:: My gangS :: TQVM

Thursday, February 2, 2012

Erk! Kahwin dengan duda? - Part 2





Part 2


MOTORNYA DIBERHENTIKAN secara mengejut dan menghadang laluan. Bibirnya mengukir senyum lebar apabila melihat gadis terpinga-pinga dengan tindakannya.

“Hai Cik Azwa, laju nampak?” Tegur Izman sambil mempamerkan senyum manis pada Azwa yang sedang mengayuh basikalnya. Sengaja buat modal untuk memikat gadis idaman. Dah lama dia memendam impian untuk menyunting gadis itu sebagai isteri namun impiannya punah apabila emaknya meminang sepupu kepada gadis itu untuk dijadikan calon isteri iaitu Sharfina. Sudah puas dia membantah namun keputusan emaknya sudah muktamad. Langsung tak ada sesi rayuan. Hendak tak hendak dia terpaksa menerima dengan hati separuh rela. Bibirnya masih mengukir senyum.

“Tepi lah. Orang nak lalu ni.” Balas Azwa acuh tak acuh. Malas dia mahu melayan lelaki itu. Tidak sedar diri sudah menjadi tunangan sepupunya, ada hati pulak untuk memikat dia. Dasar lelaki tak sedar diri! Kutuk Azwa dengan pandangan menyampah.

“Sombong nampak! Aku tegur pun tak boleh.” Izman menyuarakan rasa tidak puas hati. Terasa geram pula akan reaksi gadis itu yang tidak sudi melayan. Aku tanya pun salah ke?

Azwa merengus kecil. Handle basikalnya dipegang kejap. “ Aku nak pergi kerja ni, dah lambat.”

“Alah, baru pukul 9.30. Relaks lah. Sembang-sembang dengan aku dulu.” Balas Izman sambil mengerling jam di pergelangan tangan. Setahunya gadis itu akan masuk kerja pukul 10 pagi. Ada lagi setengah jam sebelum memulakan kerja.

Azwa menarik nafas panjang. Mamat ni memang tak faham bahasa betul lah. Memanglah lama lagi waktu nak masuk kerja tapi kedai runcit Pak Atan tu agak jauh dari rumahnya. Tambahan lagi dia tiada kenderaan lain untuk ke sana kecuali sebuah basikal yang sudah hampir usang, hadiah pemberian ayahnya ketika di tingkatan tiga dulu.

“Aku tak nak lambat. Nanti Pak Atan bising.” Sambung Azwa tanpa nada. Sebenarnya dia memang mahu mengelak dari bertembung dengan Izman. Nanti apa pula kata penduduk kampung apabila ternampak dia dengan lelaki itu. Karang dituduh mengacau tunangan orang pulak walau tunang pada lelaki itu sepupunya sendiri. Sudahlah keadaan di tempat mereka berdua berada itu agak jauh dari pandangan orang ramai.

“Asyik-asyik Pak Atan. Kau tu syok dengan Pak Atan ke? Aku tahu lah dia tu duda kaya.” Balas Izman dengan wajah cemberut. Makin terasa geram apabila gadis itu membangkitkan nama Pak Atan. Pemilik kedai runcit yang sudah bertaraf mini market itu. Sudahlah lelaki lewat empat puluhan itu agak kaya dengan tanah yang berekar-ekar di samping dengan kebun kelapa sawit yang tak pernah putus-putus mengeluarkan hasil.

Azwa menggigit dengan menahan sabar di hati. Memang lelaki ni tak sayang mulut sungguhlah! Ada pulak dikatanya aku syok dengan Pak Atan? Tak sesuai betul! Bebelanya dalam hati.

“Eh kau cakap baik-baik sikit boleh tak? Aku dah anggap Pak Atan tu dah macam ayah aku lah.” Balas Azwa dengan nada sedikit tinggi. Matanya sudah menjeling tajam ke arah Izman yang sedang memandangnya sinis. Nampak sangat lelaki itu memang tidak puas hati dengannya.

Izman menongkat motornya. Dia melangkah ke arah Azwa yang masih lagi duduk di atas basikalnya itu. Tanpa sedar, tangannya mula memegang tangan gadis itu. Azwa membulatkan mata kerana agak terkejut. Namun bila difikir-fikir balik, apa yang nak dihairankan dengan lelaki itu. Terkenal dengan sikapnya yang suka menganggu gadis-gadis muda di kampungnya.

“Hey! Apa yang pegang-pegang tangan aku ni!” Marah Azwa dengan suara meninggi. Tangannya mula meronta-ronta meminta dilepaskan namun pegangan dari Izman terlalu kejap.

Lelaki itu mempamerkan senyuman sinis dan mula mendekatkan bibirnya ke arah telinga Azwa. “ Kau jangan sombong sangat dengan aku kalau kau tak nak menyesal.” Bisiknya perlahan. Terasa meremang bulu roma Azwa mendengar kata-kata dari Izman.

“Izman!” Laungan nama dari seseorang membuatkan lelaki itu melepaskan tangan Azwa dengan laju. Matanya berpaling pada si empunya suara. Kelihatan Puan Ramlah yang sedang berjalan menuju ke arahnya memandangnya dengan tidak berkelip. Alamak! Bakal mak mertua aku!

“Kau buat apa kat sini Izman? Bukannya sekarang kau patut ada kat sungai ke?” Soal Puan Ramlah sedikit curiga. Pelik melihat bakal menantunya itu dengan Azwa. Setahunya Izman menolong ayahnya mengusahakan ternakan ikan talapia dengan ikan patin di sungai tidak jauh dari kampung mereka.

Izman menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Kemudian memandang Azwa yang sudah bersedia untuk pergi dari situ. “Err..Saya nak pergi sungai lah ni makcik.” Hampir-hampir saja dia tergagap.

“Dah tu, apa tunggu lagi? Pergi je lah.” Balas Puan Ramlah sambil menjeling tajam ke arah Azwa yang mula mengayuh basikalnya beredar dari situ. Hatinya mula terasa tidak enak. Bukannya dia tidak nampak yang Izman memegang tangan Azwa. Ah! Budak Azwa ni ada niat nak goda Izman ke? Tak boleh jadi ni!


TELEFON YANG berdering di atas meja membantutkan perhatiannya pada kertas cadangan yang sedang dibaca. Dia mengeluh kecil seraya meletakkan kembali kertas cadangan itu. Beberapa saat kemudian, gagang telefon telah selamat melekap di telinganya.

“What?!” Soalnya dengan agak terkejut. Panggilan telefon dari pekerja yang baru saja dihantar dua hari lepas ke Jalan Jakar untuk mengendalikan projek kolej komuniti di sana nampaknya mula mengalami masalah.

“Takpe, nanti aku pergi tengok.” Putus Shareiq apabila beria-ia Kashaf meminta pertolongan darinya. Nampaknya nak tak nak, terpaksa juga lah dia pergi ke situ.

Gagang telefon kembali diletakkan ke tempat asal. Kertas cadangan yang bersusun di atas meja dikemas lebih kurang. Bersiap-sedia untuk pergi ke Jalan Jakar. Briefcase dicapai. Kot yang tergantung di atas kepala kerusi mewah itu ditarik dan disangkut ke lengan.

Baru saja dia melangkah setapak menuju ke pintu bilik, langkahnya terhenti apabila pintu dikuak dari luar. Wajah Datuk Bakhtiar yang terpacul dari muka pintu membuatkan keningnya berkerut.

“Nak ke mana?” Soal Datuk Bakhtiar pelik melihat tingkah anaknya yang seperti berkejar sesuatu.

“Ada masalah sikit kat site. Kashaf suruh pergi sana.” Balas Shareiq dengan sedikit mengeluh. Datuk Bakhtiar mengangguk perlahan. Projek yang baru saja dimulakan itu memang agak berisiko kerana dibuat dengan dekat dengan kawasan berbukit.

“Hmm, yelah. Habis tu nanti nak bermalam kat sana ke?” Soal Datuk Bakhtiar lagi. Dia tahu yang tempat itu agak jauh dari rumah. Kira-kira hampir dua jam lebih juga jarak perjalanannya.

“Tengoklah macam mana pa. Kalau kerja habis cepat, balik rumahlah. Kalau tak, cari lah hotel kat mana-mana.”

Okaylah. Apa-apa hal jangan lupa inform papa. Nanti mama kau risau pulak kat rumah tu.” Pesan Datuk Bakhtiar seraya berjalan seiringan menuju ke luar pintu. Nasihat tetap tidak lupa diberi untuk anak kesayangan walau umur Shareiq sudah hampir mencecah 27 tahun untuk tahun ini. Tambahan pula dengan perangai anaknya itu yang sudah tidak sama dengan keadaan tiga tahun dulu membuatkan hati tuanya tetap bimbang jika berlaku apa-apa masalah.

Okay.” Balas Shareiq sepatah lalu berjalan keluar menuju ke pintu utama. Beberapa pekerja perempuan di situ mula menjeling-jeling apabila Shareiq berlalu dari situ. Siapa yang tidak berkenan dengan lelaki kacak seperti Shareiq Benzair walaupun memegang tittle duda. Cuma perangai lelaki itu yang seakan membenci perempuan dan tidak pernah senyum tu saja yang membuatkan saham lelaki itu jatuh sedikit namun tetap tahap terhangat di pasaran.


“HAI ROZI, datang beli ikan ke?” Soal Ramlah sambil tangannya sibuk memilih sayuran segar di van sederhana besar yang biasa datang menjaja di sekeliling kampung itu. Tangan Roznah yang sedang membelek ikan kembung itu terhenti. Dia mendongak memandang ke arah Ramlah yang entah bila datang menempel di sebelahnya. Dengan berbaju kebaya ketat, wanita seusia dengannya itu kelihatan sedikit anggun berbanding dengan dirinya yang hanya berbaju kurung Kedah dengan kain batik.

“Taklah, aku datang beli kereta.” Balas Roznah seraya mencebik bibir. Malas sungguh dia mahu melayan akan Ramlah yang sibuk menjaga hal tepi kainnya itu. Sudah tahu datang ke sini untuk beli apa, mahu ditanyanya lagi.

“Hai, sombong nampak! Hati-hati pilih ikan. Nanti tak pasal-pasal terkena ikan busuk pulak.” Sambung Ramlah dengan senyuman sinis. Sengaja untuk membuatkan suasana sedikit tegang.

Roznah memandang tajam ke arah Ramlah yang masih kelihatan sibuk memilih sayuran. Nafas ditarik panjang. Memang ada yang nak kena dengan aku betul lah hari ni!

“Hey Melah! Yang kau tak puas hati dengan aku ni kenapa?! Aku ada jaga tepi kain kau ke?!” Jerkah Roznah tiba-tiba. Sawi yang dipegang oleh Ramlah terpelanting jatuh ke tanah akibat terkejut. Pak Mail yang sedang menunggu mereka memilih sayuran dan barang basah itu cepat-cepat meluru ke arah mereka berdua. Bimbang juga dengan bunga-bunga pertengkaran yang mula terbit itu. Kang tak pasal-pasal apa yang dijualnya menjadi mangsa.

“Memang aku jaga tepi kain kau! Kau tahu tak yang anak kau si Azwa tu sudah pandai menggatal dengan tunang si Fina tu!” Ramlah memuntahkan bicara yang tersimpan sejak setengah jam tadi. Masih jelas lagi akan perkara yang berlaku di depan matanya tadi.

Roznah membulatkan mata dan hampir ternganga. Dadanya berombak kencang menahan nafas. Matanya dihalakan tepat ke arah Ramlah yang berada di hadapannya.

“Kau jangan cakap bukan-bukan Melah! Karang ada yang makan ikut tiub pulak!” Roznah mula menggertak walau serba sedikit kata-kata yang didengari oleh telinganya itu mula menusuk ke hati.

“Aku cakap betul lah ni. Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri tadi. Bukan main ya anak kau sekarang? Tunang anak aku pun nak kebas.” Sambung Ramlah lagi mencucuk jarum. Roznah mendengus geram. Nampaknya si Azwa ni betul-betul nak kena dengan aku!

“Mail! Aku balik dulu. Tak jadi beli ikan hari ni.” Roznah mengangkat bakul rotan yang diletakkan ke tanah sebelum melangkah pergi dari situ. Ramlah tersenyum lebar. Padan muka kau Azwa! Kau ingat kau cantik sangat ke boleh goda si Izman tu!

Pak Mail menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Hilang pelanggan aku sorang hari ni!


“SEMUANYA RM50.80.” Tutur Azwa sambil tersenyum pada seorang pelanggan lelaki yang berada di hadapan kaunter tunai. Barang-barang yang dibeli oleh lelaki itu dimasukan ke dua plastik sederhana besar. Lelaki yang berada di dalam lingkungan umur tiga puluhan tiga puluhan itu menarik dompetnya keluar dari poket seluar. Wang bernot lima puluh serta bernot seringgit dihulurkan pada Azwa. Azwa menyambut dengan senyuman yang masih tak hilang di bibir. Laci mesin tunai ditarik dan wang-wang itu disusun serta duit syiling dicari untuk membayar balik baki wang tersebut.

“Terima kasih, saya jual. Sila datang lagi.” Sambung Azwa lagi dengan senyuman. Lelaki itu mengangguk perlahan lalu menjinjit keluar dua plastik sederhana besar itu menuju ke luar kedai. Azwa mengeluh kecil dan terduduk di atas kerusi. Tangan mengesat peluh yang merenik di dahi. Agak panas keadaan di situ walau jam sudah mencecah pukul 9.30 malam. Sebuah penghawa dingin yang dipasang oleh Pak Atan tidak mampu untuk menyejukkan kedai runcit yang sudah dinaik taraf sebagai mini market itu. Mungkin hari nak hujan kut? Fikirnya sendiri.

“Mana pulak Pak Atan ni? Kata nak datang sebelum kedai tutup.” Rungut Azwa seraya menjengukkan kepalanya ke arah jalan yang sudah mula lengang. Terdetik juga kebimbangan di dalam hatinya ketika itu. Iyalah, hanya dia seorang saja yang berada di kedai. Si Erin, pembantu kedua Pak Atan sudah pun pulang selepas Isyak tadi kerana hendak tidur awal katanya. Almaklulmlah masih bergelar pelajar sekolah. Anak saudara Pak Atan itu hanya sesekali datang menolong jika dia tidak sibuk dengan kerja-kerja sekolahnya yang dikatakan mengalahkan Gunung Everest. Tanpa sedar ketawa kecil terbit dari bibirnya. Lucu dengan gelagat Erin yang baru saja di tingkatan empat itu.

Beberapa ketika kemudian, dia termenung di situ sambil menongkat dagu. Tanpa sedar sebuah keluhan kecil terbit dari bibirnya. Teringat akan perbualannya dengan Hida dua hari lepas. Takkanlah dia nak bekerja di kedai Pak Atan ni sampai ke tua? Takkanlah sijil yang dimilikinya itu hanya dibuat pekasam di dalam laci?

“Termenung jauh nampak? Ingat kat aku ke?” Satu suara garau menegur membuatkan tangannya yang sedang menongkat dagu itu hampir terlepas. Semua lamunannya berterbangan. Bulat matanya melihat kelibat Izman bersandar di salah satu rak yang terdapat di situ. Entah bila lelaki itu datang, tidaklah pula dia sedar. Ralit sangat kut melayan lamunan yang mendatang, kutuknya pada diri sendiri.

“Kau buat apa kat sini?” Soal Azwa dengan nada tidak senang. Sesekali matanya meligas ke kiri dan ke kanan. Sudah lah suasana di sekitar agak sunyi. Seorang pelanggan pun tak ada. Seram pun ada.

“Saja..Datang tengok kau.” Balas Izman dengan langkah semakin menghampiri meja kaunter yang menempatkan Azwa. Kelihatan gadis itu mulai resah gelisah. Bibirnya mula mengukir senyum lebar. Peluang keemasan ni!

Azwa menelan liur. Kata-kata ugutan lelaki itu padanya semasa mereka bertembung pagi tadi mula terngiang-ngiang di telinga. Entah kenapa hatinya mula tidak tenteram. Seram sejuk apabila melihat lelaki itu mula tersenyum meleret dan memandangnya dengan tidak berkelip.

“Kalau kau saja-saja datang sini, baik kau pergi balik aje.” Azwa membalas dengan niat menghalau. Dia mula berdiri. Matanya tak lepas memandang gerak-geri Izman yang sudah hampir itu. Haruslah berjaga-jaga. Namu hatinya tetap berdoa yang Pak Atan akan datang dalam masa terdekat.

“Kalau aku tak nak balik macam mana?” Suara Izman mula mengendur. Matanya merenung tidak berkelip wajah mulus milik Azwa. Ternyata kecantikan asli milik gadis itu semakin terserlah kala dilihat secara mendekat. Sungguh dari dulu lagi dia memang tergoda dengan Azwa cuma gadis itu saja yang jual mahal dengannya.

Azwa menarik nafas panjang. Soalan dari Izman tidak dipedulikan. Ternyata lelaki di hadapannya itu memang tidak makan saman. Aduhai, macam mana ni? Dahlah Pak Atan tak ada. Nak pergi tutup pintu kedai pun kena lalu ikut sebelah dia jugak? Bisik hati Azwa gelisah. Namun tanpa sedar kakinya mula melangkah menjauhi meja kaunter.

“Hey! Kau nak ke mana?” Soal Izman mula sedikit geram apabila melihat Azwa yang seakan menjauhkan diri darinya. Kedudukan mereka sekarang hanya dibatasi dengan meja kaunter saja.

Tanpa mempedulikan panggilan dari Izman, Azwa mula berlari-lari anak menuju ke satu bilik yang merupakan tempat dia berehat yang disediakan oleh Pak Atan padanya. Entah mengapa hatinya terasa boleh membaca segala gerak tubuh lelaki itu. Seperti mempunyai ada niat yang tidak baik dengannya.

Izman merengus kasar. Habis rosak plan aku! Bisiknya dalam hati namun dia turut melangkah laju untuk mengejar gadis itu yang sudah berlari-lari anak. Namun bibirnya kembali senyum apabila terfikirkan sesuatu. Ah! Lantaklah kalau nak jadi apa pun!

Azwa termengah-mengah menahan nafas dan seraya menutup laju pintu bilik yang baru saja dimasukinya. Dia bersandar di belakang pintu dengan memejamkan mata. Namun derapan langkah yang menuju ke bilik itu membuatkan dia kembali menggigil. Ya Allah, selamatkanlah hambaMu ini, doanya dalam hati.

“Azwa! Bukak pintu ni!” Jerit Izman seraya mengetuk pintu bilik itu bertalu-talu. Geramnya pada gadis itu tidak berkesudahan apabila ternyata gadis itu menolaknya mentah-mentah. Tidak tahu sebab musabab yang sebenar. Kalau diikutkan taraf keluarganya, dia juga tergolong dari keluarga berada walaupun harta keluarganya tidak sebanyak Pak Atan. Disebabkan itu dia memulakan tekad. Gadis itu harus dimiliki dengan apa cara sekalipun.

“Kau pergi dari sini!” Jerit Azwa dari dalam bilik. Sungguh dia agak takut dengan keadaan sekarang. Pintu yang disandarnya itu bergegar diketuk dan ditolak oleh lelaki itu. Kalaulah selak pintu itu tercabut, tak tahu lah apa yang akan terjadi.

“Kau jangan buat aku marah Azwa! Bukak pintu ni.” Balas Izman dengan menggertak. Sakit sungguh hatinya apabila gadis itu cuba mengusirnya keluar.

“Tolong pergi Izman.” Azwa berkata perlahan dengan air mata yang mula bertakung di pinggir bibir. Terasa menggigil lututnya kala itu.

“Azwa! Aku pecahkan pintu ni nanti.” Sekali lagi Izman menggertak. Dia seakan sudah lupa dengan keadaan dia di mana sekarang. Keinginan untuk memiliki gadis itu semakin meninggi. Tanpa sedar tubuhnya mula merempuh kuat pintu itu.

Hampir-hampir saja tubuh Azwa hampir terbalik ke lantai akibat dari rempuhan kuat dari Izman. Ternyata selak pintu kayu itu tidak mampu menahan kekuatan rempuhan dan pintu bilik itu mula terkuak lebar. Membulat matanya apabila melihat Izman yang memandangnya dengan wajah penuh kemarahan.

“Kau..” Azwa tidak sempat untuk berkata apa-apa apabila tangan Izman terlebih dulu menekup mulutnya dari menjerit. Meronta-ronta dia di situ cuba mengalihkan tangan kasar Izman yang menutup mulutnya. Air mata yang mula mengalir di pipi semakin lebat apabila terasa tubuhnya diheret ke satu sudut bilik.

“Kau sombong sangat dengan aku kan? Padan muka kau. Rasakan!” Izman ketawa besar sambil tangan kirinya cuba mengelus lembut pipi gadis itu yang sudah dihenyakkan ke dinding. Air mata yang menuruni pipi gadis itu langsung tidak melembutkan hatinya yang sudah dikawal oleh syaitan.

Azwa memandang sayu ke arah Izman yang sedang ketawa. Tangannya yang cuba menolak tangan Izman ternyata sia-sia. Ternyata kudrat tubuhnya langsung tidak dapat menghalang tindakan Izman. Sakit belakang akibat terhentak ke dinding agak melemahkan tubuhnya kala itu.

“Kau tetap akan jadi milik aku walau apa pun.” Izman berkata perlahan sebelum menampar kuat pipi Azwa sehingga tubuh gadis itu melurut jatuh ke lantai.

Azwa sempat memandang sayu ke arah Izman yang mula menarik kain baju kurungnya sebelum dia mula tidak sedarkan diri.


p/s : update awal2 pagi sebab esok takde sebab nak kuar jenjalan...hope anda semua terhibur dan sudi-sudi hulurkan sedikit komen...thank you :D

21 comments:

Syafi Najihah said...

izman jahat :(

akubersamaCahya said...

hero dtg kan3? hehehe duda encem sy pun nak hek3

zura asyfar addy rifqhiey said...

@inaznafisya

huhu..izman mmg jahat :(

zura asyfar addy rifqhiey said...

@akubersamaCahya


hehe.....maybe...semua nk kalo hensem..haha :D

hanah hann said...

jht btl la izman 2.. hrp2 hero dtg slmtkn azwa...

canim said...

hope izman x sempat buat apa2.....jht betul...

zura asyfar addy rifqhiey said...

@KYUHAN

huhu..mmg dia watak jahat dlm EKDD ni....hope so hero dtg selamatakan si azwa tu :)

zura asyfar addy rifqhiey said...

@canim

hope so..izman mmg jahat..huhuhu

Rohaida Rahman said...

c'mon, where is the hero??
rasa nk pengsan mcm Azwa gak ni...

RabaahJunaidi said...

melampau betul izman ni...
bakal anak menantu dgn bakal mak mentua sama perangai...hantu...
mana superhero ni... cptlah dtg... kesian azwa... :(
mintak2xlah azwa selamat...

manja said...

menarik la cerita ni...

buat yg terbaik ya sahabatku....

:)

Aida Sherry said...

awak sgt jahat izman.... sian azwa...
mana super hero ni...cpat selamatkan azwa.....

RinsyaRyc said...

jahatnya ... =.=" mencik-3

Lieya said...

haisshhh geramnya kat izman tu.jahat betul..yg si ramlah tu plk..apasal la suka sgt buat tuduhan melulu..x senang hati kot azwa lebih cantik dari anak dia fina....hope sgt2 la hero dtg selamatkan azwa tepat pada masanya sblm si izman buat apa2 hal yg teruk pada azwa tu...

zura asyfar addy rifqhiey said...

@Rohaida Rahman

sabar2..nnt hero dtg lah tu...jangan pitam dulu yer..hehe

zura asyfar addy rifqhiey said...

@RabaahJunaidi

tu lah pasal...tp semua ni tak mungkin terjadi if ade yg terlalu obses ngn seseorang..btw padanlah perangai mereka berdua tu...hehe..tgu yer, nnt hero dtg lah tu...otw kut :)

zura asyfar addy rifqhiey said...

@manja

thank you so much manja :DDD

zura asyfar addy rifqhiey said...

@Aida Sherry

watak dia memang jahat ldm citer ni..takleh cara baik, dia wat cara jahat...huhu..sian azwa....adesss...hero otw tu...hehe :)

zura asyfar addy rifqhiey said...

@RinsyaRyc

jom2..benci ramai2 kt dia..haha

zura asyfar addy rifqhiey said...

@Lieya

ramlah mmg tak puas hati sbb izman tu anak orng senang jugak so dia ingt si azwa tu nk goda izman pulak...hero dtglah nnt..kt part 3 :)

Cik Kreatif said...

cepat la hero.. selamatkan azwa!!