:: My gangS :: TQVM

Thursday, March 29, 2012

PROLOG BUKAN ADIK TIRI BIASA!



MATANYA tidak lekang memandang ke arah pasangan pengantin yang sedang bersalaman dengan para tetamu yang sedang bertandang. Sesekali terdengar gelak ketawa dari mereka berdua memeriahkan suasana yang memang sedia meriah. Sudah nampak seperti pasangan pengantin muda yang baru kahwin pula lagaknya walau ada pasangan yang diraikan itu masing-masing sudah menjangkau usia pertengahan empat puluhan. Bibirnya diketap. Geram dengan pemandangan yang menyakitkan hatinya itu.

Seketika nafas dihela lemah seraya mengerling sekilas ke arah teman yang masih lagi enak menjamu selera di sebelahnya. Entah kenapa hatinya tidak senang melihat semua itu. Geram, sakit hati bercampur menjadi satu. Rasa mahu saja dia meninggalkan majlis itu namun apabila mengenangkan semua itu melibatkan maruah keluarganya juga, niatnya itu dimatikan.

Dia termenung seketika merenung kelibat tetamu yang tidak putus-putus berkunjung. Walaupun matanya melekat ke situ namun fikirannya melayang entah ke mana. Entah mengapa telinganya seakan-akan masih lagi mendengar suara mamanya yang ceria memberitahu akan rancangan untuk berkahwin lagi sebulan yang lepas. Dia yang kala itu sedang menikmati makan malam terus saja hilang selera walaupun perut bergelojak meminta diisi. Dan sejak peristiwa itu, hampir setiap hari dia bertegang urat dengan mamanya dengan harapan mamanya akan membatalkan rancangan itu. Namun mamanya seakan-akan sudah membuat keputusan muktamad. Segala rayuan dan bantahan langsung tidak dilayan. Dan sampai sekarang dia masih bengang.

Rasanya dia masih ingat lagi seminggu selepas sesi bertegang urat berlaku, dia mula tidak bertegur dengan mamanya namun semua itu langsung tidak mematahkan rancangan mamanya untuk berkahwin lagi. Wanita itu semakin galak menyiapkan persiapan perkahwinannya dengan ahli perniagaan yang berpangkat Dato’ itu. Dan pada ketika itu dia sudah malas mahu mengambil pusing. Apa yang akan jadi lepas ni, jadi lah. Sungguh dia sudah tidak mahu mengambil kisah.

Namun apabila teringatkan arwah papa yang sudah hampir dua tahun meninggal, hatinya dilanda rasa sebak tak berpenghujung. Masih terngiang-ngiang lagi akan suara mamanya yang berjanji akan terus menyayangi papanya walaupun mereka sudah terpisah di dunia. Dan dia tidak faham kenapa mamanya tegar memungkiri janji itu. Apakah kasih sayang yang sudah terpupuk sejak bertahun-tahun lamanya itu sudah mula terhakis ekoran masa yang berlalu? Sungguh hatinya tidak mampu untuk menerima semua itu.

“Eh Ress, apasal tak makan ni? Aku dengar dari pagi tadi lagi kau tak jamah apa-apa,” tegur Wawa yang sedang menyudu nasi beriani gam yang berlaukkan ayam masak merah itu ke mulut. Pelik dia melihat Aresha yang sekejap memandang ke hadapan dan sekejap seolah-olah termenung. Entah apa lah yang difikirkan agaknya. Hati kecil Wawa berfikir.

“Aku tak ada selera,” jawab Aresha pendek. Sungguh hampir sebulan ini seleranya mula menghilang saat berita itu dikhabarkan. Dia yang tidak perasan sangat akan keadaannya itu hanya tersenyum kelat apabila rakan-rakan sekelas mula menegur tubuhnya yang makin menyusut. Rutin hariannya ke kolej pun sudah mulai berubah. Kadang-kadang pergi dan kadang-kadang ponteng dan merayau-rayau tanpa arah tujuan. Dan malamnya pula mula keluar berseronok tanpa mempedulikan bebelan mamanya yang dianggap mula mencampuri urusannya itu.

Wawa mengeluh perlahan lantas meletakan sudu dan garfu ke tepi pinggan. Wajah si teman yang langsung tidak ceria itu dipandang dengan wajah simpati. Bukannya dia tidak tahu akan situasi sebenar yang sedang berlaku cuma kadang-kadang Aresha terlalu memikirkan perkara itu sedangkan banyak lagi perkara lain yang perlu difikirkan.

“Ress, dah lah tu. Biar aje lah mama kau tu. Buat kusut kepala je kalau kau fikir,” Wawa cuba menasihati. Walaupun dia tahu yang nasihatnya itu seakan-akan mencurah air ke daun keladi.

“Aku geram lah Wa. Sanggup dia menduakan kasih sayang arwah papa aku,” rungut Aresha seraya mengalihkan pandangan ke arah Wawa. Temannya itu kelihatan bersandar di kerusi sambil mengeluh perlahan.

“Tapi mama kau berhak tentukan hidup dia sendiri. Mungkin dia sunyi kut sorang-sorang je dua tahun ni,” Wawa cuba memberikan alasan munasabah walaupun dia sendiri tidak tahu apakah alasannya itu betul ataupun tidak. Segalanya terlintas spontan dari kepala.

“Kau ni sebelahkan aku atau mama aku?” Sanggah Aresha laju. Entah mengapa kata-kata Wawa itu sedikit sebanyak menyentap hatinya. Matanya tajam merenung wajah Wawa yang sudah berubah riak.

“Kau ni Ress, chill lah,” Wawa tersengih kelat. Tidak sangka kata-katanya itu mengundang rasa tidak puas hati pada si teman.

“Dahlah, aku nak pergi toilet kejap,” putus Aresha malas untuk menyambung perbualan. Sungguh hatinya tidak bersedia lagi untuk menerima semua itu walaupun sudah berbakul-bakul nasihat yang lebih kurang sama terbit dari mulut Wawa.

“Eh kau ni nak pergi toilet pulak masa ni. Nanti kalau mama kau cari apa aku nak jawab?” Soal Wawa laju. Cuba menghalang Aresha keluar dari situ. Entah kenapa hatinya seakan dapat merasakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku.

“Kejap je lah,” potong Aresha laju seraya berdiri dan mula mengatur langkah.

Dan ketika itu jugalah terasa tubuhnya dilanggar sesuatu. Keras dan menyakitkan. Mujurlah tangannya sempat memegang kerusi, kalau tidak alamat jatuh bergolek lah dia di atas lantai ballroom itu.

Dia mengetap bibir geram seraya berpaling ke arah sisi. Kelibat figura lelaki yang segak berpakaian baju Melayu berwarna biru muda lembut menyapa retina matanya. Dan serentak itu matanya membulat.

“Hoi buta ke?” Marah Aresha laju. Tidak berkelip matanya memandang ke arah lelaki yang sedang berdiri tegak di hadapannya. Dan lelaki itu pula kelihatan hanya tersenyum sinis seolah-olah tidak terkesan dengan kemarahan Aresha yang mula meningkat naik itu.

“Aku buta atau kau yang buta?” Balas lelaki yang dikenali Aresha sebagai Ayyan Dazren itu. Teman satu kelas dengannya yang seringkali bercakaran jika terjumpa di mana-mana. Dan ternyata peristiwa hari ini bakal mengundang pertengkaran yang mungkin akan berpanjangan.

Aresha merengus geram. Sungguh hatinya tidak pernah rasa tenang apabila terjumpa dengan lelaki itu. Ada saja perkara yang akan mengundang perbalahan.

“Ress,” Panggil Wawa perlahan seraya mencuit lembut bahu si teman. Dia tersenyum kelat pada Ayyan dan Aresha yang masing-masing berdiri tegak memandang antara satu sama lain.

“Wa, kau duduk diam aje kat situ. Aku ada hal sikit nak settle dengan budak Ayyan ni,” Aresha pantas memberi amaran kepada Wawa supaya tidak masuk campur. Baginya hal dia dengan lelaki itu biarlah mereka berdua yang selesaikan.

“Tapi Ress,” Wawa tidak berpuas hati. Lantaran ada mata-mata tetamu yang mula memandang ke arah mereka. Mungkin ingin menantikan drama sebabak antara Aresha dan Ayyan.

“Sha..Ayyan,” Kedengaran suara wanita mencelah masuk di antara perbualan mereka berdua. Aresha cepat saja berpaling dan diikuti oleh Ayyan.

“Mama kenal dia?” Soal Aresha pelik apabila Puan Aniza yang sudah bertukar pangkat menjadi Datin itu menghampirinya. Kelibat Datuk Daus yang berada di sisi mamanya dijeling sekilas.

“Tentulah mama kenal. Ni lah Ayyan Dazren, anak tunggal pada daddy baru kamu. Merangkap adik tiri kamu yang baru,” senafas Datin Aniza memperkenalkan. Datuk Daus hanya tersenyum.

“What?!” Sedikit terjerit kecil suara Aresha pada saat itu. Ayyan pula mengerutkan kening. Masih lagi kabur dengan apa yang sedang berlaku. Namun otaknya cuba berfikir laju. Ini ke anak mama tiri aku yang baru? Biar betul!

“Kenapa Sha? Kamu dah kenal ke Ayyan ni? Kalau macam tu baguslah, senang sikit nanti sebab kita pun akan duduk dengan diorang nanti,”

Datin Aniza tersenyum lebar memandang ke arah anaknya serta anak tirinya yang baru. Tak payah lah kena buat sesi berkenalan, bisik hati Datin Aniza. Dia akui yang Aresha mungkin tidak sempat untuk mengenali anak tirinya yang baru itu. Sudahlah pagi tadi semasa sesi akad nikah, Aresha buat hal tak nak datang ke majlis. Nasiblah dengan pujukan dari Wawa, akhirnya Aresha lembut hati untuk datang ke majlis kesyukuran yang diadakan di hotel sekarang.

Aresha yang masih terkejut sakan itu menjeling tajam ke arah Ayyan yang tidak jauh di hadapannya. Entah mengapa ayat mamanya itu seakan petir memanah ke tubuhnya. Hampir-hampir dia terduduk di atas kerusi empuk di situ sambil menggeleng-gelengkan kepala. Masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. Wawa pula masih terpinga-pinga. Tidak tahu untuk bereaksi macam mana.

“Jom kita pergi ambil gambar. Fotographer dah tunggu tu,” pelawa Datin Aniza tanpa mengesyaki apa-apa. Datuk Daus pula kelihatan menepuk bahu Ayyan yang masih tegak berdiri.

“Jomlah, buat kenangan,” tambah Datuk Daus lagi seraya mula mengatur langkah menuju ke arah Datin Aniza yang sudah maju ke hadapan.

Aresha menjeling tajam ke arah Ayyan. Wajah lelaki itu yang seakan sama terkejut dengannya itu langsung tidak dihiraukan. Pantas dia berdiri.

“Adik tiri konon? Jadi kau lah anak Datuk Daus tu? Huh! Jangan perasanlah nak jadi adik tiri aku. Sampai bila-bila pun aku tak mengaku!” Bantah Aresha geram.

“Hey kau ingat aku hadap sangat ke nak anggap kau jadi kakak tiri kau tu?!” Balas Ayyan mencerlung mata. Entah dari mana idea mama tirinya yang baru itu tercetus. Ada ke patut perkenalkan aku jadi adik tiri perempuan ni? Langsung tak masuk akal! Takkan aku yang lahir hujung tahun itu sudah jatuh pangkat bergelak adik sedangkan kalau diikutkan umur memang sebaya? Nonsense!

“Ress, dah lah tu. Jom pergi ambil gambar,” pujuk Wawa yang sedari tadi berdiam diri. Mula masuk campur apabila menyedari bunga-bunga pertengkaran sudah muncul di antara mereka berdua. Aduhai, sabar aje lah hati ni dengan perangai bebudak ni!

“Ress,” Wawa memanggil lagi seraya menarik tangan Aresha apabila temannya itu langsung tidak berganjak. Begitu juga dengan Ayyan yang masih tegak berdiri. Masing-masing berlawan pandang seolah-olah sedang bertanding.

“Kau ni, aku tak settle lagi dengan budak ni,” Aresha cuba menarik tangannya dari genggaman Wawa namun tidak berjaya. Dia memalingkan wajah memandang Wawa dengan riak marah. Seakan tidak percaya yang tenaga Wawa lebih kuat darinya. Apakah ini kesan aku kurang makan selama ini?

Wawa mengeluh perlahan. Susah sungguh untuk memujuk Aresha namun bibirnya mengukir senyum lebar tatkala pandangannya terhala ke arah sisi kiri.

“Ress, Afiq la,” Wawa cuba mengalihkan Aresha. Aresha yang masih lagi berdiri bertentangan dengan Ayyan cepat saja berpaling. Kelibat seorang lelaki yang tinggi lampai dan menuju ke arah mereka bertiga dipandang dengan wajah berubah ceria.

“Hai girls. Sorry datang lambat,” Tutur Afiq lembut seraya tersenyum manis ke arah Aresha. Ayyan juga berubah wajah. Kelibat Afiq, teman sekolej mereka itu dipandang dengan perasaan jelek. Huh! Playboy kolej!

“Hai Afiq,” Tegur Aresha dengan wajah ceria. Laju saja kakinya melangkah ke arah Afiq yang sedang menghala ke arahnya.

Wawa dan Ayyan masing-masing berpandangan seketika sebelum melemparkan ke arah Aresha dan Afiq yang tiba-tiba saja bergelak ketawa di situ. Situasi yang tegang tadi seolah-olah langsung dilupakan. Semuanya sudah kembali normal.




p/s ; testing2.....ni novel lama yang tajuk Adik? Tak Mungkin! Tapi ditukar ke tajuk baru....actually, dah lama sangat tak menulis, hampir dua bulan...macam dah hilang skill je.....tapi rasa gian jer nak menulis...huhu...sorry tak sempat nak cari n buat kaver lagi..yang dulu dah hilang mase lappy jammed tu.. apa pun layan..ape2 yang berkurang hope bolehlah tegur J



17 comments:

Cik Kreatif said...

best la, kaq! sue ske!

Unknown said...

heheh! lg prefer yg ni...maybe lebih paham r. xpe2,..kak zura mnghilang 2 bln utk asah skill. haha!

alya farisya said...

best gilerrrrrrrrrr B) terbaeeekk

iniakuyangpunyahati said...

terbaikk lahh 2 belum dok serumah lagi hehehee

Rehan Makhtar said...

zura..prolog yang best giler..aku suka cite gini..kahwin adik beradik tiri..kehkehkeh.. skill ada n haruslah maintan..bersawang sikit sapu2 je.. nanti ok la tu.. gud luck zura

arai said...

best...best.....

joenyz said...

best kak!! saya suka!!!

Waisya Carissa said...

best... nanti ni bakal jd novel ke 2 la ek sis?

zura asyfar addy rifqhiey said...

@Pencinta Cinta

hehe....tq dear..percubaan buat pertama kali dlam dua bulan ni....

zura asyfar addy rifqhiey said...

@MiMi


ooohh..dH bace ke versi lama tu? hehe...tq2...takde lah asah skil sgt...berangan jer ade lah..hehe

zura asyfar addy rifqhiey said...

@alya farisya

hehe...tq3 :D

zura asyfar addy rifqhiey said...

@iniakuyangpunyahati


hehe..tq3....saat tu akan tiba...tunggu!! :))

zura asyfar addy rifqhiey said...

@Rehan Makhtar

Erk!! Best giler ke prolog? huhu....wil try yg terbaik insyaAllah selepas dua bulan berhibernasi..hehe...skill tu kena cr balik...btw tqvm <3

zura asyfar addy rifqhiey said...

@arai

tq3 :))

zura asyfar addy rifqhiey said...

@joenyz

thanks..glad u love it :))

zura asyfar addy rifqhiey said...

@Wild Cherry

thanks wc :)) - nmpknye cm tu lah kot..hehe :)

Unknown said...

Takde sambungan ke? Kisah hampir sama