:: My gangS :: TQVM

Thursday, April 28, 2016

Bab 6 Assalamualaikum Cinta

Last entry hari ni :)




BAB 6



NADIA MELIHAT jam tangan berjenama Fossil di pergelangan tangannya untuk kesekian kalinya. Sudah hampir setengah jam lamanya lelaki yang bakal ditemuinya itu terlewat. Dia cuba untuk masih bersabar sejak tadi walaupun minuman yang dipesannya sejak dia mula-mula sampai tadi sudah pun berbaki separuh. Dahaga punya pasal. Lagipun lepas Azrif sampai nanti, dia boleh sahaja pesan yang lain.
Sesekali dia melirik pandang ke arah pekerja restoran yang dirasakan asyik memandangnya. Mula merasa segan pula. Lagi-lagi hanya dia seorang sahaja yang berada di meja tanpa pasangan. Kebanyakan pengunjung yang datang ke situ semuanya datang berpasangan atau datang secara beramai-ramai. Hanya dia sahaja yang keseorangan seperti kera sumbang sahaja. Dah nampak macam perempuan tak laku pun ada juga!
“Manalah dia ni? Pukul berapa nak sampai ni? Dari tadi lagi sebut on the way..on the way apanya kalau dah sampai setengah jam tak sampai-sampai jugak.” Nadia bersungut panjang menahan geram dengan sikap Azrif yang sepertinya tidak menepati masa yang dijanjikan. Kalaulah dia sudah ada temu janji yang lain, tak ada maknanya dia akan terus menunggu lelaki itu di situ. Lebih baik dia blah sahaja. Tak adalah penat menunggu dan juga menahan perut yang tengah lapar. Boleh masuk angin juga dibuatnya. Sekali lagi dia menarik telefon bimbit yang berada di meja. Digenggam-genggam seraya matanya menjenguk kelibat Azrif yang masih tak nampak batang hidung.
Dan dalam pada masa yang sama, kelihatan Rykal bersama dengan Rose baru sahaja tiba di hadapan pintu restoran yang sama dengan Nadia. Rose yang sedang memaut erat lengan lelaki bernama Rykal itu tersenyum lebar apabila ada saja mata-mata memandangnya. Bangga betul dapat keluar dengan lelaki kacak dan kaya bernama Rykal Iqbal itu.
Rykal yang pada mulanya ceria sahaja bersama Rose tiba-tiba memberhentikan langkah secara mengejut. Matanya terpandangkan sesuatu. Sesaat dia terus menelan liur. Matanya dikerdipkan beberapa kali untuk memastikan apa yang sedang dilihatnya ketika itu. Memang sah perempuan yang bernama Nadia itu sedang duduk di satu hujung kiri restoran yang hampir dimasukinya itu. Setelah menyedari yang perempuan itu memang Nadia, perempuan yang ada hubungan dengan sepupunya. Dia terus berpusing. Tidak mahu kelibatnya akan disedari oleh Nadia.
Manakala Rose pula memandang gelagat Rykal yang dirasakan pelik. Berkerut-kerut dahinya melihat Rykal yang seakan gelabah saja. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Dan dia juga tertanya-tanya juga kenapa reaksi lelaki di sebelahnya itu sudah lain macam.
“Kenapa ni?” Soal Rose memandang wajah Rykal yang sudah berubah. Hilang terus senyuman di wajah kacak itu.
“Tak ada apa-apa.. jom kita makan kat tempat lain.” Rose terpinga-pinga dengan jawapan dari lelaki berkulit cerah itu. Rasa macam tak logik dek akal sahaja kalau tiba-tiba tak jadi makan kat restoran itu. Yalah sekali imbas pun mesti dah dapat agak ada sesuatu yang tak kena. Cuma hatinya tidak dapat meneka apakah sebab gerangannya.
Rose sempat melilau memandang ke arah restoran yang sudah dipenuhi oleh pengunjung itu untuk makan tengah hari. Tanpa sempat mencari apa-apa jawapan, tangannya sudah ditarik oleh lelaki berambut lurus itu untuk menjauhi tempat itu. Dan untuk sekali lagi Rose rasa langsung tidak berpuas hati. Takkan kena cari restoran lain pulak kut? Malasnya nak kena menapak dengan higheels bagai ni!
Akhirnya mereka berdua keluar juga dari restoran yang menjadi kegemaran dari Rose itu. Kebiasaannya restoran itu akan menjadi ‘port’ mereka ketika keluar berdua.
“Tapi kenapa tiba-tiba? Tadi you jugak yang nak makan kat situ kan?” Rose masih lagi menagih jawapan sebenar. Tidak dapat dinafikan yang restoran itu agak menepati citarasa mereka berdua. Yalah, restoran zaman sekarang kebanyakannya dalam gambar dan iklan sahaja yang nampak menarik. Hakikatnya ‘hauk’ sahaja. Kena diri sendiri yang cuba barulah tahu macam mana.
“Takpelah.. kita makan kat tempat lain.. tak salah kan?”
Rykal cuba berlembut dengan Rose. Bukan dia tak perasan wajah Rose mula berubah tatkala dia tidak jadi makan tengah hari di tempat kegemaran perempuan itu. Rose memandang wajah Rykal. Lama. Seakan mencari apa yang sebenarnya terjadi.
“Memanglah tak salah tapi..” Rose tidak dapat menghabiskan ayatnya apabila melihat wajah Rykal sudah berubah sedikit serius.
“Dahlah tu.. tak payahlah bising-bising lagi.. kita bukannya tak jadi makan.. cuma tukar restoran lain je.. mana tahu lagi best.” Rykal berkata dengan nada serius walaupun bernada memujuk. Rose yang faham dengan perangai lelaki itu mula terdiam. Tidak mahu untuk memanjangkan perbualan yang pastinnya dia takkan menang. Lagipun Rykal tidak berapa gemar dengan perempuan yang suka merengek-rengek tak tentu pasal. Nampak macam tak berapa nak matang.
Dan akhirnya mereka berdua keluar dari restoran itu walaupun muka Rose sudah berubah kelat semacam. Terpaksa mengikuti Rykal yang sudah mula beredar.


NADIA MENGELUH penuh rasa geram yang memuncak. Hampir sejam sudah lamanya dia terpaksa menunggu Azrif. Tercongok sahaja di restoran itu tanpa berbuat apa-apa. Nak bersembang bukannya dia ada pasangan pun. Air minuman yang dipesannya sejak awal-awal tadi sudah pun habis. Pada pekerja restoran yang asyik memandangnya, dia seakan sudah tidak tahu untuk menyorok muka ke mana. Apalagi apabila beberapa kali pekerja restoran itu berulang-alik ke mejanya untuk bertanyakan order. Dan untuk kesekian kalinya, Nadia sudah putus asa untuk menunggu. Dia terus mencapai handbagnya di atas meja sebelum bangun. Berkira-kira untuk beredar dari situ selepas membayar bil.
Namun dia sedikit terkejut dengan kehadiran Azrif yang tiba-tiba berlari-lari anak menuju ke arahnya. Anak mata terus menjeling tajam. Tanda tidak berpuas hati lantaran menunggu terlalu lama.
Azrif mengeluh sedikit lega. Lega sedikit hati apabila perempuan bernama Nadia itu masih berada di situ. Dia menyeka peluh yang merintik di dahi. Penat akibat berlari-lari tadi. Nafas pun masih belum normal sepenuhnya. Masih lagi tercungap-cungap meminta oksigen.
Sorry I lambat.. jalan jammed sangat tadi.. you nak pergi mana ni?” Azrif langsung terus memohon maaf. Sempat matanya mengerling pada Nadia yang seakan sudah mahu beredar dari situ.
“Balik.” Jawab Nadia pendek. Jelas dan lantang. Bagi lelaki di hadapannya itu sedar sikit yang dia dah tak punya masa nak main-main. Serius.
“Tapi I baru je sampai.. takkan you dah nak balik.” Azrif cuba menahan Nadia dari balik. Penat berkejaran dari berjumpa dengan Sherry tadi masih lagi tak hilang. Dengan jammed yang teruk lagi ketika dia di dalam perjalanan ke sini. Yalah waktu tengah hari semua orang berpusu-pusu keluar untuk cari makan. Jadi memang nak tak nak terpaksa redah juga dalam keadaan jalanraya penuh sesak itu.
You tengok jam sekarang dah pukul berapa? I pun dah tak lapar.. kenyang sangat dah sebab menunggu lama..” Marah Nadia tanpa tertahan-tahan. Segala yang terbuku dihati diluahkan. Jari dituding pada jam yang terdapat di pergelangan tangan. Biar lelaki itu dapat rasa sendiri macam mana yang seksanya terlalu lama menunggu. Serius Nadia sudah hilang mood untuk makan walau perut berkeriut menahan lapar.
“Tapi kita kan dah janji nak makan sama-sama.. dahlah susah-payah I redah jalan yang sesak tu semua.. you pulak tiba-tiba nak balik... kita makan ye? I dah lapar sangat ni.. dahlah tak makan apa-apa lagi dari tadi semata-mata nak makan dengan you.” Azrif terpaksa untuk berbohong. Nada suaranya dibuat sedikit sayu. Demi untuk meraih simpati sekaligus untuk menyelamatkan diri. Dengan harapan Nadia sedikit terpujuk dengan kata-katanya.
Wajah Nadia sedikit berubah. Terasa macam simpati pula apabila mendengar kata-kata dari lelaki itu. Lagipun nampak sangat Azrif berusaha untuk memujuknya. Dan dia pun tak adalah nak kejam sangat nak salahkan Azrif sepenuhnya di dalam hal ini. Mungkin kata-kata lelaki itu benar. Jika difikirkan kembali, memang tidak dapat dinafikan yang waktu puncak memang jalanraya agak sesak. Lagi-lagi jika terpaksa keluar jauh dari ofis. Tentu semuanya akan makan masa.
“Kita makan sama-sama okay?” Pujuk Azrif lagi. Nadia akhirnya menggangguk kepalanya perlahan. Dan kala itu Azrif sudah hampir melompat kegirangan. Memang Nadia jenis perempuan yang cepat terpujuk. Jadi tak adalah susah sangat nak handle. Bibirnya kembali menayang senyum lebar sekaligus menarik tangan Nadia dan mendudukkan perempuan itu di kerusi. Dan dia pula mengambil tempat berhadapan dengan Nadia sebelum pekerja restoran itu kembali dilambai untuk memesan makanan.




 Boleh dapatkan yang terawal di sana, 
di 2 lokasi berikut 
😄😄😄
(1)
Pesta Buku Antarabangsa 2016
Booth A1001 Hall A1
29 April - 9 Mei
Maeps, Serdang

(2)
Urban Lifestyle Expo 2016
Booth 46, 47 & 48
29 April - 1 Mei
10 pagi - 10 malam
Expo Hall, Danga City Mall,
Johor Bharu 





Bab 5 Assalamualaikum Cinta







BAB 5



JAM JENAMA Hublot pergelangan tangannya sudah menghampiri pukul satu tengah hari tatkala Rykal keluar dari biliknya. Dia yang sejak tadi berkurung sahaja di dalam bilik semasa kedatangan Sherry mula berasa bosan. Lagi-lagi bila perut pun dah mula buat bunyi pelik-pelik. Mahukan sesuatu untuk alas perut yang kosong. Dan dia pula malas mahu menerjah ke bilik Azrif yang tidak jauh dari biliknya itu untuk melihat samada perempuan bernama Sherry itu sudah pulang atau pun tidak. Malas jika bertembung muka dengan perempuan bernama Sherry itu. Sherry itu boleh tahan jugak gediknya. Macam tak cukup dengan sepupunya seorang.
Meja setiausaha kepada Azrif itu didekati. Seorang perempuan muda yang lebih dikenali dengan panggilan Khai itu dipandang seketika. Nampak khusyuk benar buat kerja. Sampai macam langsung tak sedar yang dia sudah pun berdiri di situ untuk beberapa saat.
“Khai, Encik Azrif dah keluar ke?”
Soal Rykal bertanya. Sekejap-sekejap matanya memandang ke arah bilik Azrif yang bertutup rapat dari dalam. Macam sunyi je. Dah keluar kut?
“Dah Encik Rykal, dengan Cik Sherry.”
Jawab Khairina jujur dan penuh sopan. Rykal mengangguk perlahan. Akhirnya pulang juga. Desis hatinya sebelum menarik telefon bimbitnya dari poket keluar. Mula menekan-nekan skrin telefon bimbitnya itu sebelum satu Whatsapp dihantar kepada Azrif yang sudah keluar entah ke mana.
“Oh lupa, awak tak keluar makan ke? Kerja-kerja jugak, kesihatan kena jaga jugak.” Sempat Rykal menegur dan menasihati akan setiausaha milik Azrif yang kelihatannya begitu tekun membuat kerja. Seolah-olah perempuan muda itu seperti sudah lupa akan waktu makan dan berehat yang sepatutnya.
“Kejap lagi Encik Rykal.. ada kerja sikit lagi ni.” Balas Khairina sambil tersengih segan. Rasa terharu pula dengan sikap prihatin pegawai atasannya itu pada pekerja bawahan sepertinya. Yalah kebiasaannya orang yang berpangkat dan berjawatan tinggi ini jarang sangat nak buat baik dengan pekerja biasa. Kalau ada pun mungkin boleh bilang dengan jari!


SEJAK DARI dalam bilik pejabat lagi Sherry sudah menarik muka. Tanda merajuk dengan Azrif yang seakan hilang ingatan terus akan tempoh perkenalan mereka itu. Walaupun ketika itu mereka berdua sudah berada di dalam kereta, keadaannya tetap sama. Sherry langsung tidak bercakap. Langsung tidak memandang kepada Azrif di sebelah. Lebih suka memandang ke cermin tingkap. Lebih suka memandang orang awam yang lalu-lalang di kawasan parkir berbumbung itu. Yalah hati memang rasa sakit. Penghawa dingin kereta yang sejuk itu pun tak dapat nak menyejukkan hatinya yang sedang panas. Tak adalah sampai panas berapi atau menggelegak. Tapi serius dia kecewa dengan lelaki kacak bernama Azrif Iqbal itu. Macam langsung tak menghargai akan detik perkenalan mereka sebulan yang lalu.
Manakala Azrif pula sedang ligat memikirkan idea untuk memujuk Sherry. Dan disebabkan itu jugalah mereka berdua masih berada di tempat parkir itu walaupun pada ketika itu enjin kereta sudah pun dihidupkan.
“Habis tu apa sebenarnya? You bagitahulah I.. I betul-betul tak tahu ni.” Soal Azrif lagi. Pandangan ditala pada Sherry di sebelah yang langsung tidak menoleh ke arahnya. Susah betul nak kena handle perempuan ni. Nak merajuk pun agak-agaklah jugak. Cakap tu biarlah terang. Biarlah straight je to the point. Tak payahlah nak kena konar baring sangat sana-sini. Ni main terjah macam tu aje manalah aku nak faham apa niat sebenar. Lepas tu orang tanya bukannya nak cakap betul-betul. Last-last aku jugak yang kena. Haihh, macam-macam hal! Gerutu hati kecil Azrif.
You dah lupa ke hari ni hari genap sebulan perkenalan kita?” Akhirnya Sherry menoleh. Dia kembali menyoal Azrif dengan soalan maut. Wajah kacak Azrif ditatap seketika. Menagih jawapan yang sebenar.
“Haahlah.. macam mana I boleh lupa ni.” Azrif sedikit terkejut dengan soalan mencabar dari Sherry itu. Sebelah tangannya memegang sisi kepala sebelum tergaru-garu pada kulit kepala yang langsung tak gatal. Sebenarnya memang pelik pun dengan surprise dari perempuan bernama Sherry itu. Dan dia langsung tidak menyangka itulah tujuan sebenar Sherry yang beria-ia datang ke situ. Tapi sungguh dia benar-benar lupa akan tempoh perkenalannya dengan perempuan itu. Yalah benda tak penting sangat pun untuk diingatkan. Lainlah kalau hari lahir ke? Ada jugak logiknya di situ.
Tangan Sherry itu dicapai perlahan. Muka dibuat penuh rasa bersalah walaupun terpaksa berlakon semata-mata. Ah Azrif Iqbal. Tahun depan dah boleh menang award pelakon terbaik!
I’m sorry.. I betul-betul lupa.. nasib baik you ingatkan i.” Azrif mula meminta maaf. Dan serta-merta wajah Sherry yang muram itu kembali tersenyum manja. Dan Azrif pula terpaksa buat-buat senyum dengan keadaan terpaksa.
“Sebab itulah I datang jumpa You.. I nak kita celebrate.” Sambung Sherry lagi. Sebenarnya sudah beberapa hari dia memikirkan untuk menyambut tempoh perkenalannya bersama lelaki itu. Dan disebabkan itu jugalah dia datang mengejut tadi ke pejabat Azrif. Nanti bolehlah ditayang pada rakan-rakannya yang lain. Konon-kononnya hubungan dia dan Azrif sweet sangat-sangat! Dan kalau boleh dia sudah tidak mahu Azrif jatuh ke tangan perempuan lain. Apa-apa pun Azrif tetap seorang CEO kepada syarikat besar. Ingat senang ke nak lepas macam tu je? Payah nak dapat tu!
“Takkanlah baru kenal sebulan dah nak celebrate? Parah macam ni.” Rungut Azrif dengan perlahan. Dia menoleh ke kanan sebentar agar perempuan di sebelahnya itu tidak perasan dengan perubahan riak mukanya. Sejujurnya dia benar-benar tidak suka dengan cadangan mengarut dari Sherry itu. Tambahan pula, dia bukannya betul-betul mahu perhubungan yang serius dengan Sherry. Sekadar suka-suka saja mengisi masa lapang sebelum berjumpa dengan perempuan yang betul-betul dapat membuatkan hatinya jatuh tergolek ke lubang paling dalam.
Dan setakat ini dia tidak pernah lagi berjumpa dengan perempuan sebegitu. Apa yang paling ramai dia jumpa pun, semuanya jenis mata duitan. Termasuklah dengan Sherry yang berada di sebelahnya itu walaupun dia tahu yang perempuan itu tidaklah sangat menunjuk yang dia juga seorang yang materialistik. Kalau tak, takkanlah setiap kali keluar, ada saja benda yang Sherry mahu dia belanjakan. Contohnya hari ini. Kalau dah celebrate nanti, mesti punya nak makan kat tempat-tempat mewah. Lepas tu mesti ajak pergi beli hadiah. Konon-konon sebagai tanda kenangan. Dan hadiah itu takkanlah cikai-cikai punya hadiah. Kurang-kurang handbag berjenama sebijik. See, dia memang dah boleh baca gerak hati Sherry. Hanya tunggu masa dan ketika saja yang akan menentukan.
Namun dia terpaksalah buat senyum plastik sebelum menekan gear untuk meneruskan pemanduan. Moga-moga ada sesuatu yang akan menghalangnya dari terpaksa mengikut cadangan mengarut Sherry itu. Berharap sangat!


AZRIF DAN Sherry sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran mewah yang terdapat di tengah-tengah ibu kota. Ini semua adalah salah satu rancangan Azrif untuk memujuk Sherry yang sedang merajuk tadi. Dan Sherry pula menyambut baik niat Azrif itu. Terus rasa merajuknya hilang. Yalah bukan senang nak makan di tempat sebegitu. Kalau setakat kerja biasa-biasa macam dia tu, kena kumpul duit dulu barulah boleh nak merasa. Kalau tak jangan haraplah!
Sesekali Sherry yang berada di hadapan Azrif melemparkan senyuman manja tatkala mereka berdua berlaga pandang. Sedangkan Azrif hanya fokus sahaja dengan makanan yang terhidang. Di samping kepala ligat memikirkan apa tindakan seterusnya untuk meninggalkan Sherry di situ. Dia bimbang kalau-kalau Nadia sudah tertunggu-tunggu di tempat biasa yang mereka sering berjumpa.
Bunyi nada applikasi dari Whatssap dari telefon bimbit milik Azrif yang terletak di atas meja itu menarik perhatian dari Sherry. Serta-merta dia memandang ke arah Azrif yang sudah meletakkan sudu dan garfunya ke tepi pinggan. Kelihatan lelaki itu mula mengesat mulutnya dengan napkin sebelum telefon bimbit itu dicapai dari atas meja yang diperbuat dari kaca tebal itu. Entah kenapa Sherry seakan dapat merasakan sesuatu. Seperti ada benda yang tak kena. Tidak berkelip matanya memandang ke arah Azrif yang sedang menekan-nekan skrin telefon bimbitnya. Sungguh dia berminat dengan apa yang ada dalam applikasi Whatssap yang dihantar itu. Risau jika lelaki itu menerima mesej dari perempuan lain.
“Aku keluar, mungkin tak balik ofis.” Azrif membaca kuat-kuat mesej yang dihantar oleh Rykal itu. Bukan dia tidak perasan gerak-geri Sherry di hadapannya yang sudah tidak senang duduk. Nampak sangat perempuan itu beria-ia mahu mengetahui akan kandungan dari applikasi Whatssap itu. Seketika kemudian, dia kembali meletak telefon bimbitnya ke meja setelah nampak wajah puas hati yang tergambar pada wajah Sherry yang bersolek tebal itu.
“Siapa?” Soal Sherry masih ingin tahu. Walaupun seperti dah boleh agak siapa yang menghantar mesej Whatssap itu namun dia tetap mahukan kepastian. Barulah hati boleh tenang dan tidak akan berfikir bukan-bukan.
“Rykal.” Jawab Azrif pendek. Berharap jawapannya itu akan memuaskan hati perempuan yang berada di hadapannya itu. Kala itu wajah Sherry terus berubah riak. Seolah-olah kerisauan yang difkirkan olehnya terbang begitu saja. Dia kembali meneruskan suapannya yang tergendala tadi namun semuanya sekali lagi terhenti apabila telefon bimbit milik Azrif sekali lagi berbunyi.
Azrif mengeluh perlahan sebelum meletakkan kembali sudu dan garfunya. Namun kali ini dia sedikit berdebar. Mesej dari Nadia. Aduh macam mana ni?
“Pukul berapa you nak sampai ni? I dah lama tunggu You kat sini.” – Nadia
Azrif cepat-cepat menekan butang reply. “I dah on the way ni, jalan jam teruk.” Kemudian dia mula memandang Sherry sebelum sedikit berdehem.
Emm, you.. I kena pergi sekarang.. Rykal text I balik.. ada masalah kat pejabat.” Bohong Azrif. Telefon bimbit yang berada di tangannya itu cepat-cepat dimasukkan ke poket seluar slek hitamnya. Sebagai langkah berjaga-jaga. Manalah tahu kalau-kalau Sherry tak percaya dengan alasannya itu dan merampas telefon bimbitnya. Takkan haru-biru kat situ nanti. Jadi sebelum terjadi apa-apa, baik sediakan payung sebelum hujan.
Sherry mencebikkan mulutnya. Antara alasan yang paling dia tidak gemar jika keluar dengan Azrif. Ada sahaja yang tak kena. Sudahlah nak jumpa pun susah. Dan kalau dapat jumpa pun, tak sempat sangat nak melepas rindu bagai. Contohnya sekarang, makan pun tak sempat nak habiskan. Busy sangat!
Please.. I kena pergi sekarang.. dia orang semua dah tunggu I.” Bohong Azrif lagi sedikit dengan nada merayu. Berharap yang Sherry faham akan situasinya sekarang. Walhal semuanya perbohongan belaka. Atas dasar mahu mengelak dari duduk berlama-lamaan dengan Sherry. Lagipun dia pun tidak mahu Nadia merajuk kerana menunggunya terlalu lama.
Wallet di dalam poket seluar ditarik sebelum wang bernot RM50 diletakkan ke atas meja. “You ambil duit ni.. buat tambang teksi.. sorry I tak dapat hantar you balik.. Okaylah, I pergi dulu.. makan-makan ni semua I bayar.. no worries.” Sambung Azrif lagi sebelum bergegas meninggalkan Sherry yang sudah langsung mati selera. Sherry mengeluh kasar akibat tidak berpuas hati kerana ditinggalkan begitu sahaja. Namun nak tak nak dia terpaksa terima semua itu. Tambah-tambah lagi Azrif bukanlah seorang lelaki yang suka dipaksa-paksa.


Boleh dapatkan yang terawal di sana, 
di 2 lokasi berikut 
😄😄😄

(1)
Pesta Buku Antarabangsa 2016
Booth A1001 Hall A1
29 April - 9 Mei
Maeps, Serdang

(2)
Urban Lifestyle Expo 2016
Booth 46, 47 & 48
29 April - 1 Mei
10 pagi - 10 malam
Expo Hall, Danga City Mall,
Johor Bharu


Wednesday, April 27, 2016

Bab 4 Assalamualaikum Cinta





BAB 4


SHERRY YANG berpakaian seksi dengan skirt putih pendek separas peha itu melangkah masuk dengan penuh bergaya ke syarikat milik Puan Sri Atikah itu yang terletak di tengah-tengah ibu kota itu. Dia tersenyum lebar apabila mengenangkan akan tujuan yang sebenar dia datang ke situ pada hari ini. Dan dengan penuh berlagak serta tanpa mempedulikan pekerja-pekerja lain yang berada di ruang lobi, dia terus sahaja menonong ke lif untuk ke tingkat lima.
Dalam masa yang sama, kelihatan Rykal sudah pun bangun dari kerusinya. Kala itu jam sudah pun menghampiri waktu tengah hari. Perut pun dah mula berkeroncong setelah lama kosong sejak sarapan pagi tadi. Namun langkahnya terhenti tatkala matanya kelibat Sherry yang tiba-tiba melintas dari hadapan pintu biliknya. Serentak dia mengundur kembali beberapa langkah. Tidak jadi untuk keluar dari bilik. Dia mengeluh sedikit lega. Nasiblah perempuan berlagak itu tidak perasan akan wujudnya dia di situ.
Tidak sedap hati, Rykal berjalan kembali menuju ke pintu biliknya dan menyorok di situ. Walaupun Sherry tidak mencarinya namun dia tidak berapa gemar dengan kehadiran perempuan itu di situ.
“Dia dah buat surprise lagi.. tak ada kerja ke apa? Habislah kau Az.. kau beritahu aku tadi ada lunch date dengan Nadia.. masaklah kalau macam ni.”
Rungut Rykal apabila teringat kembali dengan apa yang diberitahu oleh sepupunya sebentar tadi. Katanya mahu keluar makan dengan Nadia sebentar kerana lama tak jumpa. Namun dengan kehadiran Sherry di situ untuk ketika ini bakal menimbulkan kekecohan jika perkara itu diketahui oleh perempuan berlagak itu.
Rykal membetulkan sedikit tali lehernya sebelum membuka pintu biliknya dengan perlahan-lahan. Kepala dijengukkan sedikit pada celahan pintu yang terbuka sambil matanya melilau melihat ruangan pejabat yang menempatkan sebahagian dari staff itu. Nampak macam line clear je? Desis hati Rykal. Tak ada pulak bunyi bising-bising seperti kebiasaan Sherry datang ke situ. Semuanya dah okay ke?
Walaupun begitu dia tetap rasa tidak sedap hati. Dia kembali menutup pintu biliknya dan kembali melabuhkan punggung di kerusi. Mungkin dia perlu menunggu buat seketika sebelum keluar. Walau macam mana pun, dia tetap rasa bimbang dengan sepupunya di bilik sebelah.


NIA MENGALIHKAN sedikit gelas yang berisi jus oren itu ke tengah meja setelah minuman yang baru dihantar itu sudah beberapa kali disedut. Dia memandang ke arah Anita yang sedang mengacau-ngacau straw minumannya. Ketika itu mereka berdua sedang menunggu untuk makan tengah hari di sebuah kafe berdekatan dengan ofis mereka bekerja.
“Kalau ayah aku tu macam ayah kau, tak adalah aku macam ni.” Rungut Nia akan satu punca dari masalahnya. Semua itu berkait-rapat dengan latarbelakang keluarganya atau lebih tepat mengenai bekas pekerjaan ayahnya itu.
“Susah jugak hidup kau ni kan? Nak ada boyfriend pun tak boleh.. tapi kan kalau tak berkawan, macam mana kau nak tahu perangai sebenar dorang? Hantu ke atau memang hantu? Atau pun hantu bungkus?” Anita mengeluh selamba. Namun keluhan dari Anita itu disambut dengan sambutan ketawa dari Nia.
“Mulut kau jahat sangat kan? Suka hati orang je cakap orang hantu.” Tuduh Nia pada mulut Anita yang terlalu ‘lepas’ itu. Kadang-kadang sahabatnya itu boleh tahan lucu orangnya.
“Dah memang betul apa yang aku cakap.. kau kenalah cakap dengan ayah kau tu.. kalau tak sampai bila-bilalah kau macam ni.. lainlah kalau kat mata tu ada scanner.. tak pun susah-susah sangat kau suruh je ayah kau carikan calon untuk kau.”
Tiba-tiba Anita dapat idea. Mungkin itu yang terbaik untuk Nia. Macam kata orang, jodoh pilihan ibu bapa lebih berkat.
“Ishh tak naklah aku.. sah-sah dia cop abang terap jugak.” Balas Nia sambil mencebik. Tak dapat nak dibayangkan kalau calon suaminya itu dipilih cari calon ‘abang terap’ jugak. Apa dah tak ada orang lain ke kat dunia ni!
“Apa benda abang terap tu?”  Soal Anita. Baginya istilah yang digunakan oleh Nia itu terlalu asing. Yalah selama dia hidup inilah kali pertama telinga mendengar perkataan itu. Pelik bebenor bunyinya!
“Askarlah.. kau kan tahu ayah aku kerja apa? Lagi mau tanya.”
Jelas Nia sambil mengeluh perlahan. Geram juga dengan perangai Anita yang kadang-kadang blur semedang. Padahal dia dah kenal lama dengan Anita. Dari zaman belajar lagi.
“Ohh.. sebab askar dia meniarap ke sampai kau gelar macam tu? Siot je kau panggil abang terap bagai.” Anita mengangguk sebelum ketawa perlahan. Menahan dari ketawa besar yang mahu meletus. Karang orang sekeliling kat kafe tu pelik pula dengan perangainya yang ketawa macam apa saja. Hilang terus sifat ayu sebagai wanita Melayu terakhir kononnya. Sedangkan Nia mula buat muka menyampah. Tak adalah nak marah sangat pun dengan Anita. Cuma kadang-kadang je perangai sahabatnya itu membuatkan dia geram. Apa-apapun Anita merupakan sahabat terbaik yang boleh dijadikan tempat mengadu masalahnya. Nak mengadu kat ayahnya? Baik jangan cari nahas!


AZRIF YANG sedang menatap laporan kerja di laptopnya itu segera mengangat muka setelah mendengar pintu bilik pejabatnya dikuak dari luar tanpa sebarang dari ketukan. Matanya sedikit membulat dengan kehadiran Sherry yang agak mengejut di situ. Riak wajah Sherry yang tersenyum ceria itu dipandang dengan rasa sedikit berdebar. Rasa tak sedap hati. Apalagi bila teringat akan lunch date dengan Nadia. Bimbang pulak kalau-kalau Sherry dapat tahu. Habislah aku macam ni!
“Kenapa you tengok i macam tu? I ni cantik sangat ke?” Soal Sherry dengan nada suara paling manja. Sesekali dia membetulkan gulungan rambutnya yang berwarna perang itu. Kononnya nak nampak cantik dan sempurna di mata Azrif.
Azrif pula mengerdipkan bebola matanya beberapa kali. Konon-konon buat terpegun sangat dengan kecantikan yang dimiliki oleh perempuan yang berada di hadapannya hari ini. Walau dalam hati dah mula rasa menyampah dengan perangai Sherry yang perasan cantik itu. Namun dia cuba untuk bersabar. Dah gatal sangat nak ada hubungan dengan perempuan yang perasan itu. Hadap ajelah Azrif Iqmal oi!
Ishh.. gila you tak cantik.. you ni cantik sangat tapi lagi elok kalau cantik luar dengan yang dalam sekali tu.” Azrif berkata selamba. Memperli Sherry yang masih meliuk-lentok di hadapannya itu. Dah nak sama macam sotong kurita saja. Cuma yang jenis ini berpakaian walaupun pakaiannya macam tak cukup meter kainnya.
Dan Sherry pula buat-buat senyum segan. Matanya ditundukkan seketika. Kata-kata dari lelaki kacak itu memang punyai maksud yang tersirat. Hanya dia dan Azrif sahaja yang tahu.
“Tapi kenapa you tiba-tiba je ada kat sini? You tak bagitahu I pun kata nak datang.” Soal Azrif sedikit pelik. Kebiasaannya Sherry akan menelefonnya terlebih dahulu sebelum datang. Yalah kalau datang cari terus dia dekat pejabat, kebarangkalian nak jumpa tu macam susah sikit. Asyik ke sana-sini sahaja dengan Rykal atas urusan kerja yang tak pernah habis. Ah poyo lah kau Azrif! Sibuk dengan kerja konon. Padahal takut bertembung dengan Nadia. Kang tak pasal-pasal pulak terjadi perang dunia ketiga!
“Ala... you ni.. i datang buat surprise pun you macam tak suka je.”
Jelas Sherry buat muka. Meter keceriaan di wajahnya mula berkurangan dua puluh lima peratus. Jangan sampai negatif sudahlah. Karang tak pasal-pasal kena pujuk pulak kalau dah merajuk.
Azrif yang mendengar perkataan ‘surprise’ itu benar-benar terkejut.  Mulutnya sedikit terlopong sebelum air liur ditelan kesat. Kejutan apa pulak si Sherry ni? Jangan buat bukan-bukan sudahlah. Karang tak tahu nak sorok kat mana muka aku yang kacak ni kalau satu pejabat tahu!
Surprise?” Azrif kembali bertanya. Masih lagi tak faham dengan suprise yang dimaksudkan oleh perempuan yang memakai skirt pendek itu.
You ni dah lupa ke hari ini berapa hari bulan?”
Soal Sherry lagi. Kali ini memang dia betul-betul kecewa dengan Azrif yang mungkin sudah lupa akan sesuatu. Riak wajahnya berubah teruk. Hilang terus rasa ceria yang bermukim di lubuk hati.
Manakala Azrif pula sudah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Masih lagi tidak faham. Atau boleh dikatakan langsung tak nampak bayang apa-apa. Gelap kelam kelabu terus!
“Oh you nak paw i kan? You ni macam tahu-tahu je i dah gaji.” Azrif hentam saja apa yang terlintas di kepalanya saat itu. Walaupun ketika itu Sherry sudah pun berpeluk tubuh. Muncung mulutnya sudah hampir panjang sedepa. Tanda sudah merajuk dengan lelaki kacak itu. Tambah-tambah lagi bila Azrif langsung lupa yang hari tersebut adalah hari perkenalan mereka yang ketiga puluh. Sakit hati betul. Macam rugi aje aku pakai baju dan mekap cantik-cantik macam ni!



 Boleh dapatkan yang terawal di sana, 
di 2 lokasi berikut 
😄😄😄
(1)
Pesta Buku Antarabangsa 2016
Booth A1001 Hall A1
29 April - 9 Mei
Maeps, Serdang

(2)
Urban Lifestyle Expo 2016
Booth 46, 47 & 48
29 April - 1 Mei
10 pagi - 10 malam
Expo Hall, Danga City Mall,
Johor Bharu