:: My gangS :: TQVM

Wednesday, January 29, 2014

#random #sebenarnyasayaisteridia #ssid #1








RUMAH YANG sudah hampir mencecah usia lebih separuh abad itu kelihatan masih utuh di atas tanah yang berukuran hampir setengah ekar. Dikelilingi dengan pelbagai pokok bunga yang memagari halaman rumah membuatkan pemandangan di halaman rumah itu bertambah indah serta elok dipandang. Dilengkapi pula dengan pohon kelapa yang sayup-sayup tinggi, hampir membuatkan suasana di situ tampak begitu tenang.
Firash mula memarkirkan keretanya di halaman rumah tersebut dengan mata meninjau sedikit-sebanyak kawasan sekeliling. Nampaknya semua masih tidak banyak berubah. Walaupun sudah hampir tiga belas tahun dia tidak menjejaki rumah tersebut, semuanya masih hampir kelihatan sama. Kali terakhir dia datang ke situ pun hanya untuk mengikuti kelas mengaji. Itupun semasa dia berusia lapan tahun. Teringatkan akan kenangan-kenangan ketika mengaji di situ membuatkan bibir Firash tersenyum lebar. Mana mungkin dia akan lupa akan zaman nakalnya ketika masih lagi kanak-kanak itu.
Kenapa yang senyum sorang-sorang ni?”
Syaf yang berada di sebelah mula sedikit pelik apabila melihat Firash yang tersenyum-senyum. Apa kes laki aku ni? Buang tebiat ke apa?
“Eh sayang.. ni abang teringat kisah masa abang kecik-kecik dulu.”
Bibir Firash masih dengan senyuman yang tidak putus. Ditatap wajah isterinya seketika yang sudah penuh persoalan.
“Oh pasal tu ke? Nakal betul tau dia masa kecil. Hessy, rasa nak cubit-cubit je kalau ingat balik.”
Syaf cuba hendak mencubit pipi suaminya namun cepat-cepat Firash mengelak.
Sorry-sorry sayang.. masa tu abang tak pandai nak luahkan perasaan so abang buat macam tu lah.”
Sambung Firash dengan kepala yang digelengkan. Memang dia langsung tidak menyangka yang dia akan berbuat demikian pada Syaf. Nasiblah ketika itu tak ada orang nampak. Kalau tak, harus kena marah. Tak pun kena tarik telinga dengan arwahTok Mi.
“Eee, tak baik tau.. nasib sayang tak bagitahu kat mak.”
Syaf membalas geram. Sungguh selepas kejadian itu, dia sedikit agak segan untuk ke rumah Mak Ngah namun tetap digagahi juga untuk menghabiskan sesi mengajinya.
“Tak ada orang tahu kan, selamat abang.”
Firash mula tergelak-gelak kecil. Dipandang wajah Syaf yang mula mencebik.
“Kalau mak tahu bukan setakat kena marah kut, lebih dari tu pun kena.”
Syaf menyambung. Memikirkan apa akan terjadi jika kejadian itu diketahui oleh arwah emaknya. Harus Firash kena marah walau masa itu suaminya hanya berusia lapan tahun.
“Lebih dari tu? Maksud sayang? Kena paksa kahwin?”
Firash mula tergelak-gelak. Lucu dengan soalan yang direkanya sendiri.
Syaf mula menjeling. Tangan kanannya laju sahaja bergerak ke arah peha Firash.
Amboi gatalnya dia. Tak padan dengan kecik lagi masa tu dah nak kahwin?”
Puas hati Syaf apabila dapat mencubit peha suaminya itu.
Aduii... apa ni sayang? Sakitlah..”
Firash menolak-nolak tangan Syaf yang masih melekat di pehanya. Boleh tahan perit!
“Padan muka. Perangai tak berubah dari kecik sampai besar.”
Alah sayang ni.. abang main-main ajelah.. Jom kita turun.. jumpa mak ngah.”
Firash mula menarik tangan Syaf dan membelai lembut seakan memujuk. Bimbang juga jika isteri kesayangan merajuk. Susah pulak nak pujuk nanti.
“Hmm, yelah.”
Masing-masing mula membuka pintu kereta. Menuju ke arah rumah yang banyak meninggalkan kenangan manis antara mereka berdua semasa kecil dahulu.

 

WANITA BERUSIA hujung enam puluhan itu kelihatan sedikit payah untuk duduk. Syaf yang berada tidak jauh dari situ cuba memimpin untuk ke kerusi berhampiran.
“Biasalah kalau dah tua-tua ni.. nak bangun susah, nak duduk pun payah.”
Usai melabuhkan punggung, wanita yang dikenali sebagai Mak Ngah Hasmah itu mula bersuara. Syaf hanya tersenyum kecil. Faham dengan apa yang diperkatakan.
“Mak Ngah kenal kami berdua tak?”
Soal Firash dengan harapan yang wanita tua itu akan mengenalinya. Syaf pula mengambil tempat duduk di sebelah suaminya.
“Maaflah Mak Ngah ni dah tua. Dah ingat-ingat lupa dah. Mata pun dah rabun sikit. Siapa kamu berdua ni?”
Wanita tua itu cuba merenung wajah-wajah di hadapannya. Cuba mengingati kembali jika pernah melihat wajah-wajah itu di mana-mana.
“Saya Acad la Mak Ngah. Dan ni Qira. Kami berdua kan pernah mengaji kat rumah Mak Ngah dulu. Lebih kurang sebelas tahun dulu. Ingat tak?”
Soal Firash sedikit mengharap. Syaf pula hanya mengangguk perlahan apabila dikenalkan sebagai Qira. Mungkin dengan panggilan nama itu sedikit-sebanyak akan membuatkan wanita tua itu mengingati akan mereka berdua.
Acad? Qira? Pernah mengaji kat sini?”
Soal Mak Ngah Hasmah dengan dahi berkerut-kerut. Masih tidak dapat lagi mengingati akan nama-nama tersebut.
Ye Mak Ngah. Kami berdua pernah mengaji kat sini.. haa, sorang lagi kawan kami Shida.”
Sambung Firash lagi. Dua saat, tiga saat kemudian Mak Ngah Hasmah kelihatan memegang kepalanya. Mungkin cuba mengimbau dan mengingati kembali sambil memandang wajah-wajah di hadapannya.
“Oh Acad budak nakal tu, yang suka usik kak Qira?”
Soal Mak Ngah ingat lupa-lupa.
“Haa, ye lah tu Mak Ngah. Yang suka usik saya tu.”
Syaf cepat-cepat menyampuk. Teruja apabila Mak Ngah Hasmah mula mengingatinya.
“Lahh, dah besar panjang ye kamu berdua. Dulu, Mak Ngah rasa Acad kecik aje.” Luah Mak Ngah Hasmah memandang lama ke arah Firash. Siapa sangka anak didikannya itu sudah besar panjang. Nampak agak berbeza berbanding sebelas tahun dulu.
“Besar dah Mak Ngah. Sebelas tahun tu.”
Firash mengiyakan. Sungguh jika diingatkan sebelas tahun dulu, tubuhnya memang sedikit kecil berbanding kanak-kanak lain seusia dengannya.
“Hmm, yelah. Eh kamu datang berdua ke? Bukannya dulu Acad pindah ke Kuala Lumpur? Dan Qira masa tu duduk sini lagi kan?”
Soal Mak Ngah sedikit tertanya-tanya akan kedatang mereka berdua ke situ.
“Memang saya pindah Ke Kuala Lumpur lepas tu sebab mama saya nak saya belajar kat sana. Jumpa balik Qira pun masa abang saya belajar satu universiti.”
Jelas Firash akan keadaan yang sebenar.
Ohh patutlah. Sebab apa yang Mak Ngah tahu, selepas Acad pindah, Qira pindah jugak kan?”
 Haah Mak Ngah. Ayah masa tu kena tukar tempat kerja. Jadi kitaorang sekeluarga pindahlah tapi bukan kat KL.”
Syaf menceritakan kembali akan perpindahannya ketika itu.
“Hmm, jodoh kamu berdua lah kan sebab dapat jumpa balik. Eh Acad belajar lagi ke? Kalau tidak silap pengiraan Mak Ngah, Acad baru dua puluh satu kan tahun ni?”
Saat itu Firash sedikit terkejut. Memandang isterinya buat seketika. Syaf hanya tersenyum.
“Haah Mak Ngah, belajar lagi. Tengah praktikal. Hujung tahun ni habislah.”
“Oh betullah tu. Haa Qira mesti dah kerja kan? Kerja apa? Mak Ngah ni lepas kamu berdua pindah, Mak Ngah pun pencen ajar budak-budak mengaji. Dah tak larat dah nak layan.”
“Qira kerja biasa-biasa aje Mak Ngah. Eh Shida duk mana sekarang? Rasanya kami langsung tak jumpa dia lepas pindah tu.”
Soal Syaf bertanya akan sahabat ketika zaman kanak-kanak dahulu.
“Mak Ngah pun tak tahu. Sebab lepas mak ayah dia meninggal, Shida katanya pergi duduk dengan mak sedara dia kat Seremban. Ada kat sana lagi lah agaknya.”
Jelas Mak Ngah akan anak didiknya yang bernama Shida itu.
Firash dan Syaf masing-masing mengangguk perlahan. Akhirnya tahu juga akan perkembangan dari Shida itu. Rasanya selepas mereka berdua pindah, mereka bertiga tidak pernah berjumpa. Kecuali Firash sahaja yang kebetulan berjumpa kembali dengan Syaf. Itupun sebab arwah abangnya, Farish.


 
PERBUALAN MEREKA bertiga tiba-tiba dikejutkan dengan derapan langkah seseorang. Masing-masing berpaling untuk melihat empunya diri. Seorang lelaki yang kelihatan berusia awal dua pu luhan tiba-tiba datang menyertai mereka bertiga. Sebuah senyuman manis dilemparkan ke arah perempuan dan lelaki yang sedang berbual dengan neneknya.
“Baru balik ke Zaff?” Mak Ngah Hasmah menegur cucunya yang baru sahaja menyertai mereka bertiga.
Haah Nek. Baru je balik ni.. hmm, siapa ni?”
Cucu Mak Ngah Hasmah yang bernama Zaffin itu memandang sekilas ke arah tetamu neneknya. Namun matanya lebih teruja untuk memandang ke arah tetamu perempuan yang bertudung itu. Nampak manis serta sopan sahaja.
“Ni haa, Achad dengan Qira. Budak yang nenek ajar mengaji dulu.” Balas Mak Ngah Hasmah memperkenalkan.
Zalfin bangun untuk bersalam dengan Firash.
Zaff..Zaffin”
 Firash.. tapi Mak Ngah panggil Achad.”
“Zaff ni duduk dengan Mak Ngah. Kira macam jaga Mak Ngah la.. rumah mak ayah dia dekat Kuala Lumpur sana.”
Jelas Mak Ngah Hasmah akan cucunya itu. Syaf hanya tersenym apabila lelaki yang dikenali sebagai Zaffin itu memandangnya. Sejujurnya dia tidak pernah kenal akan cucu Mak Ngah yang berada bersama mereka itu. Namun setelah mendengar  akan cerita dari Mak Ngah barulah dia tahu akan keadaan yang sebenar.
“Patutlah saya tak pernah kenal. Duduk kat KL rupanya.”
Balas Syaf mengangguk perlahan. Kala itu dia seperti terpandang akan cucu Mak Ngah Hasmah yang seperti asyik memandangnya. Rasa tidak selesa mula bertandang. Apatah lagi bila suaminya itu seakan perasan dengan pandangan dari Zaffin itu.
Mak Ngah Hasmah merenung wajah Syaf dan Firash di hadapannya. Diperhatikan akan wajah-wajah itu. Sesaat kemudian, matanya menangkap akan cincin yang terletak di jari manis Syaf, saat itu bibirnya mula tersenyum.
“Itulah, Zaff memang duduk kat Kuala Lumpur, sebab tu mungkin kamu berdua tak pernah jumpa dengannya. Eh Qira dah dua puluh lima kan tahun ni? Bila nak kahwin?”
Soal Mak Ngah Hasmah dengan senyum di bibir. Saat itu Firash yang mendengar solan dari Mak Ngah Hasmah sedikit terkejut. Cepat-cepat dia memandang ke arah isterinya. Cuba melihat apa yang akan isterinya akan menjawab.
“Err.. Sebenarnya saya dah kahwin Mak Ngah. Dah lebih enam bulan pun.”
Jujur Syaf menjawab. Seketika dia berpaling ke arah Firash di sebelahnya. Dan kala itu juga dia perasan akan wajah Zaffin yang berubah riak.
Dah kahwin? Dengan siapa? Suami tak ikut sekali ke?”
Soal Mak Ngah sedikit terkejut. Walaupun pada anggarannya ketika itu, mungkin Qira baru bertunang jika dilihat cincin yang berada di jarinya. Tidak sangka pula sudah berkahwin.
Firash yang perasan akan pandangan Zaffin  pada isterinya mula berdehem.
“Haah Qira dah kahwin. Kahwin dengan saya Mak Ngah.”
Senyum lebar sahaja saat Firash menjawab soalam dari Mak Ngah Hasmah itu.
Lah ye ke? Tak sangka betul Mak Ngah. Ingatkan usik-usik zaman kecik dulu suka-suka aje. Tapi muda lah kamu kahwin Achad?”
Mak Ngah Hasmah agak terkejut dengan penjelasan dari Achad itu. Tidak menyangka pula yang anak didikannya itu kahwin di usia yang masih muda. Hampir sebaya dengan cucunya yang bernama Zaffin itu.
“Dah jodoh Mak Ngah. Orang cakap apa, usik-usik bawak bahagia.”
Semakin melebar senyum Firash apabila melihat wajah Zaffin yang agak kelat. Sebagai seorang lelaki, Firash memang faham dan kenal akan pandangan Zaffin pada isterinya itu.
“Macam-macamlah kamu ni Achad. Tapi elok juga tu kalau kahwin awal-awal. Yelah, budak-budak zaman sekarang, susah sikit. Tak macam zaman dulu-dulu.”
Syaf hanya mengangguk dan mengiakan sahaja. Faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Mak Ngah Hasmah itu.
“Errm, nek, Zaff masuk dulu lah. Penat tak habis lagi ni.” 
Zaffin mula meminta diri. Entah kenapa rasa janggal pula apabila berlama-lamaan di situ.
“Hmm, yelah.”
Zaffin bangkit dari kerusi lalu melintasi Firash dan Syaf. Namun matanya sempat melirik pandang pada Syaf. Sayang sungguh.. ingatkan belum kahwin!


FIRASH BERJALAN ke kereta dengan perasaan sedikit kurang tenang. Ingatkan kedatangan mereka ke rumah Mak Ngah Hasmah itu berakhir dengan kegembiraan namun sebaliknya. Syaf yang perasan akan perubahan suaminya itu mengeluh perlahan. Faham sangat.. tersangatlah faham.
“Abang, kita nak balik terus ke atau nak check-in mana-mana hotel?”
Soal Syaf perlahan sebaik sahaja mereka masuk ke kereta.
“Tengoklah macam mana.”
Balas Firash lalu menghidupkan enjin keretanya. Rasa macam hilang mood pula hendak bercakap ketika ini. Syaf sekali lagi mengeluh. Firash.. Firash! Dah mula lah perangai dia yang cemburu tak habis-habis tu.
“Abang jeles dengan Zaff tu ke?”
Soal Syaf sedikit menganggak. Walaupun jika dilihat dari reaksi Firash itu, dia sudah tahu akan jawapannya. Sengaja ingin memastikan walau dia sendiri memang tersangat memahami akan perangai suaminya itu.
Firash yang sedang mengundurkan kereta itu sedikit berpaling ke arah isterinya. Namun hanya seketika sebelum kembali fokus ke hadapan.
Siapa tak jeles bila ada lelaki lain pandang semacam je kat isteri dia?”
Nada suara Firash mula berubah. Dua saat kemudian kereta itu mula ke arah jalan raya. Dan saat itu Syaf hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya.








p/s : tetibe rindu dkt #syafirash ;')

- alhamdulillah novel #ssid top bestselling malay books of 2013 (kinokuya), tqvm atas sokongan ;')