabila ok ke mak cik?”

Sekali lagi, Puan Samsiah mengeluh. Mata tuanya memandang ke arah cinta sejati anaknya itu.

“Nabila tak ok, dari saat dia diijabkabulkan, sehinggalah sekarang, dia masih menantikan kehadiran Wan. Wan, mak cik harap, Wan dapat kembalikan Nabila makcik yang dahulu. Mak cik redha kamu berkahwin dengan dia, asalkan mak cik dapat lihat kebahagiaan anak mak cik sebelum mak cik menutup mata.”

Bersinar-sinar mata Syazwan memandang Puan Samsiah. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, Syazwan terus bersetuju. Alhamdulillah…Nabila bakal menjadi miliknya kelak.

“Terima kasih Syazwan, kamu memang seorang lelaki yang baik…kalaulah dahulu mak cik tak paksa Nabila, sudah tentu kamu berdua dah ada anak kan sekarang?”

Syazwan tersenyum mendengar ayat bakal ibu mertuanya itu.

“Mak cik, kalau mak cik tak buat macam tu dahulu, saya takkan menjadi sekaya ini, dan saya takkan jumpa insan yang yang sanggup mencurahkan saya kasih sayang seorang bapa. Dahulu, ketika saya dalam perjalanan setelah berpisah dengan Nabila, saya telah menyelamatkan seorang pak cik yang terlibat dalam kemalangan langgar lari, agaknya sudah nasib saya yang baik pada hari itu, pak cik it uterus menganggap saya sebagai anaknya, kerana dia tidak mempunyai zuriat dan isterinya pula sudah lama meninggal. Dari dialah saya pelajari selok-belok bisnes ini, dan akhirnya, saya dapat berdiri di tempat saya sekarang. Semuanya ketentuan Allah, dan segalanya ada hikmah disebaliknya.”

Puan Samsiah mendengar cerita Syazwan dengan penuh khusyuk. Ya benar, setiap ujian Allah itu ada hikmah yang tersirat.

“Mak cik, Nabila ada kat sini ke?”

Syazwan bertanya setelah habis berceloteh. Puan Samsiah mengangguk sambil tersenyum.

“Ada, dia ada di tebing sungai tu, Wan pergilah jenguk dia.”

Syazwan terus berlalu setelah mendapat lampu hijau dari bakal ibu mertuanya. Perlahan-lahan, dia menghampiri gadis yang ralit merenung kea rah sungai itu.

“Wan…Nabila rindukan Wan, Nabila selalu ingatkan Wan…Wan tak ingat Nabila ke?Wan dah tak sayang Nabila?”

Gadis itu berkata seraya mengambil sebiji batu lalu mencampaknya ke dalam sungai itu.

“Siapa kata Wan tak rindukan sayang? Siapa kata Wan tak sayangkan Nabila?”

Nabila terus berpaling kea rah suara garau tersebut. Nabila tersenyum apabila melihat wajah lelaki yang menjadi pujaannya selama ini.

“Wan?”

Nabila bertanya kehairanan.

“Tak…bunian je ni…”

Lantas, bahu Syazwandipukul-pukul Nabila. Syazwan mengaduh kesakitan.

“Apa pukul-pukul abang ni, sayang? Bukan dia nak peluk kita, malah dipukul pulak kita!”

Syazwan berkata dengan nada yang sayu. Nabila tersengih malu.

“Siapa suruh Wan cakap bunian tadi? See, salah Wan juga kan?”

Syazwan tersenyum dengan telatah manja Nabila. Dia rasa sangat senang hati pabila bersama Nabila.

“Baiklah tuan puteri, memang salah Wan. happy?

“Nabila hanya akan happy bila dapat kahwin dengan Wan…”

Semakin ligat Syazwan tersenyum. Nabila pula sudah menunduk ke bawah. Malu tahu tak!

“Wah, perigi cari timba, sayang abang ni! Haha…apa-apa pun, big boss Nabila dah kasi greenlight untuk kita kahwin.”

Nabila mengangkat pandangannya. Matanya membulat dan mulutnya sudah menjadi bentuk ‘O’.

“Tak payah buat terkejut sampai macam tu sekali, tadi sebelum abang ke sini, abang berjumpa dengan bakal mak mertua dahulu, mintak pass nak jenguk bunga di taman larangan ni. So, kiranya cik bunga ni sukalah ya abang kumbang yang segak ni datang nak hinggap pada daun cik bunga?”

Syazwan sudah memulakan ayat sasteranya. Nabila pula, sudah tersipu malu.

“Bunga sudi aja abang kumbang, memandangkan big boss sudah kasi pass kepada abang kumbang, cik bunga rela sekiranya abang kumbang mahu menghisap madu cik bunga sekalipun, kerana kehadiran abang kumbang, semakin menyerikan hari-hari cik bunga.”

Apa kes lah main bunga –kumbang-bunga- kumbang ni. Menggedik je mereka berdua ni.

“Abang janji, abang akan jaga sayang sehingga nafas terakhir, sayang. Will you marry me, Nabila?”

Sekuntum bunga ros merah disua ke arah Nabila. Nabila mengangguk perlahan.

“Insyaallah, abang…Insyaallah…”

Jawab Nabila sambil mengambil bunga ros tadi, lalu diselitkan pada telinga kiri Syazwan. Mereka tersenyum girang. Akhirnya, bahagia menjadi milik mereka.


***


"Aku terima nikahnya Nabila binti Ramly dengan mas kahwin sebanyak RM200 ringgit tunai."

Sekali lafaz sahaja Nabila telah selamat diijabkabulkan oleh jejaka yang telah lama menghuni di hatinya. Setitis air mata menitis jua ketika doa dibacakan oleh tok kadi, begitu kudus sehingga menggetarkan hatinya. Akhirnya, cita-citanya untuk mengikat ikatan yang sah antara dirinya dengan Syazwan telah dimakbulkan Tuhan yang Maha Esa.

Dari hujung matanya, dia dapat melihat sang suami begitu segak memperagakan sepersalinan baju melayu yang berwarna putih itu. Kacak di luar, dan juga tampan dari sudut dalamannya. Ternyata jodoh mereka sudah tersurat di Loh Mahfuz lagi.

"Amin."

Nabilla segera mengaminkan doa yang ditadah tadi. Nasib baik para lelaki mengaminkan doa tersebut dengan kuat, jikalau tidak, sudah tentu Nabilla hanyut menatap kesegakan suaminya sendiri. Ya, Syazwan! Syazwan adalah hak milik mutlaknya selepas Allah, Rasul, dan juga ibu mertuanya. Lelaki yang bakal memimpinnya ke al-firdausi kelak. Lelaki yang dikurniakan untuk mejadi pelindung dari segala kejahatan di dunia yang fana ini. Lelaki yang bakal menemaninya di usia-usia senjanya nanti, insyaallah.

Nabila menarik segaris senyuman manis apabila Syazwan menghampirinya bagi sesi pembatalan air sembahyang. Syazwan di hadapannya di pandang penuh kasih. Sekali lagi, wajah mulus Nabila ternoda dengan air jernih yang meluncur laju dari tubir matanya.

Syazwan menarik perlahan jari manis Nabila yang runcing itu lalu menyarungkan sebentuk cincin platinum yang bertatahkan sebutir berlian yang bersinar-sinar. Setelah itu, Nabila tunduk mengucup tangan suaminya, lama. Setitis air matanya menitis ke atas belakang tangan Syazwan. Nabila segera mengangkat wajahnya apabila Syazwan melepaskan genggaman tangan mereka.

Syazwan merenung ke dalam mata isterinya, dia ternyata dapat melihat sinar kebahagiaan walaupun wajah Nabila sudah lencun dengan air mata.

"Shhh...sayang, tak elok menangis, nanti mereka ingat abang yang paksa sayang kahwin."

Pujuk Syazwan sambil mengelap air mata yang masih tegar mengalir itu. Perlahan-lahan, sebuah senyuman manis terukir pada wajah sang juwita. Mekar, mekar dan semakin mekar sehinggalah pada suatu tahap itu, mereka berdua tergelak dengan gelagat masing-masing.

"Eh pengantin lelaki, cepatlah cium isteri tu...kami nak ambil gambar ni..."

Suara lantang salah seorang tetamu yang hadir itu berjaya membuat Nabila tertunduk malu. Syazwan pula sudah mencarikkan senyuman gatal pada wajahnya yang bersih itu. Perlahan-lahan, bibirnya yang nipis itu dirapatkan pada dahi licin Nabila. Lama sepasang bibir itu singgah di situ sebelum beralih ke kedua-dua belah pipi Nabila.

Muka Nabila sudahpun bertukar warna, semakin merah pipinya, tambah-tambah lagi setelah ditenyeh blusher oleh mak andam tadi.

“Cantik isteri abang, I love you sayang…”

Kata-kata romantis itu terlampau manis pada pendengaran Nabila. Untungnya dapat suami yang romantis. Nabila kembali memandang suaminya, dan dia ingin membalas kata-kata indah tersebut, namun, sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku.

Dua oranglelaki berbadan sasa memunculkan diri dalam ruangan tersebut.Mereka kelihatan sedang berbincang sesuatu yang serius bersama Puan Samsiah. Puan Samsiah pula kelihatan runsing. Apakah yang sedang mereka bicarakan?

Puan Samsiah yang berbadan sedikit gempal itu berjalan terkedek-kedek ke arah pasangan mempelai. Dia mencuit bahu Syazwan. Syazwan memandang ibu mertuanya itu.

"Wan! Mereka ni dari IJN, kata mereka, ayah angkat Wan tengah nazak. Wan kena juga pergi jenguk ayah angkat Wan itu. Mak tak mahu Wan jadi seperti kacang lupakan kulit"

Syazwan terpana. Ayah angkatnya sakit? Dia bergegas bangkit dari silanya dan terus menghampiri dua orang jejaka tersebut. Nabila yang turut terdengar perkhabaran dari ibunya tadi turut membontoti suaminya.

"Abang..."

"Sayang, kita kena juga bertolak sekarang, ayah tengah nazak sangat, abang takut nanti tak sempat jumpa insan yang telah banyak menabur budi dalam hidup abang, sayang ikut abang ok?"

Belum sempat Nabila ingin bertanya lebih lanjut, Syazwan sudah memberikan kata putus. Nabila akur, sememangnya itulah yang mahu diucapkan kepada suaminya tadi. Sebelum semuanya terlewat, baiklah mereka bergegas ke Putrajaya.

"Sayang maklumkan pada mak dulu ya, Abang?"

Nabila terus berlalu ke tempat ibunya setelah Syazwan memberi keizinan.

Setelah itu, dia mengikut Syazwan ke luar rumah.

"Abang dah ambil kunci kereta?"

Nabila bertanya dengan polos. Syazwan hanya berpaling sekilas ke arahnya sambil menghadiahkan sebuah senyuman yang sukar ditafsirkan.

'Pelik Abang ni, masa-masa gemuruh sebegini dia masih boleh mempamerkan wajah yang tenang'

Gumam Nabila di dalam hatinya. Persoalannya tadi sudah terjawab apabila melihat sebuah helikopter jenis Bell 430 yang gah terpamer di padang berhadapan dengan rumahnya. Terkebil-kebil dia melihat reaksi tenang suaminya itu.

'Ini bermakna, selama ini betullah Syazwan ni dipelihara oleh ayah angkat yang serba kaya?Betullah cerita mak hari itu.' Nabila berteka-teki sendirian.

"Jom sayang, kita naik chopper ni dulu. Kalau kita travel by air, lebih cepat kita sampai IJN, kan? Dapat escape segala traffic jams"

Nabila hanya mengangguk, kerana itu sahaja yang mampu dia buat sekarang. Syazwan di hadapannya ini bukan calang-calang orang rupanya. Tangannya dipegang kemas Syazwan apabila dia ingin memanjat naik helikopter tersebut. Kain kurung modennya sudah diselak sehingga ke lutut, untuk memastikan ianya tidah terkoyak, ataupun tersangkut pada mana-mana bahagian helikopter tersebut. Nasib baik terbuka hatinya tadi untuk memakai legging pada sebelah dalam. Lagi satu, tak ke malu sekiranya dia tersembam seperti nangka busuk di hadapan suaminya nanti? Jatuhlah saham beb!

" Everyone ready?"

Pemandu helikopter tersebut bertanya sebelum menekan suis-suis untuk menggerakkan helikopter tadi.

"Perfectly ready...sayang...pakai ni dulu..."

Ujar Syazwan sambil menghulurkan sebuah backpack dan juga helmet ke arah Nabila. Nabila merenung sepi barang-barang yang disuakan kepadanya itu.

' Kenapa pula Syazwan ni? Ke......."

"Hehe...sebenarnya, ayah tak sakit pun, abang buat semua ni khas untuk sayang. I want our wedding to perfectly unique and never be done before by others. Dulu, sayang pernah cakap bahawa sayang mahukan sebuah pernikahan yang luar biasa. Dan sekarang, abang mahu memakbulkan permintaan sayang itu. Let's free dive baby!"

Kata Syazwan bersahaja sambil tangannya ligat memakaikan Nabila backpack tadi. Nabila terpaku seketika. Wajahnya sudah pucat. Tak sangka betul otak Syazwan menjadi segila itu. Tak logik tahu! Mana ada orang free dive pakai baju kurung dan baju melayu berserta samping.

"Abang...Abang jangan buat lawak bodoh boleh?"

Nabila bersuara apabila tiaranya di tarik keluar dari kepalanya dan digantikan dengan helmet tadi. Syazwan hanya tergelak kecil. Tangannya pantas menekup kedua-dua belah pipi isterinya. Mata Nabila yang bundar dan hitam likat itu dipandang dengan penuh cinta.

" I am not making any lousy jokes here, baby. Abang maksudkan apa yang abang kata tadi. Sayang jangan takut, abang ada di sisi sayang. Lagipun, sebagai hambaNya, kita hanya perlu takut kepada Allah SWT."

Nabila menelan liurnya. Ternyata Syazwan benar-benar serius.

" Waaaaarrgghh...tak mahu, tak mahu! Tak mahu terjun! Kalau abang nak sangat terjun, abang terjun lah sorang-sorang. Ni bukan cerita Titanic tau, nak buat trend You jump I jump...ini cerita hidup Nabila, you Jump, I watch only."

Syazwan terkilan mendengar bait-bait kata yang keluar dari mulut isterinya itu. Ada hati lagi Nabila nak buat lawak kampus. Tanpa sebarang amaran, dua ulas bibir tersebut bercantum, lama. Syazwan mengeratkan lagi pelukannya di pinggang ramping Nabila. Tiada lagi jarak memisahkan mereka. Nabila seolah-olah terpana dengan sentuhan sang suami. Layanan Syazwan terhadapnya begitu mesra, membuatkan hati wanitanya melonjak kegirangan. Dia turut membalas kucupan manis Syazwan.

Seketika kemudian, Syazwan melepaskan ciumannya. Nabila yang sudah terbuai dalam asmara itu mencebik tanda tidak berpuas hati.

“Eherm…nak lebih-lebih, nanti malam ni ye sayang.”

Tertunduk Nabila mendengar usikan Syazwan itu, Nakal sungguh. Syazwan pula tak sudah-sudah dengan gelak ketawanya. Hatinya senang melihat Nabila yang tersipu malu dengan usikannya sejenak tadi. Namun dia masih bangga kerana Nabila tidak menolak kemahuannya tadi. Sayang sungguh Nabila terhadap dirinya.

“Abang ni kan…Abang yang mulakan dulu tau. Abang miang pergi cium sayang kenapa?”

Nabila mempersoal tindakan suaminya tadi, semata-mata ingin menutup malunya. Dia sebenarnya bahagia apabila diperlakukan sebegitu. Nikmat betul berkahwin dengan insan yang dicintai, dan juga mencintainya sepenuh jiwa raga.

“Siapa suruh sayang cakap you jump I watch? Abang tak kira, I jump, you also must jump!

Kalau tak, abang tahulah macam mana nak dera sayang malam ni.”

Tangan Nabila mula mencari sasaran apabila melihat senyuman nakal pada bibir Syazwan. Cepat-cepat Syazwan mengelak.

“Ish…ketam sayang ni kan, memang berbisa. Nanti penuhlah berbintang badan abang kalau hari-hari kena cubit. Nasib kaulah Labu dapat isteri yang pelihara ketam.”

Makin kuat Nabila mencubit lengan Syazwan apabila mendengar rungutan tadi.

“Padan muka abang yang macam katak puru kena gilis lori kontena tu…suka sangat sakat ayang, baru abang tahu yang isteri abang ni suka mencubit! Yelah, yelah…you jump, I jump.”

Akhirnya , Nabila mengalah. Syazwan tersenyum manis. Pipi Nabila dikucup syahdu.

“Abang sayang sangat sayang…”

Serentak dengan itu, Syazwan menolak keluar tubuh Nabila. Setelah itu, dia turut melompat keluar. Tangannya didepakan sambil menikmati deru angin yang menampar kuat tubuhnya itu.

Dia meluncur laju ke bawah bagi menyamakan kedudukan di sebelah isterinya. Memang jelas pada pendengarannya jeritan nyaring Nabila. Bukan sengaja dia ingin menolak Nabila tadi, tetapi dia memang sudah hafal perangai Nabila itu, keputusannya selalu beruba-ubah.

Dia menoleh kepada Nabila yang berada di sebelahnya. Nabila juga memandangnya.

“Tarik picu sayang! Dah nak cecah bumi ni…”

Syazwan menjerit kuat agar Nabila dapat mendengar pesanannya. Nabila melalukan seperti yang diarahkan.

Sentakan yang pertama tidak membuahkan hasil. Payung terjun itu tidak keluar. Nabila menyentak lagi sekali picu tersebut, juga tiada hasil. Nabila semakin cemas.

“Abang! Tak boleh, Nabila tak mahu mati lagi, Nabila nak hidup dengan abang dulu.”

Nabila menjerit kepada Syazwan. Syazwan juga cemas. Payung terjunnya belum lagi dibuka.

“Cuba lagi sayang, tarik kuat-kuat!”

“Tak boleh! Abang, Nabila takut!”

Syazwan melihat ke bawah. Matilah kali ini, hanya beberapa puluh kaki ingin mendarat ke bumi. Lantas dia menginjak badannya berhampiran dengan posisi Nabila dan tangannya kemas merangkul tubuh kecil itu. Nabila tersembam pada dadanya yang bidang itu. Tangan Nabila merangkul erat leher Syazwan, sehingga belakang tengkuk Syazwan terasa pedih. Jantung Nabila yang berdetak kencang turut dirasai Syazwan.

Syazwan cekap menarik picu payung terjunnya.

“Sayang, jangan takut, abang ada. Abang akan sentiasa ada untuk melindungi sayang. I love you so much, sayang. And I can’t even imagine how I could survive living last two years without you by my side.”

Kata-kata manis Syazwan itu sedikit-sebanyak meredakan perasaan cemas yang melanda diri Nabila tadi. Pautan Syazwan pada batang tubuh Nabila semakin erat, dia ingin memastikan Nabila rasa selamat pabila bersamanya.

I love you too, Abang.”

Perlahan, Nabila membalas. Syazwan tersenyum kecil disebalik helmet itu. Indahnya cinta mereka.

***

NABILA merenung tajam ke arah Syazwan. Dia masih lagi geram dengan tindakan Syazwan yang menolak dirinya keluar dari helicopter tadi. Sudahlah dirinya tidak mempunyai pengalaman mencuba aktiviti mencabar tesebut, ditolak pula tubuhnya keluar! Sungguh dia tidak bersedia tadi. Nasib baik Nabila tidak mempunyai sebarang penyakit jantung. Kalau tidak, sudah lama rohnya melayang tadi.

“Sayang, janganlah marah abang. Abang takut sayang tiba-tiba tukar balik keputusan at last minute.”

Syazwan sudah berkali-kali memnita maaf namun Nabila masih juga tidak berkata apa-apa.

“Sayang…”

Nabila terus membelakangi tubuh suaminya.

‘Nak merajuk habis-habisan, sampai hati dia tolak aku, kalau aku mati tadi macam mana? Dahlah dah lama tak buat solat sunat taubat, kalau ye pun nak mati, aku nak mati dalam iman! Mati cuma sekali, hidup dua kali!’ Hati Nabila menggumam kegeraman.

“Hurm…tak apalah macam tu, abang tahu sayang tak ikhlas sebenarnya cintakan abang. Abang cuma cuba merealisasikan impian sayang. Sayang sendiri yang mahukan sesuatu yang unik dan different berbanding majlis orang lain, so I gave to you my best!”

Masih tiada respons dari Nabila. Panjang benar rajuknya kali ini. Pada hakikatnya, Nabila cukup terharu dengan tindakan suaminya membuat kejutan tadi. Sememangnya perkahwinan mereka amat unik. Namun, dia ingin melihat sampai tahap mana suaminya mampu memujuk.

Syazwan pula, apabila melihat reaksi Nabila yang beku itu, rasa tawar hati. Degil juga Nabila ni, tinggi juga egonya. Kata-kata maaf yang diucapkan Syazwan hanya dianggap sebagai angin lalu.

“Tak apalah sayang, maafkan abang kerana tersalah langkah. Maybe, plan abang ni tak cukup unik dan tidak menepati citarasa sayang. Abang tahu diri Abang ni, ibarat melukut di tepi gantang aja, mengharapkan kasih pada yang tak sudi. Sayang merajuklah puas-puas, abang dah tak tahu macam mana lagi nak pujuk sayang, kalau sayang dah tak mahukan abang….”

Nabila pantas meletakkan jari telunjuknya pada bibir Syazwan. Tidak sanggup dirinya untuk mendengar kata-kata perpisahan dari insan yang dicintainya setulus hati itu.

“Abang, Nabila minta maaf, Nabila sengaja nak uji abang. Nabila sudah lama maafkan Abang. Nabila tahu Nabila gedik, saja-saja nak merajuk, nak tengok cara abang pujuk Nabila.”

Nabila mempamerkan suatu senyuman yang cukup menggoda buat suaminya. Syazwan pantas mencubit pipi gebu isterinya. Nabila menjerit-jerit, merah sudah pipinya dicubit sebegitu.

“Eee…nakal lah sayang ni, abang gigit-gigit pipit sayang tu baru tau. Nak uji abang ye? Sekarang abang pulak nak uji sayang. Jom tidur!”

Nabila menelan keras liurnya. Alamak, salah masuk perangkap!

“Abang ni gopoh la…kalau tunda esok boleh?”

Nabila mempamerkan muka comelnya, dalam hatinya tak putus-putus dia berdoa agar Syazwan berkompromi dengannya.

“Tentu boleh sayang…”

Nabila sudah melonjak kegirangan. Syazwan pula tersenyum sinis.

“Abang tak habiskan lagi ayat tu, boleh kalau sayang nak tunda esok, tapi sanggup ke sayang dilaknat malaikat sepanjang malam sehingga subuh?”

Syazwan bertanya sambil menjungkitkan sebelah keningnya pada Nabila. Bijak betul dia menggunakan perang psikologi. Tak terkata Nabila dibuatnya.

“Sayang tak sanggup kan?”

Syazwan tolong menjawab bagi pihak isterinya. Nabila hanya menggelengkan kepalanya. Syazwan sudahpun tersenyum.

That’s my wife…Abang sentiasa cintakan sayang…sehingga hayat dikandung badan,

hanyalah sayang yang bertakhta dalam hati abang. Terima kasih sayang, kerana menjadi Hawa bagi Adam yang dahagakan kasih dan cinta hambaNya. I love you."

Nabila tersenyum dengan kata-kata romantis tersebut. Hatinya bersyukur kepada sang Pencipta kerana mengurniakan suami yang menghargai dirinya zahir dan batin.



~~~THE END~~~





P/s : Giler panjang kan? Sampai 44 pages..hehe..itulah jadinya kalau 3 kepala bergabung idea..pd yg dh lame tgu nk bace tu, mintak maaf sgt..dh post dua kali kt p2u tp tak kuar2, tak taw kenape...dh dua minggu lebih dh tgu...So post kt blog je lah...Btw komen-komen adalah amat dihargai, terima kasih :D