RUMAH YANG sudah hampir
mencecah usia lebih separuh abad itu kelihatan masih utuh di atas tanah yang berukuran
hampir setengah ekar. Dikelilingi dengan pelbagai pokok bunga yang memagari
halaman rumah membuatkan pemandangan di halaman rumah itu bertambah indah serta
elok dipandang. Dilengkapi pula dengan pohon kelapa yang sayup-sayup tinggi,
hampir membuatkan suasana di situ tampak begitu tenang.
Firash mula memarkirkan keretanya di
halaman rumah tersebut dengan mata meninjau sedikit-sebanyak kawasan
sekeliling. Nampaknya semua masih tidak banyak berubah. Walaupun sudah hampir
tiga belas tahun dia tidak menjejaki rumah tersebut, semuanya masih hampir
kelihatan sama. Kali terakhir dia datang ke situ pun hanya untuk mengikuti
kelas mengaji. Itupun semasa dia berusia lapan tahun. Teringatkan akan
kenangan-kenangan ketika mengaji di situ membuatkan bibir Firash tersenyum
lebar. Mana mungkin dia akan lupa akan zaman nakalnya ketika masih lagi
kanak-kanak itu.
“Kenapa yang senyum sorang-sorang ni?”
Syaf yang berada di sebelah mula sedikit
pelik apabila melihat Firash yang tersenyum-senyum. Apa kes laki aku ni? Buang tebiat ke apa?
“Eh sayang.. ni abang teringat kisah
masa abang kecik-kecik dulu.”
Bibir Firash masih dengan senyuman yang
tidak putus. Ditatap wajah isterinya seketika yang sudah penuh persoalan.
“Oh pasal tu ke? Nakal betul tau dia
masa kecil. Hessy, rasa nak
cubit-cubit je kalau ingat balik.”
Syaf cuba hendak mencubit pipi suaminya
namun cepat-cepat Firash mengelak.
“Sorry-sorry sayang.. masa tu abang tak pandai
nak luahkan perasaan so abang buat
macam tu lah.”
Sambung Firash dengan kepala yang
digelengkan. Memang dia langsung tidak menyangka yang dia akan berbuat demikian
pada Syaf. Nasiblah ketika itu tak ada orang nampak. Kalau tak, harus kena
marah. Tak pun kena tarik telinga dengan arwahTok Mi.
“Eee, tak baik tau.. nasib sayang tak
bagitahu kat mak.”
Syaf membalas geram. Sungguh selepas
kejadian itu, dia sedikit agak segan untuk ke rumah Mak Ngah namun tetap
digagahi juga untuk menghabiskan sesi mengajinya.
“Tak ada orang tahu kan, selamat abang.”
Firash mula tergelak-gelak kecil.
Dipandang wajah Syaf yang mula mencebik.
“Kalau mak tahu bukan setakat kena marah
kut, lebih dari tu pun kena.”
Syaf menyambung. Memikirkan apa akan
terjadi jika kejadian itu diketahui oleh arwah emaknya. Harus Firash kena marah
walau masa itu suaminya hanya berusia lapan tahun.
“Lebih dari tu? Maksud sayang? Kena
paksa kahwin?”
Firash mula tergelak-gelak. Lucu dengan
soalan yang direkanya sendiri.
Syaf mula menjeling. Tangan kanannya
laju sahaja bergerak ke arah peha Firash.
“Amboi gatalnya dia. Tak padan dengan kecik lagi masa tu dah nak kahwin?”
“Amboi gatalnya dia. Tak padan dengan kecik lagi masa tu dah nak kahwin?”
Puas hati Syaf apabila dapat mencubit
peha suaminya itu.
“Aduii... apa ni sayang? Sakitlah..”
Firash menolak-nolak tangan Syaf yang
masih melekat di pehanya. Boleh tahan perit!
“Padan muka. Perangai tak berubah dari
kecik sampai besar.”
“Alah sayang ni.. abang main-main
ajelah.. Jom kita turun.. jumpa mak ngah.”
Firash mula menarik tangan Syaf dan
membelai lembut seakan memujuk. Bimbang juga jika isteri kesayangan merajuk.
Susah pulak nak pujuk nanti.
“Hmm, yelah.”
Masing-masing mula membuka pintu kereta.
Menuju ke arah rumah yang banyak meninggalkan kenangan manis antara mereka
berdua semasa kecil dahulu.
WANITA BERUSIA hujung enam puluhan itu kelihatan sedikit payah untuk duduk.
Syaf yang berada tidak jauh dari situ cuba memimpin untuk ke kerusi
berhampiran.
“Biasalah kalau dah tua-tua ni.. nak
bangun susah, nak duduk pun payah.”
Usai melabuhkan punggung, wanita yang
dikenali sebagai Mak Ngah Hasmah itu mula bersuara. Syaf hanya tersenyum kecil.
Faham dengan apa yang diperkatakan.
“Mak Ngah kenal kami berdua tak?”
Soal Firash dengan harapan yang wanita
tua itu akan mengenalinya. Syaf pula mengambil tempat duduk di sebelah suaminya.
“Maaflah Mak Ngah ni dah tua. Dah
ingat-ingat lupa dah. Mata pun dah rabun sikit. Siapa kamu berdua ni?”
Wanita tua itu cuba merenung wajah-wajah
di hadapannya. Cuba mengingati kembali jika pernah melihat wajah-wajah itu di
mana-mana.
“Saya Acad la Mak Ngah. Dan ni Qira.
Kami berdua kan pernah mengaji kat rumah Mak Ngah dulu. Lebih kurang sebelas tahun
dulu. Ingat tak?”
Soal Firash sedikit mengharap. Syaf pula
hanya mengangguk perlahan apabila dikenalkan sebagai Qira. Mungkin dengan
panggilan nama itu sedikit-sebanyak akan membuatkan wanita tua itu mengingati
akan mereka berdua.
“Acad? Qira? Pernah mengaji kat sini?”
Soal Mak Ngah Hasmah dengan dahi
berkerut-kerut. Masih tidak dapat lagi mengingati akan nama-nama tersebut.
“Ye Mak Ngah. Kami berdua pernah mengaji
kat sini.. haa, sorang lagi kawan kami Shida.”
Sambung Firash lagi. Dua saat, tiga saat
kemudian Mak Ngah Hasmah kelihatan memegang kepalanya. Mungkin cuba mengimbau
dan mengingati kembali sambil memandang wajah-wajah di hadapannya.
“Oh Acad budak nakal tu, yang suka usik
kak Qira?”
Soal Mak Ngah ingat lupa-lupa.
“Haa, ye lah tu Mak Ngah. Yang suka usik
saya tu.”
Syaf cepat-cepat menyampuk. Teruja
apabila Mak Ngah Hasmah mula mengingatinya.
“Lahh, dah besar panjang ye kamu berdua.
Dulu, Mak Ngah rasa Acad kecik aje.” Luah Mak Ngah Hasmah memandang lama ke
arah Firash. Siapa sangka anak didikannya itu sudah besar panjang. Nampak agak
berbeza berbanding sebelas tahun dulu.
“Besar dah Mak Ngah. Sebelas tahun tu.”
Firash mengiyakan. Sungguh jika diingatkan
sebelas tahun dulu, tubuhnya memang sedikit kecil berbanding kanak-kanak lain
seusia dengannya.
“Hmm, yelah. Eh kamu datang berdua ke?
Bukannya dulu Acad pindah ke Kuala Lumpur? Dan Qira masa tu duduk sini lagi
kan?”
Soal Mak Ngah sedikit tertanya-tanya
akan kedatang mereka berdua ke situ.
“Memang saya pindah Ke Kuala Lumpur
lepas tu sebab mama saya nak saya belajar kat sana. Jumpa balik Qira pun masa
abang saya belajar satu universiti.”
Jelas Firash akan keadaan yang sebenar.
“Ohh patutlah. Sebab apa yang Mak Ngah
tahu, selepas Acad pindah, Qira pindah jugak kan?”
“Haah
Mak Ngah. Ayah masa tu kena tukar tempat kerja. Jadi kitaorang sekeluarga
pindahlah tapi bukan kat KL.”
Syaf menceritakan kembali akan
perpindahannya ketika itu.
“Hmm, jodoh kamu berdua lah kan sebab
dapat jumpa balik. Eh Acad belajar lagi ke? Kalau tidak silap pengiraan Mak
Ngah, Acad baru dua puluh satu kan tahun ni?”
Saat itu Firash sedikit terkejut.
Memandang isterinya buat seketika. Syaf hanya tersenyum.
“Haah Mak Ngah, belajar lagi. Tengah
praktikal. Hujung tahun ni habislah.”
“Oh betullah tu. Haa Qira mesti dah
kerja kan? Kerja apa? Mak Ngah ni lepas kamu berdua pindah, Mak Ngah pun pencen
ajar budak-budak mengaji. Dah tak larat dah nak layan.”
“Qira kerja biasa-biasa aje Mak Ngah. Eh
Shida duk mana sekarang? Rasanya kami langsung tak jumpa dia lepas pindah tu.”
Soal Syaf bertanya akan sahabat ketika
zaman kanak-kanak dahulu.
“Mak Ngah pun tak tahu. Sebab lepas mak
ayah dia meninggal, Shida katanya pergi duduk dengan mak sedara dia kat
Seremban. Ada kat sana lagi lah agaknya.”
Jelas Mak Ngah akan anak didiknya yang
bernama Shida itu.
Firash dan Syaf masing-masing mengangguk
perlahan. Akhirnya tahu juga akan perkembangan dari Shida itu. Rasanya selepas
mereka berdua pindah, mereka bertiga tidak pernah berjumpa. Kecuali Firash
sahaja yang kebetulan berjumpa kembali dengan Syaf. Itupun sebab arwah
abangnya, Farish.
PERBUALAN MEREKA bertiga tiba-tiba dikejutkan dengan derapan langkah
seseorang. Masing-masing berpaling untuk melihat empunya diri. Seorang lelaki
yang kelihatan berusia awal dua pu luhan tiba-tiba datang menyertai mereka
bertiga. Sebuah senyuman manis dilemparkan ke arah perempuan dan lelaki yang
sedang berbual dengan neneknya.
“Baru balik ke Zaff?” Mak Ngah Hasmah
menegur cucunya yang baru sahaja menyertai mereka bertiga.
“Haah Nek. Baru je balik ni.. hmm, siapa
ni?”
Cucu Mak Ngah Hasmah yang bernama Zaffin
itu memandang sekilas ke arah tetamu neneknya. Namun matanya lebih teruja untuk
memandang ke arah tetamu perempuan yang bertudung itu. Nampak manis serta sopan
sahaja.
“Ni haa, Achad dengan Qira. Budak yang
nenek ajar mengaji dulu.” Balas Mak Ngah Hasmah memperkenalkan.
Zalfin bangun untuk bersalam dengan
Firash.
“Zaff..Zaffin”
“Firash..
tapi Mak Ngah panggil Achad.”
“Zaff ni duduk dengan Mak Ngah. Kira
macam jaga Mak Ngah la.. rumah mak ayah dia dekat Kuala Lumpur sana.”
Jelas Mak Ngah Hasmah akan cucunya itu. Syaf
hanya tersenym apabila lelaki yang dikenali sebagai Zaffin itu memandangnya.
Sejujurnya dia tidak pernah kenal akan cucu Mak Ngah yang berada bersama mereka
itu. Namun setelah mendengar akan cerita
dari Mak Ngah barulah dia tahu akan keadaan yang sebenar.
“Patutlah saya tak pernah kenal. Duduk
kat KL rupanya.”
Balas Syaf mengangguk perlahan. Kala itu
dia seperti terpandang akan cucu Mak Ngah Hasmah yang seperti asyik
memandangnya. Rasa tidak selesa mula bertandang. Apatah lagi bila suaminya itu
seakan perasan dengan pandangan dari Zaffin itu.
Mak Ngah Hasmah merenung wajah Syaf dan
Firash di hadapannya. Diperhatikan akan wajah-wajah itu. Sesaat kemudian,
matanya menangkap akan cincin yang terletak di jari manis Syaf, saat itu
bibirnya mula tersenyum.
“Itulah, Zaff memang duduk kat Kuala
Lumpur, sebab tu mungkin kamu berdua tak pernah jumpa dengannya. Eh Qira dah
dua puluh lima kan tahun ni? Bila nak kahwin?”
Soal Mak Ngah Hasmah dengan senyum di
bibir. Saat itu Firash yang mendengar solan dari Mak Ngah Hasmah sedikit
terkejut. Cepat-cepat dia memandang ke arah isterinya. Cuba melihat apa yang
akan isterinya akan menjawab.
“Err.. Sebenarnya saya dah kahwin Mak
Ngah. Dah lebih enam bulan pun.”
Jujur Syaf menjawab. Seketika dia
berpaling ke arah Firash di sebelahnya. Dan kala itu juga dia perasan akan
wajah Zaffin yang berubah riak.
“Dah kahwin? Dengan siapa? Suami tak
ikut sekali ke?”
Soal Mak Ngah sedikit terkejut. Walaupun
pada anggarannya ketika itu, mungkin Qira baru bertunang jika dilihat cincin
yang berada di jarinya. Tidak sangka pula sudah berkahwin.
Firash yang perasan akan pandangan Zaffin
pada isterinya mula berdehem.
“Haah Qira dah kahwin. Kahwin dengan
saya Mak Ngah.”
Senyum lebar sahaja saat Firash menjawab
soalam dari Mak Ngah Hasmah itu.
“Lah ye ke? Tak sangka betul Mak Ngah.
Ingatkan usik-usik zaman kecik dulu suka-suka aje. Tapi muda lah kamu kahwin
Achad?”
Mak Ngah Hasmah agak terkejut dengan
penjelasan dari Achad itu. Tidak menyangka pula yang anak didikannya itu kahwin
di usia yang masih muda. Hampir sebaya dengan cucunya yang bernama Zaffin itu.
“Dah jodoh Mak Ngah. Orang cakap apa,
usik-usik bawak bahagia.”
Semakin melebar senyum Firash apabila
melihat wajah Zaffin yang agak kelat. Sebagai seorang lelaki, Firash memang
faham dan kenal akan pandangan Zaffin pada isterinya itu.
“Macam-macamlah kamu ni Achad. Tapi elok
juga tu kalau kahwin awal-awal. Yelah, budak-budak zaman sekarang, susah sikit.
Tak macam zaman dulu-dulu.”
Syaf hanya mengangguk dan mengiakan
sahaja. Faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Mak Ngah Hasmah itu.
“Errm, nek, Zaff masuk dulu lah. Penat
tak habis lagi ni.”
Zaffin mula meminta diri. Entah kenapa
rasa janggal pula apabila berlama-lamaan di situ.
“Hmm, yelah.”
Zaffin bangkit dari kerusi lalu
melintasi Firash dan Syaf. Namun matanya sempat melirik pandang pada Syaf.
Sayang sungguh.. ingatkan belum kahwin!
FIRASH BERJALAN ke kereta dengan perasaan sedikit kurang tenang. Ingatkan
kedatangan mereka ke rumah Mak Ngah Hasmah itu berakhir dengan kegembiraan
namun sebaliknya. Syaf yang perasan akan perubahan suaminya itu mengeluh
perlahan. Faham sangat.. tersangatlah faham.
“Abang, kita nak balik terus ke atau nak
check-in mana-mana hotel?”
Soal Syaf perlahan sebaik sahaja mereka
masuk ke kereta.
“Tengoklah macam mana.”
Balas Firash lalu menghidupkan enjin
keretanya. Rasa macam hilang mood
pula hendak bercakap ketika ini. Syaf sekali lagi mengeluh. Firash.. Firash!
Dah mula lah perangai dia yang cemburu tak habis-habis tu.
“Abang jeles dengan Zaff tu ke?”
Soal Syaf sedikit menganggak. Walaupun
jika dilihat dari reaksi Firash itu, dia sudah tahu akan jawapannya. Sengaja
ingin memastikan walau dia sendiri memang tersangat memahami akan perangai
suaminya itu.
Firash yang sedang mengundurkan kereta
itu sedikit berpaling ke arah isterinya. Namun hanya seketika sebelum kembali
fokus ke hadapan.
“Siapa tak jeles bila ada lelaki lain
pandang semacam je kat isteri dia?”
Nada suara Firash mula berubah. Dua saat
kemudian kereta itu mula ke arah jalan raya. Dan saat itu Syaf hanya mampu
menggeleng-gelengkan kepalanya.
p/s : tetibe rindu dkt #syafirash ;')
- alhamdulillah novel #ssid top bestselling malay books of 2013 (kinokuya), tqvm atas sokongan ;')
7 comments:
Tahniah zura...xnak buat SSID II ker?? rindu kat syaf and firash..
Buat sambungan lah :)
Next please, can't wait to know what happen to Firash and Syafa and SSID Raya Part 4 please
ish baca ni buat terigt2 tbyg2 syaf ngan firash je..rindu la pulak..
Sepjg membaca novel ni...senyum tak lekang d bibir. Smpai d bwa kat opis..sbb tak sabar baca endingnya.
Post a Comment