:: My gangS :: TQVM

Friday, April 20, 2012

JOM JUMPA KAT PWTC!!


Assalamualaikum dan selamat pagi J

Sorry tak update MDO..tau ramai yang tertunggu dan kecewa (haha...macamlah best sangat citer mngarut cam tu..)...btw zura terpaksa susun balik draft yg tunggang langgang tu..yelah, taip ikut suka hati jer...ni bila dah orang tegur itu ini baru rasa menyesal tak susun elok-elok..hihihi....adesss..

Okaylah nak cakap yg Zura gerak dari Kemaman ni 27/04/2012 (Jumaat tapi tak tau lagi pagi ke tengah hari)..So kalau gerak pagi sempat lah jenguk sesape yang ada kat sana tu petang jap...kalau sampai petang, tak sempat lah kot.

.Zura punya jadual 28/04/2012 ( 12.30 – 2.00pm) dan 29/4/2012 (2.00 -3.30 pm)...sesape yang kelapangan bolehlah jumpe2..hehe....adesss..cuak pulak cz tak pernah pi pesta ni...hehe..Zura kemungkinan akan lama dok sana sampai 1 atau 2Mei rasanya sebab ada yang apply cuti/ perabiskan cuti...Oklah tu je nak cakap pagi ni..jumpa kat sana yer nanti :DDD

Monday, April 16, 2012

BAB 4 MENANTU DARI OVERSEA? - repost





Rasanya link bab 4 Menantu Dari Oversea tak naik kut....dah hampir 7 jam pun...boleh klik sini untuk bace :))

Saturday, April 14, 2012

BAB 3 MENANTU DARI OVERSEA?



BAB 3

“KENAPA? Kau takut ke?” Soal Shanzay seraya menutup kembali pintu kereta. Telinganya masih tidak pekak lagi untuk mendengar jeritan dari gadis itu semasa ayat bermalam itu terpacul keluar dari bibirnya.
Langkah diatur ke arah Ayara yang baru saja membuka pintu kereta. Sesaat mereka berdua bertentangan mata. Bibir Shanzay mengukir senyum nipis apabila melihat wajah Ayara yang sedikit pucat dan tegang. Mungkin agak cuak dan mungkin juga marah dengan kata-kata dia tadi.
“Hantar aku baliklah! Aku tak nak tidur sini,” Ayara menjeling tajam ke arah Shanzay sebelum matanya memandang ke arah lain. Sejujurnya pandangan dari lelaki itu sedikit mendebarkan hatinya walaupun akalnya cuba menolak fakta itu. Ah! Aku tak percaya lagi lelaki asing! Serik! Hatinya cuba memberi amaran.
“Kalau aku tak nak hantar macam mana?” Shanzay mula merapatkan dirinya ke arah tubuh Ayara sehingga gadis itu terperangkap di badan kereta. Wajah Ayara yang sedikit pucat itu hampir-hampir membuatkan hatinya hampir tergelak namun dia cuba bertahan.
“Eh kau nak buat apa ni?” Tertahan-tahan suara yang keluar dari Ayara. Hampir sesak nafasnya ketika itu apabila lelaki itu merapatkan diri padanya sehingga tiada ruang untuk bergerak. Memang betul-betul gila!
“Aku saja je nak tengok kau berani ke tak?” Soal Shanzay kembali dengan tawa kecil yang terletus di bibirnya. Perlahan-lahan dia berundur beberapa tapak dari situ sebelum mengatur langkah ke pintu apartment.
Ayara mengeluh nafas kelegaan. Tidak menyangka yang lelaki yang baru saja dikenalinya hampir setengah jam yang lepas itu berperangai sebegitu. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia terjumpa dengan lelaki bermata hijau dengan perangai sebegitu.
Keadaan sunyi sepi di situ membuatkan bulu romanya kembali meremang. Walaupun kawasan di situ agak lapang dan dipenuhi dengan pepohon kelapa yang tersusun elok, namun hatinya belum merasa selamat. Seolah-olah dapat merasa ada sesuatu yang sedang memerhatikan.
Melihatkan kelibat Shanzay yang sudah hampir menghilang di pintu apartment, Ayara mula melajukan langkah tanpa menoleh ke arah belakang. Terasa tidak sanggup lagi ditinggalkan sendirian seperti tadi.

***


“AKU ingat kau berani sangat nak duduk kat bawah tu sorang-sorang,” sindir Shanzay seraya menolak pintu apartmentnya di tingkat dua itu. Sejujurnya dia hampir saja menghamburkan ketawa apabila gadis itu berkejaran mendapatkannya tadi.
Ayara gigit bibir menahan geram. Sejak dari tadi Shanzay tidak habis menyindir akan dirinya yang takut ditinggalkan berseorangan. Mahu saja dia menjawab yang gadis lain mungkin juga akan berperasaan sedemikian namun bibirnya seolah-olah digam. Hanya reaksi fizikal saja yang mampu dia jelaskan.
“Malam ni kau tidur dulu sini, esok pagi aku hantar balik,” tutur Shanzay sekali lagi lalu kaki diatur ke sofa berangkai tiga. Ayara hanya kaku di pintu. Masih teragak-agak untuk masuk ke apartment mewah itu. Otaknya mula memikirkan sesuatu. Macam mana kalau aku bermalam kat sini, tiba-tiba aje orang datang cekup? Tak nak aku kahwin dengan mamat mata hijau ni! Hee! Tak naklah!
“Kat sini orang takkan ambush. Apartment ni completely under control,” ujar Shanzay apabila melihat wajah Ayara berkerut-kerut seolah-olah memikirkan sesuatu. Dia tahu yang gadis itu pasti terfikir akan hal yang satu itu. Dan dia juga tahu yang apartment yang diduduki ni bukan sembarangan apartment. Tambahan pula dia membayar peruntukan yang lebih untuk memastikan keselamatannya terjamin. Jadi tidak akan ada masalah kalau dia membawa Ayara pulang bermalam untuk semalaman.
Ayara merenung wajah tenang Shanzay. Lelaki itu menjungkitkan kening.
“Aku macam tak percaya cakap kau,” balas Ayara acuh tak acuh. Iyalah, ini Malaysia bukannya negara asing. Tiada jaminan untuk tinggal berdua di situ walau tidak berbuat apa-apa. Jikalau dikenakan tuduhan berkhalwat, agak susah untuk menang kes walau sudah mengupah peguam terkenal.
Shanzay ketawa kecil. “ Tak percaya sudahlah. Aku nak pergi mandi. Dah dekat nak habis Maghrib ni. Kau tak nak solat?”
Ayara diam seketika. Erk! Tak ada soalan lain ke nak tanya. Perkara yang wajib itu seringkali dipandang ringan.
“It’s okay. Aku faham,” sambung Shanzay sebelum mengatur langkah menuju ke bilik tengah yang ada di situ. Siapalah dia untuk menegur hidup gadis itu. Dia sendiri pun masih lagi merangkak-rangkak dalam hal yang satu itu.
Ayara mengetap bibir. Hissh mamat mata hijau ni. Bikin aku malu je! Gerutu hati Ayara walau hakikatnya dia tahu akan semua itu.
Kakinya mula melangkah menuju ke sofa berangkai tiga itu. Sebuah tv berskrin rata itu langsung tidak menarik minatnya untuk menonton. Punggung dilabuhkan di situ sebelum mengeluh perlahan. Rasa penat yang mula menjalar ke seluruh tubuh serta deruan penghawa dingin yang agak sejuk itu membuatkan matanya cepat terasa layu. Dia cuba untuk bertahan namun keletihan membataskan segala-galanya.

***








SHANZAY mengerutkan kening apabila melangkah keluar dari bilik. Dia yang hanya bersinglet dan hanya memakai seluar pendek mengatur langkah ke arah sofa yang diduduki oleh Ayara. Lama matanya merenung tubuh Ayara yang sudah terlentok di sofa berangkai tiga itu. Wajah Ayara yang polos dan tenang semasa tidur membuatkan jantugnya berkocak perlahan. Siapa kata gadis Melayu tak cantik? Hatinya berbisik perlahan. Tangan yang diangkat untuk mengalih sedikit rambut Ayara yang jatuh ke pipi itu dilarikan laju. Haishh! Mahu gugur iman ni kalau tenung lama-lama, bisiknya sebelum menegakkan kembali tubuh. Tidak mahu berlamaan-lamaan di situ. Itu pun dah hampir sesak nafasnya ketika berdekatan dengan gadis itu. Seolah-olah gadis itu mempunyai daya penariknya sendiri untuk dia mendekat. Walau tempoh perkenalan mereka yang agak singkat. Tak sampai pun lagi sejam.
“Hey, tidur pulak. Bangunlah!” Shanzay menolak sedikit bahu Ayara sehingga tubuh gadis itu hampir-hampir terjatuh dari sofa. Eh kuat sangat ke aku tolak dia? Fikir Shanzay sendiri apabila melihat tubuh Ayara hampir terjatuh.
Ayara yang masih dalam keadaan mamai itu terpisat-pisat mencelikkan matanya. Wajah Shanzay yang terpampang di ruang mata membuatkan matanya terbeliak luas. Cepat-cepat dia membetulkan kedudukannya sebelum bangkit berdiri. Hanya seketika sahaja dia memandang ke arah Shanzay apabila matanya terpaku pada tubuh tegap Shanzay yang tidak lengkap berpakaian itu. Haishh! Apasal lah mamat hijau ni pakai macam ni? Tak hormat tamu langsung! Bisik hatinya seraya mengalih pandangan ke arah lain.
“Aku lapar. Kau pergi masak,” arah Shanzay tiba-tiba. Ayara cepat-cepat berpaling. Kelibat Shanzay yang sudah mengambil tempat di sofa itu direnung seketika. Aku? Masak? Biar betul dia ni?!
“Apasal aku kena pergi masak pulak? Aku kan tetamu,” Ayara menyuarakan rasa tidak puas hati. Boleh pulak dia suruh aku pergi masak? Ingat aku ni bini dia ke apa?
Remote tv ditekan sebelum mengalihkan pandangan ke arah Ayara. “Kan aku dah tolong kau tadi, so aku suruh kau masak je pun. Buat balas budi,” tutur Shanzay selamba. Rancangan tv yang sudah mula menayangkan rancangan memancing itu mula ditonton tanpa rasa bersalah.
Ayara terasa hendak pitam. Rengusan kecil terkeluar dari bibirnya. Langkah diatur ke arah lelaki itu yang santai menonton tv. Sesaat kemudian, tubuh Ayara menghadang pemandangan Shanzay. Kedua-dua tangannya mula didepakan. Betul-betul menghadang Shanzay dari menonton tv.
“Kau ni apahal block aku nak tengok tv?” Soal Shanzay yang mula tidak puas hati apabila gadis itu menghadang tontonannya.
For your information, jangan harap aku akan masak untuk kau. And one more thing, aku nak balik. Aku tak kisah kalau kau nak suruh aku bayar berapa pun, janji hantar aku balik!” Ayara menegaskan suara. Sejujurnya dia tidak mahu lagi untuk berada di situ. Lelaki bermata hijau itu seakan mengambil kesempatan untuk membulinya. Dan dia memang tidak suka akan situasi itu walau terpaksa merayu dihantar pulang.
Shanzay tersenyum sinis. Dia bangkit dari sofa dan dirapatkan tubuhnya ke arah Ayara. “Okay fine. Aku boleh hantar kau balik malam ni tapi aku tak nak duit kau. Aku nak benda lain sebagai ganti,” suara Shanzay mula berubah menjadi sedikit perlahan.
“Kau nak apa?” balas Ayara dengan nada pelik. Aku offered duit tak nak? Takkan nak kereta aku pulak kut? Tapi kan kereta dia lagi mahal dari kereta aku. Memang mamat mata hijau ni pelik!
“Aku nak......” Shanzay meleretkan suara. Matanya mula meliar memandang ke arah tubuh Ayara.
Jantung Ayara mula dilanda rasa tidak menentu. Pandangan mata Shanzay itu terasa agak merimaskannya. Seolah-olah lelaki itu cuba membayangkan sesuatu.
“Aku nak kau layan aku malam ni boleh?” Suara Shanzay kedengaran bernada menggoda berhampiran telinga Ayara. Sesaat tubuh Ayara kaku di situ. Tangannya terasa seram sejuk apabila lengannya yang masih berbalut kemeja itu mula disentuh perlahan oleh Shanzay.




Friday, April 13, 2012

BAB 2 MENANTU DARI OVERSEA?



“HISSH geram betul. Masa ni lah pulak dia nak buat hal.” Ayara merungut rungut. Tak disangka pula enjin keretanya tidak boleh dihidupkan pada saat ini. Tangannya menghentak stereng kereta lalu tubuh disandar rapat di seat kereta. Kunci kereta yang masih tergantung di tempat suis itu diperhatikan sekilas. Masa ni lah kau mengada-ngada nak buat hal kan? Tadi elok aje masa sampai sini. Rungut hatinya lagi seraya membuka kembali pintu keretanya.
Ayara menyandarkan tubuh di sisi kereta. Telefon bimbit yang berada di tangan cuba dibelek-belek. Tak ada signal ke kat sini? Matanya meligas ke kiri dan ke kanan. Suasana yang mulai gelap di situ terasa agak menyeramkan walau lampu limpah yang ada berdekatan dengan taman permainan itu sudah pun menyala. Namun cahayanya sedikit terlindung dengan pokok mempelam yang agak merimbun di situ. Teringatkan kejadian anjing-anjing yang mengejarnya tadi membuatkan bulu romanya kembali meremang.
Kaki mula mengatur langkah ke depan apabila terpandang satu pondok telefon awam berdekatan dengan wakaf yang terbina di situ. Seketika hatinya mengeluh kelegaan. Akhirnya dapat juga keluar dari masalah yang membelenggu.
Namun belum sempat beberapa langkah diatur, dahinya mula berkerut-kerut. Bulat matanya merenung pondok telefon yang berwarna biru itu. Jangan kata yang ni saja ke telefon awam yang ada kat sini? Sudahlah gagang telefon tiada langsung, apa lagi dengan rupa pondok telefon yang berlubang sana sini. Ayara mengeluh lemah. Memang kes vandalisme.
Ayara kembali semua ke kereta dengan fikiran kusut. Macam mana aku nak keluar dari sini kalau tak boleh nak hubungi sesiapa? Sudahlah tempat ni seram semacam je. Sunyi pulak tu. Macam tak ada orang je dari tadi. Sesaat kemudian hatinya mula menyesal kerana datang ke situ.
Nyamuk-nyamuk liar yang berterbangan mula hinggap di lengan dan pipinya. Bertepuk tampar dia di situ dengan mulut yang masih merungut-rungut kesal.


***


“TAK TAKUT ke sorang-sorang duduk kat sini?” Tegur Shanzay dengan nada selamba. Dari tadi lagi matanya ralit memandang kelibat gadis sombong yang diselamatkan tadi. Sekejap berjalan ke pondok telefon yang tak jauh dari keretanya dan sekejap duduk termenung di atas bonet kereta depan. Entah apalah yang dibuatnya waktu-waktu Mahgrib macam ni. Nak kata tunggu orang tapi tak nampak pulak kelibat sesiapa yang datang.
“Huh?” Hampir terlompat keluar jantung Ayara akibat disergah secara tiba-tiba. Mencerun pandang matanya ke arah si empunya suara sambil tangan menggosok dada. Ciss! Mamat mata hijau ni lagi! Dah tak ada orang ke yang nak tegur aku?
Shanzay pamer riak wajah tenang walau perempuan sombong di depannya masih dengan riak terkejut. Takkan nak senyum lebar pulak kut? Kejadian gadis itu menyindirnya masih berbekas di hati. Namun dia tak adalah jenis lelaki kejam yang sanggup membiarkan gadis itu berkeseorangan di situ. Hatinya masih ada lagi setitik dasar simpati sesama insan. Tambahan pula wajah gadis itu kelihatan comel semasa marah-marah. Ishh, apa yang kau puji dia pulak ni Shanzay? Hatinya berperang dengan perasaan sendiri.
“Tunggu orang ke?” Soalnya lagi apabila gadis itu langsung tidak menjawab pertanyaannya tadi. Sebaliknya hanya memandang dia dengan pandangan dengan mulut terkumat-kumit. Entah membebel apa entah. Dia sendiri pun tidak pasti.
Ayara menjeling Shanzay dengan perasaan tidak puas hati. Sejujurnya dia tak mahu melayan lelaki bermata hijau itu. Iyalah dekat situ kan tiada orang. Manalah tahu kut-kut lelaki itu mempunyai niat jahat kepadanya. Nanti dekat siapa dia hendak minta pertolongan?
“Sombong betul,” sindir Qanz apabila Ayara langsung tidak menjawab pertanyaannya. Beg panjang yang terisi dua batang joran itu dikemaskan ke bahu. Malas untuk berlama-lama di situ. Huh! Orang tanya pun tak nak jawab! Ingat aku ni orang jahat ke? Rungut hati Shanzay lalu melangkah pergi dari situ.
Ayara mengeluh kecil. Matanya hanya memerhati kelibat Qanz yang sudah mengatur langkah dari situ. Entah kenapa tiba-tiba perasaan takut ditinggalkan keseorangan di situ tiba-tiba rasa menjengah.
“Mamat mata hijau! Tunggu kejap!”


***


AYARA menjeling ke sisi. Wajah Shanzay yang beriak tenang itu ditatap seketika. Lelaki itu hanya tenang memandu tidak seperti dirinya yang sudah mula rasa resah gelisah.
“Kau nak bawak aku ke mana ni?” Soal Ayara dengan debaran halus yang mula mengempang di dada. Matanya sekejap memandang kiri dan sekejap memandang ke kanan. Mencari-mencari kelibat bengkel kereta yang mungkin terdapat di situ. Namun jalan mereka lalui sedikit gelap dan sunyi. Rumah-rumah orang pun tidak kelihatan. Entah-entah dia ada niat tak baik kut? Hati Ayara sudah berfikir bukan-bukan. Itulah tadi berani sangat nak tumpang kereta lelaki itu. Sekarang dah mula nak menyesal.
“Kahwin lari,” akhirnya keluar ayat dari mulut lelaki itu. Ayara membulatkan mata kerana terkejut. Betulke apa yang aku dengar ni?
“Kau cakap baik-baik mamat mata hijau, karang aku terjun dari sini,” Ayara mula menggugut. Terasa laju jantungnya mula berdegup kencang. Teraba-raba tangannya mula mencari pemegang pintu kereta. Namun belum sempat tangannya mencapai apa-apa, kedengaran bunyi automatic lock ditekan. Serentak itu kedua-dua pintu kereta itu terkunci.
Gulp! Ayara telan liur dengan wajah sedikit pucat. Entah kenapa dia terasa agak takut dengan tindakan lelaki bermata hijau itu.
“Sekali lagi kau panggil aku mamat mata hijau, aku tak teragak-agak untuk cium kau kat sini,” Shanzay pula cuba memberi amaran. Hampir-hampir sahaja dia tergelak melihat lagak gadis itu yang seakan kalut. Biarlah. Tadi nampak sombong sangat. Sekarang kau tengok aku pulak macam mana.
Laju saja tangan Ayara menekup mulutnya. Mungkin bimbang jika lelaki itu betul-betul mengotakan kata-katanya. Seketika jari jemarinya meramas satu sama lain. Walaupun aircond di kereta Audi TT itu agak sejuk namun tangannya mula terasa berpeluh-peluh.
“Panggil aku Shanzay, and now kita dah sampai,” suara Shanzay sedikit mengejutkan Ayara dari dunianya sendiri. Terjenguk-jenguk kepalanya ke cermin kereta. Apartment mewah setinggi tiga tingkat itu tersergam indah di depan mata. Kat mana ni? Hati Ayara menyoal pelik. Iyalah tidak disangka-sangka di tempat yang mereka lalui tadi mempunyai apartment mewah seperti itu. Seperti berada di tempat lain saja.
“Kat mana kau bawa aku pergi ni?” Soal Ayara apabila hatinya tidak mampu lagi bertahan untuk bertanya.
Shanzay tersenyum nipis “ Apartment aku lah. Malam ni kita tidur sini,” tutur Shanzay bersahaja seraya membuka pintu keretanya.
“What?!” Mulut Ayara hampir-hampir saja terlopong. Entah kenapa otaknya mula memikir bukan-bukan tatkala ayat terakhir yang keluar dari mulut lelaki itu.

BAB 1 MENANTU DARI OVERSEA?




BAB 1

KERETA Honda City biru gelap itu diberhentikan di bawah pokok rhu di kawasan Pantai Telaga Simpul itu. Enjin kereta dimatikan serta cermin tingkap diturunkan. Laju saja angin pantai menerobos memasuki ke dalam keretanya. Sebuah keluhan kasar terhela dari bibirnya.
Ayara Nashmia menyandarkan rapat tubuhnya ke seat kereta. Pemandangan senja yang sedang tenang berlabuh di situ sedikit menenangkan hatinya yang agak tertekan dengan kerja yang semakin hari semakin tidak terkejar untuk dilaksanakan. Ditambah lagi dengan pekerja bawahan yang membuat kerja sambil lewa, membuatkan dirinya bertambah tertekan. Sudahnya dia datang ke pantai yang agak tersorok itu untuk menenangkan fikiran.
Sesusuk tubuh lelaki yang seakan-akan sedang menunduk mencari sesuatu di pasir pantai itu menarik minatnya untuk merenung lama ke situ. Hanya berpakaian seluar bermuda separa lutut dan berbaju kemeja kotak-kotak yang dipadankan dengan tshirt putih di dalam. Dan rambutnya yang agak keperangan lurus mencecah bahu itu meyakinkan hati Ayara yang kemungkinan besar lelaki itu warga asing. Namun matanya tetap tidak berkelip memandang ke arah kelibat lelaki itu. Seolah-olah ada tarikan untuk memerhatikannya dengan lebih lama.
Pintu kereta dibuka lalu dia cuba menapak ke arah pantai yang berjarak 15 meter dari keretanya. Belum sempat dia melangkah dengan lebih mara ke hadapan, satu suara binatang yang berbunyi pelik kedengaran dari arah belakang. Ayara tersentak. Langkahnya tiba-tiba kaku. Anjing ke? Hatinya menyoal. Dengan ritma jantung yang sudah memalu kencang, kepalanya sedikit teragak-agak untuk berpaling ke belakang. Namun kata hatinya tetap dituruti. Membulat matanya apabila sepasang matanya menangkap dua ekor anjing yang berwarna hitam sedang menyalak-nyalak ke arahnya dengan menggoyang-goyangkan ekor. Alamak!
Nak lari ke tak? Kalau lari mesti dia kejar aku? Tapi kalau aku tak lari rasa macam kena kejar jugak? Otak Ayara sudah tidak mampu untuk berfikir. Kala itu berita-berita tentang mangsa gigitan anjing liar mula terbayang di ruang mata. Tanpa sedar tubuh Ayara menggigil ketakutan.
“Aaaaaaaa,” jerit Ayara panjang lalu menghayunkan langkah ke arah pasir pantai yang memutih. Namun dengan heels setinggi tiga inci itu agak menyukarkan lariannya. Akibatnya lariannya agak perlahan dengan heels timbul tenggelam di pasir pantai. Ayara sempat merungut-rungut sambil cuba melajukan larian dan entah silap di mana kakinya sedikit terpelecok.
“Ishhh,” rungut Ayara panjang sebelum terasa tubuhnya melayang ke tepi. Sempat dia memejamkan matanya sebelum mendengar suara jeritan seseorang.
“Watch out!”

****


QANZ SHANZAY yang menunduk mencari pisau kecil yang digunakan untuk menyiang ikan sebagai umpan pancing itu tersentak apabila mendengar satu suara jeritan panjang di kala senja berlabuh itu. Entah mengapa terasa bulu romanya tegak seketika walau dia sudah agak biasa dengan tempat itu. Hampir enam bulan dia berada di tempat itu menyebabkan dia sudah lali dengan keadaan sekitar namun petang ini semuanya seakan berubah. Hati kecilnya cuba berfikir positif walau mindanya sudah terbayang bukan-bukan. Mungkin suara jeritan itu benar-benar nyata dan bukan hanya fantasinya sahaja.
Tubuhnya didongakkan kembali untuk mencari arah mana suara itu. Berkerut-kerut dahinya apabila sesusuk tubuh gadis sedang berlari-lari ke arahnya dengan keadaan tidak stabil. Tegak dia berdiri di situ tanpa berbuat apa-apa. Hanya bola matanya saja difokuskan. Otaknya cuba berfikir ligat sebab mengapa gadis itu sedang berlari. Namun bulat matanya apabila melihat kelibat dua ekor anjing yang sedang berkejaran di belakang gadis itu.
Sebatang joran kail yang terdampar di pasir cuba diambil dengan niat untuk menghalau anjing-anjing itu namun belum sempat tangannya mencapai joran, susuk tubuh gadis yang menjerit tadi tiba-tiba terdorong ke tepi seolah-olah hampir jatuh. Agak hampir dengan tempatnya yang sedang berdiri.
“Watch out!” Jerit Shanzay kuat sebelum menerpa ke arah gadis berbaju kemeja putih sendat yang sudah hampir-hampir terjatuh. Laju saja tangannya mendarat ke arah pinggang gadis itu sebelum memautnya kuat.
Ayara mencelikkan matanya laju-laju apabila terasa pinggangnya dipaut seseorang. Berombak laju nafasnya yang sedang termengah-mengah itu dengan debaran yang penuh di dada. Seketika ketakutan terhadap anjing-anjing yang mengejarnya seakan hilang. Seolah-olah sentuhan dari lelaki itu membuatkan dirinya rasa selamat buat seketika. Beberapa saat matanya terpaku memandang ke arah sepasang mata kehijauan yang sedang redup memandangnya. Wajah bersih yang hanya dihiasi dengan alis mata yang agak lebat itu seakan-akan menghembus angin dingin ke hatinya. Sesaat fikirannya teringatkan sesuatu. Sesuatu yang tidak pernah lupa dari ingatannya sejak tiga tahun lepas.
“Woof!”
Salakan anjing yang bergema kuat menyebabkan kedua-duanya tersentak. Ayara cuba menstabilkan kembali kedudukannya sebelum cuba menginjak ke belakang lelaki yang berada di hadapannya tadi. Manakala Shanzay pula sudah mula mencapai batang joran yang terdampar. Tak sampai beberapa saat, kedua-dua ekor anjing itu kelihatan mengundur diri. Mungkin takut melihat batang joran yang sedang diacah-acah oleh Shanzay itu.
Ayara mengeluh nafas kelegaan. Berhati-hati dia menapak keluar dari belakang lelaki itu sambil merenungnya tajam. Shanzay pelik.
“Hey! How dare you took advantage of me!” Mencerun mata Ayara memandang lelaki bermata kehijauan itu. Entah kenapa hatinya tidak senang apabila teringatkan kejadian tadi. Seolah-olah lelaki bermata hijau itu cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya walau hakikatnya bukan itu yang berlaku. Huh! Dasar orang putih tak sedar diri! Dah lah datang negara orang buat macam negara dia sendiri!
“Kesempatan apa pulak? Saya kan selamatkan awak dari anjing-anjing tu tadi?” jelas Shanzay dengan masih tidak faham akan kata-kata gadis berambut panjang melepasi bahu itu. Aku dah tolong dia tadi boleh lagi dia cakap aku ambil kesempatan kat dia? Dia ni betul ke tak? Monolog Shanzay dalam hati.
Mata Ayara terbeliak luas. Err..Mamat mata hijau ni pandai cakap Melayu ke? Air liur terasa ditelan kesat.
“Yang tadi awak peluk-peluk saya tu kenapa?” Ayara berpeluk tubuh. Masih tidak berpuas hati dengan kata-kata lelaki bermata hijau itu.
“Oit cik adik. Tolong sikit ye, tak ingin pun saya nak peluk awak tu kalau anjing tu tak kejar awak,” Shanzay membalas geram. Hatinya tiba-tiba terasa panas dengan tuduhan gadis sombong itu. Boleh pulak dia marah aku sedangkan aku yang selamatkan dia. Bukannya nak ucap terima kasih pun!
“Pendatang asing memang macam ni kan? Suka sangat ambil kesempatan kat orang sini!” Lantang Ayara bersuara lalu tanpa bertangguh dia pergi dari situ dengan langkah laju. Tidak dipedulikan dengan heelsnya yang kerap kali terbenam ke dalam pasir pantai itu.
Shanzay mengetap gigi sambil menarik nafas panjang. Suka-suka hati dia je cakap aku pendatang asing. Aku ni rakyat Malaysia lah! Kalaulah yang bercakap dengannya tadi lelaki sudah pasti ada yang bergaduh jugak di situ. Inilah masalahnya dengan mentaliti orang Malaysia sekarang. Suka-suka hati saja tuduh orang tanpa usul periksa.