:: My gangS :: TQVM

Wednesday, January 29, 2014

BAB 1 : Hey.. Dia Aku Punyalah!











BAB 1

Tahun 2014..

MEJA MAKAN yang mempunyai lapan buah kerusi itu dipandang sekilas sebelum kembali menghala ke ruang tamu. Kelibat papa dengan mamanya yang sedang menikmati minum petang itu langsung tidak  diambil peduli. Bahunya yang sedang menggalas beg panjang yang berisi joran kail itu dibetulkan supaya tidak terleret dari bahu.
“Raze.. nak ke mana?”
Tegur Puan Salima pada anak lelaki tunggalnya itu. Tuan Megat Shud yang sedang meneguk air kopi panas itu pun turut sama memerhati.
Langkah Raze terhenti seketika. Dia menghela nafas perlahan. Takkanlah mamanya tak nampak apa yang sedang dipegangnya ketika itu? Atau sengaja berbuat demikian?
Mancingla ma.. mana lagi kalau petang-petang macam ni?”
Balas Raze mendatar. Sebenarnya dia sudah agak jemu dengan setiap kali pertanyaan mamanya itu. Bukan mamanya tidak tahu akan hobinya yang satu itu?
“Eloklah tu mancing masa ni.. nanti Maghrib ke mana.. Isyak ke mana.”
Tuan Megat Shud mula memerli akan hobi anaknya yang satu itu. Kadangkala sedikit geram dengan perangai anak tunggalnya ketika ini. Boleh buat tidak tahu saja akan kewujudannya di rumah itu. Apa lagi jika hendak menegurnya.
“Papa ni kenapa? Ingat orang yang pergi mancing ni tak ingat sembahyang ke?”
Raze mula panas hati. Puan Salima mula menggelengkan kepalanya. Ada aje yang menjadi punca perbalahan dua beranak itu sejak akhir-akhir ini. Terutama sejak anaknya menganggur hampir tiga bulan selepas habis belajar. Dan dia tahu yang suaminya tidak berkenan dengan hal itu.
“Biasa macam tu lah kan? Duduk tercongok bukannya dapat hasil pun. Buang masa je.”
Tambah Tuan Megat Shud lagi. Kopi panas dihirup sekian kali walau dia tahu kata-katanya itu bakal mencetuskan bunga-bunga pergaduhan.
Raze menarik nafas panjang. Lama dia memerhatikan papanya itu sebelum membetulkan kembali beg pancing yang digalasnya. Jika lelaki berusia pertengahan empat puluhan itu bukan papanya, mungkin ketika ini mereka berdua sudah bertingkah pendapat.
Dahlah pa.. ma.. Raze pergi dulu. Assalamualaikum.”
Cepat-cepat Raze menamatkan perbualan sebelum hatinya bertambah panas. Laju sahaja kakinya melangkah ke pintu besar lalu keluar dari situ.
“Awak tengoklah anak awak tu.. bukannya boleh ditegur langsung.. suruh kerja malas..bukannya ada faedah pun pergi memancing tu.”
Adu Tuan Megat Shud pada isterinya. Kadangkala dia geram dengan perangai anak tunggalnya yang langsung tidak boleh ditegur.
“Habis tu saya nak buat apa bang? Saya pun dah tak tahu nak buat macam mana lagi.”
Keluh Puan Salima. Kadangkala dia pun tidak tahu untuk berbuat apa-apa lagi pada anak tunggalnya itu. Jika masih kecil, bolehlah dikurung di dalam rumah. Ini sudah pun mencecah dua puluh dua tahun.
Tuan Megat Shud memandang wajah isterinya sebelum kembali melabuhkan punggung di kerusi. Mungkin dia perlu berbuat sesuatu untuk memaksa anaknya itu bekerja dengannya walaupun mungkin dengan cara ugutan ataupun paksaan. Tambahan pula dia mahu Raze mewarisi syarikat milik keluarga mereka sebelum dia bersara panjang.


ADEL MENGATUR langkah menuju ke ruang tamu. Tadi semasa masih berada di politeknik, emak tirinya berkeras mahukan dia pulang ke rumah. Katanya ada benda penting yang memerlukan dirinya untuk masuk campur. Dan dia yang malas untuk bertikam lidah dengan emak tirinya itu hanya menurut sahaja tanpa banyak soal. Tambahan pula keesokan harinya cuti hujung minggu dan tidak ada kuliah.
Nah, untuk kau.”
Satu bekas segiempat tepat yang dilapisi dengan kain baldu berwarna merah gelap itu diletakkan ke atas meja kopi di ruang tamu. Adel memandang bekas segiempat itu seketika sebelum mengalihkan pandangan ke arah Mak Cik Aminah yang sedang duduk santai di kerusi rotan itu. Wajah Mak Cik Aminah yang sedang tersenyum padanya membuatkan Adel rasa tidak sedap hati. Ditambah pula dengan kelakuan pelik emak tirinya itu yang tiba-tiba sahaja memberikannya sesuatu. Adel seperti dapat merasakan ada sesuatu yang berhubung kait dengan pemberian bekas segiempat tepat itu padanya.
Apa ni makcik?”
Soal Adel dengan riak yang masih penuh dengan persoalan. Tangannya mencapai bekas segiempat itu lalu dibukanya dengan perasaan tidak sabar. Teruja pun ada walau di sudut hati kecilnya tetap berdebar dengan pemberian itu.
Cincin?”
Soal Adel lagi dengan rasa terkejut. Sebentuk cincin emas yang bertatahkan tiga biji batu permata itu disentuh perlahan. Kelihatan cantik dan berkilau-kilau walau hanya disimbahi dengan lampu pendaflour. Kala itu jantungnya mula berdegup kencang. Takkanlah emak tirinya sanggup berhabis wang untuk memberikannya cincin sebegitu? Sungguh dia musykil!
“Tu cincin risik untuk kau.”
Balas Mak Cik Aminah seraya menekan remote tv. Drama Melayu mula terpapar setelah tamat berita jam lapan malam.
Cincin risik?”
Sekali lagi Adel bertanya untuk memastikan jawapan yang keluar dari mulut emak tirinya itu benar-benar wujud. Manalah tahu kalau-kalau telinganya tersilap dengar.
“Yelah cincin risik untuk kau. Semalam ada orang hantar rombongan merisik. Sebab aku dah terima jadi cincin ni dapat kat kau lah.”
Sekali lagi Adel dilanda kejutan. Dari keadaan berdebar-debar sejak tadi, tubuh Adel mula berpeluh-peluh dan seram sejuk. Tapi siapa pula yang hantar rombongan merisik pada dirinya? Adel cuba untuk meneka walau langsung tiada petunjuk.
“Siapa yang datang merisik?”
Soal Adel lagi meminta penjelasan yang lebih terperinci. Agak tidak berpuas hati dengan penerimaan emak tirinya akan rombongan merisik itu. Seperti dia langsung tidak punya hak untuk memilih walaupun untuk jodohnya sendiri.
“Keluarga Paan datang semalam. Sebab dia orang macam bersungguh-sungguh nak kau jadi menantu dia jadi aku terima lah. Dua bulan lagi lepas kau habis belajar dia orang nak buat majlis nikah.”
Jawapan penuh lengkap dan terperinci dari Mak Cik Aminah itu membuatkan Adel seperti dihempap batu besar. Paan? Farhan, anak ketua kampung yang agak berlagak itu? Sejujurnya Adel memang tidak berpuas hati dan agak kecewa. Patutlah emak tirinya itu di dalam keadaan mood baik-baik sahaja ketika dia pulang tadi. Langsung berbeza dengan keadaan sebelum ini yang ada sahaja tidak berpuas hati dengannya.
“Tapi Adel tak nak kahwin dengan Paan tu.”
Balas Adel menyatakan akan ketidaksetujuannya itu. Baginya emak tirinya itu tidak ada hak untuk memaksa dia berkahwin. Dia pun ada hak untuk memilih bakal suaminya yang sendiri.
“Eh kau jangan pandai-pandai nak bantah cakap aku pulak. Dari kau belajar ni tak tahu kerja apa nanti ada baiknya kau kahwin dengan Paan tu. Boleh je hidup senang goyang kaki kat rumah. Lagi satu, aku dah terima duit dia orang nak buat majlis.”
 Tapi makcik, Adel ta..”
“Kau jangan nak mengada-ngada nak cancel pulak. Ni cincin ni kau ambil simpan.” Putus Mak Cik Aminah lalu bangkit berdiri. Sudah tiada mood pula untuk menonton drama yang sedang ditayangkan di kaca tv itu.
Adel pandang bekas berisi cincin itu dengan perasaan ingin menjerit kuat. Tangannya mula menyapu air mata yang sudah mahu menitis ke pipi. Sungguh dia tidak rela!
“Aku tak nak kahwin. Aku tak nak kahwin dengan Paan.” Adel berkata perlahan lalu menuju ke bilik tidurnya. Seketika dia memandang lama ke arah beg bajunya yang masih tersadai di atas katil. Serentak itu otaknya mula terfikirkan sesuatu. Mungkin dia perlu berbuat sesuatu. Mungkin!


JAM SUDAH menginjak hampir ke pukul sembilan malam tatkala Adel mula keluar dari biliknya itu. Beg baju yang mengandungi beberapa helai baju itu dibimbit dengan tangan. Dengan langkah teratur dan perlahan-lahan, dia cuba untuk menyelinap keluar dari rumah itu. Itu sahaja pilihan terakhir yang mampu dia fikirkan pada waktu itu iaitu melarikan diri dari rumah.
“Hah nak ke mana pulak tu?”
Teguran sedikit kuat dari Mak Cik Aminah menyebabkan langkah Adel terhenti seketika. Berdebar-debar jantungnya ketika itu apabila kelibatnya disedari.
“Adel nak keluar dari rumah ni.”
Jawab Adel jujur sambil cuba bertentang mata dengan Mak Cik Aminah yang sudah menunjukan riak tidak puas hati. Sesaat kemudian dia menyambung kembali langkahnya menuju ke ambang pintu. Tidak mahu melengahkan masa yang ada.
“Eh banyak cantik muka kau nak keluar dari rumah ni.”
Mak Cik Aminah cuba untuk mengejar Adel yang sudah sampai ke pintu. Mahu menghalang akan anak tirinya yang sedang cuba untuk melarikan diri.
"Kak Long nak pergi mana?” Tanya Ariz, adik tirinya yang baru sahaja muncul di ruang pintu. Adiknya itu masih menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat kontraktor di Sepang.
Adel yang sedang cuba untuk melarikan diri itu langsung tidak berkesempatan untuk menjawab soalan dari adik tirinya. Tergesa-gesa dia menuruni anak tangga untuk menyarung selipar. Berharap akan dapat keluar dari rumah itu secepat mungkin.
“Eh Ariz, halang kakak kau tu. Dia nak lari.”
Terjerit suara Mak Cik Aminah meminta tolong dari anak lelakinya itu.
Ariz masih lagi terpinga-pinga. Langsung tidak memahami akan apa yang sedang berlaku ketika itu.
Hessy, budak ni.. aku suruh halang dia tercegat kat situ pulak.”
Marah Mak Cik Aminah pada Ariz. Kala itu dia sudah tiba ke beranda. Dan Adel pula sudah pun menghala ke ruang halaman rumah.
“Hoi balik sini aku cakap!”
Sekali lagi Mak Cik Aminah menjerit. Namun Adel sudah pun menjauh dengan berlari-lari anak di dalam kegelapan malam melepasi pagar. Puan Aminah termengah-mengah apabila sampai ke halaman rumah. Dia menarik nafas laju sambil cuba untuk bertenang. Mula memikirkan apa yang patut dibuatnya selepas ini.
“Hah Paan. Telefon Paan.”
Mak Cik Aminah kembali ke rumah. Mahu menghubungi Paan untuk meminta tolong mencari Adel. Mana boleh rancangannya musnah begitu sahaja. Habislah peluang dia untuk bermenantukan orang kaya!



p/s : Lamanya tak de update entry novel kan? hehe..bz dgn babyrizq kaedahnya..dateline tahun lepas pn dah terlepas.. dan skrg baru merangkak-rangkak nak kembali aktif menulis..harapnya masih ade yang sudi baca..tq!

3 comments:

baby mio said...

Best.

hana_aniz said...

ada yg masih lagi membaca. huhu

btw, blog hotstuff zura da privatekan ke? :(

Wan Norhasmiza W. Hanapi said...

Salam.. Akk xder sambungan ke ni