:: My gangS :: TQVM

Monday, July 16, 2012

BAB 13.1 MENANTU DARI OVERSEA?





PAGI itu Ayara kelam-kabut untuk pergi ke tempat kerja. Mulutnya tidak habis-habis merungut kerana terlajak tidur lantaran balik lewat semalam selepas menemani Shanzay keluar makan. Teringatkan akan lelaki itu membuatkan hati masih lagi dipagut rasa geram. Baginya semakin lama dia mengenali lelaki bermata hijau itu, semakin banyak masalah yang melanda di dalam hidupnya kebelakangan ini. Ada saja idea lelaki itu untuk mengenakannya. Macam semalam, tak pasal-pasal video serta gambarnya yang sedang enak tidur dirakamnya. Sudahlah video itu juga ada babak yang tidak sepatutnya ditonton di khalayak umum. Dan apa yang menyebalkan hatinya ialah kejadian lelaki itu yang tidak disangka-sangka mengucup pipinya. Seakan masih lagi terasa betapa hangat kucupan bibir lelaki itu singgah di pipinya. Apa hak lelaki itu untuk berbuat demikian? Sungguh, Ayara terasa lelaki itu semakin kurang ajar padanya. Huh!
Malas untuk mengingatkan hal yang terjadi semalam, Ayara kembali tekun meneliti fail-fail yang perlu diserahkan pada petang ini. Di dalam meneliti fail-fail yang hampir separuh memenuhi mejanya itu, hatinya juga terbit rasa tidak puas hati. Pagi tadi selepas masuk saja ke pejabat, encik Raziq awal-awal lagi telah memanggilnya. Hatinya sudah berdebar-debar sakan ketika itu. Seakan dapat merasa apa yang akan berlaku. Dan kesudahannya, lelaki yang berumur tiga puluhan itu memberikan sebeban fail yang perlu disemak. Ayara malas untuk menyoal dengan lebih lanjut memandangkan cara encik Raziq melayannya saja penuh rasa dingin dan dia tahu mengapa sebabnya lelaki itu bersikap demikian. Pasal kejadian semalam. Itu saja yang terlintas di benaknya ketika itu.
“Beb, tak nak pergi makan ke?” Tegur Miza seraya menggerakkan kerusi pusingnya ke arah meja Ayara. Work stationnya dan sahabatnya itu hanya bersebelahan. Jadi amat mudah untuk bergerak tanpa perlu berjalan jauh. Ayara mendongakkan kepalanya dari fail yang sedang dipegang. Jam di pergelangan tangan di belek seketika. Baru pukul 12.45 tengah hari. Ada lima belas minit lagi untuk menjengah ke pukul satu petang.
“Awal lagi lah Miza. Kau tak tengok jam ke?” Balas Ayara seraya menuding jari ke arah jamnya.
Miza mencebik. “Alah, lima belas minit je pun lagi. Macam tak biasa buat kerja macam ni,” sambung Miza lagi. Dia kembali ke mejanya untuk mengambil beg tangan. Bedak kompak ditarik keluar untuk menampal kembali mekap yang sudah hampir pudar.
“Memanglah dah biasa. Tapi hari ni angin encik Raziq tak baik tau. Aku malas nak cari pasal,” balas Ayara kembali menundukkan kepala menghadap fail yang sedang terbuka luas di atas meja.
Miza kembali menghampiri Ayara. Namun kali ini, dia hanya berjalan sambil beg tangan sudah disangkut ke bahu. Sudah bersiap-sedia untuk keluar.
“Angin apa pulak mamat tu? Biasa okay aje. Nak-nak lagi dengan kau. Senyum aje manjang. Sampai nama kau pernah kena gosip lagi dengan dia,” Miza mula ketawa kecil. Punggungnya dilabuhkan di bucu meja sahabatnya itu.
Masih lagi teringat akan gosip yang melanda di pejabatnya setahun yang lepas. Ketika mereka mula-mula ditawarkan bekerja di hotel itu. Namun Ayara hanya diam saja ketika itu. Langsung tidak mengiyakan walaupun layanan encik Raziq memang baik kepadanya. Sudahnya gosip itu reda dengan sendirinya.
“Tu hal lama lah Miza. Aku pun dah lupa. Lagipun aku bukannya betul-betul suka kat dia pun, dia aje yang layan aku baik semacam,” balas Ayara sambil menggariskan sesuatu dengan pensel. Terjumpa satu kesalahn yang perlu dibaiki secepat mungkin.
“Yelah tu. Bukan kau suka kat dia jugak ke dulu? Cakap dia gentleman lah. Soft-spoken lah,” provok Miza lagi dengan ketawa yang masih bersisa. Masa inilah nak korek rahsia hati sahabatnya itu. Suka sangat berahsia walau dengan kawan baik sendiri.
“Siapa cakap aku suka dia? Aku tak cakap pun. Kalau dia suka aku, takkanlah dia timbunkan aku dengan fail-fail yang berlambak ni?” balas Ayara cuba mengalih topik. Memang dulu dia amat mengagumi pegawai atasannya itu. Iyalah, muda-muda lagi dah pegang jawatan tinggi kat situ. Siapa yang tak kagum kan? Cuma dia pelik apabila lelaki itu seperti tiada hubungan dengan perempuan. Atau dia sendiri tidak menyedari akan hal itu?
“Siapa yang tak suka saya?” Satu suarau garau yang menegur membuatkan Ayara dan Miza cepat-cepat berpaling. Masing-masing menelan liur kelat apabila melihat pegawai atasan mereka itu encik Raizq sudah menuju ke arah mereka.
Miza kembali berdiri. Ayara pula sudah pegun dan tidak berkelip memandang mata encik Raziq yang sedang memerhatikannya dengan satu renungan yang tidak dapat ditafsirkan.
“Err...Encik Raziq...Tak ada apa-apa lah. Saya saja-saja cakap tadi,” Miza tiba-tiba mencelah setelah dapat mengenalpasti akan pandangan encik Raziq ke arah Ayara. Seakan pandangan lelaki itu mempunyai satu makna namun tidak dapat dicerna oleh otaknya.
Mata encik Raziq kembali berpaling ke arah Miza. “Hah Miza. Rasanya tak pukul satu lagi kan? Awak nak ke mana ni? Ponteng?” Soal encik Raziq memandang tepat ke arah Miza yang sudah kelihatan serba-salah. Ayara hendak tergelak namun cepat-cepat menekup mulut. Bimbang jika dimarahi pula.
“Err..” Miza mati kata. Dia menjeling ke arah Ayara yang sedang tersenyum padanya.
“Ayara, sebelum pukul tiga. Saya nak semua fail tu semua ada atas meja saya. Jangan cuba nak ponteng pulak,” sedikit tegas encik Raziq bersuara sebelum menghilangkan diri ke pintu lif.
Ayara dan Miza masing-masing menghembus nafas lega. “Aku dah cakap tadi angin dia tak okay. Kan dah kena,”  rungut Ayara sebelum mengemaskan fail-fail supaya kembali tersusun.
“Angin apa dia tu? Angin pasang kut?” Telah Miza seraya ketawa. Ayara hanya menggeleng-gelengkan kepala. Takkan lah angin pasang pulak kut? Tu kan penyakit. Namun hatinya tetap berprasangka yang encik Raziq memang tidak puas hati dengannya kerana hal lewat malam semalam. Dia amat pasti.


****


“APSAL kita datang sini? Bukan kita tak pernah makan ke kat restoran ni?” Soal Ayara berkerut dahi ketika dia bersama Miza melangkah masuk ke dalam restoran yang terletak di hujung jalan itu. Memang agak dekat dengan hotel tempat mereka berdua bekerja namun dia tidak perasan pula yang selama ini ada restoran di situ. Kebiasaannya mereka hanya makan di kedai-kedai biasa yang tumbuh bagaikan cendawan di pinggiran jalan. Murah pun murah dari restoran lain. Itu pun jika tidak mahu ke restoran mamak.
“Bosanlah weyh kalau makan kat tempat biasa je. Sekali-sekala nak jugak rasa kat restoran mahal kan?” Miza mengerling sekilas ke arah Ayara sebelum melabuhkan duduk di meja yang berdekatan sampan kecil yang terletak di tengah-tengah restoran itu. Mungkin dijadikan bahan tarikan. Tambahan pula, restoran itu berkonsepkan tradisional Melayu.
“Yelah tu bosan. Aku malas lah nak makan tempat-tempat macam ni. Lari bajet lah. Ni baru hujung bulan kut,” tambah Ayara sambil memerhatikan dekorasi restoran itu. Kelihatan persekitarannya amat tersusun. Agak ramai orang ketika ini. Tambahan pula ketika waktu makan tengah hari.
“Chill lah beb. Aku yang belanja. So sila jangan risau ye.”
“Kau nak belanja ke? Alhamdulillah, syukur. Jimat duit aku. Eh jomlah order.”
Miza laju mencebik. “ Tahu lah aku belanja. Agak-agak lah pun.”
Ayara ketawa kecil. “Eleh tu pun nak terasa. Sejak bila kau sensitif bagai ni? Eh dah pukul 1.15 dah. Cepatlah, karang lambat masuk kena sound pulak.”
“Yelah-yelah.” Mereka berdua mula menatap menu yang terletak di meja sebelum membuat order.



****



“AKU PERGI tandas kejap. Kau jangan tinggalkan aku sorang-sorang pulak kat sini,” pesan Ayara seraya bangkit dari kerusi. Beg tangan disarung ke bahu.
“Alah kau ni. Macam lah jauh sangat dengan hotel tu. Jalan kaki je pun,” balas Miza seraya tergelak. Apalah Ara ni, hotel punya dekat pun nak takut ke? Dahlah siang hari bukannya malam pun nak kena berteman bagai, bisik hatinya lagi.
“Manalah tahu kut-kut kau nak tinggal aku. Eh aku pergi dulu lah,” Ayara cepat-cepat melangkah. Jam di pergelangan tangannya sudah mencecah pukul 1.45tengah hari. Ada lima belas minit lagi sebelum pukul 2 petang. Kenalah cepat-cepat. Bimbang terserempak dengan encik Raziq, mahu kena sound pulak.
Papan tanda yang terletak lima meter dari jaraknya berjalan diperhati. Di dalam hati berharap tak adalah orang. Manalah tahu kat tandas pun ramai orang.
Bukk!!
Ayara menyeringai sakit apabila terasa bahunya dilanggar kuat. Kedudukannya yang agak tidak stabil lantaran terlalu laju berjalan membuatkan tubuhnya terdorong ke belakang sebelum terasa lengannya dipaut seseorang. Tatkala melihat tangan yang sedang memaut lengannya, matanya hampir terbuntang luas.



***
p/s : entry before balik kg n before puasa...sebenarnya bab ni panjang so post separuh dulu...part ni takde shanzay yer J
p/s 2 : selamat menunaikan ibadah puasa...lepas ni maybe jarang sket update cz bulan puasa agak sibuk..siang mmg tak sempat dh kut nk pegang tabs...mlm time nk bersahur tu aje lah yg sempat menaip...sorry yer..