:: My gangS :: TQVM

Thursday, December 1, 2011

BAB 16 SSID (FULL ENTRY)



as-salam dan selamat tengah hari..pd hari yang mulia ini dan penghulu segala hari, sy ucpkn rase syukur sbb masih lg berkesempatan menghirup udara segar di bumi Allah yang indah ini...disamping itu dpat jugak on9 lg walau bermcam2 dugaan yg timbul sepeti dua hr lepas..alhamdulillah, nmpknye follower2 sy dh makin bertambah..kawan kt fb tak yah cakaplah...dh masuk ribu riban dh...grup pun mcm tu jugak..dh makin bertmbh ahli sehingga cecah 351..n atas perjanjian dgn seseorang, sy tunaikan permintaan dia tu..hrp semuanya enoy + gembira dgn entry ni...





PAGI RAYA itu sebelum Subuh lagi Syaf dah awal-awal pergi ke bilik air yang terletak di luar rumah untuk membersihkan diri. Mengambil langkah berjaga-jaga dari awal supaya tidak berlaku apa-apa seperti malam lepas. Dia yakin yang memang Firash yang sengaja untuk menakutkan dia. Mana ada siapa-siapa lagi yang sanggup buat macam tu padanya.

Pili paip dibuka perlahan. Memang betul-betul sejuk airnya sehingga mencucuk ke tulang hitam. Dia tidak boleh membayangkan bagaimana jika terpaksa mandi dengan air perigi. Sudah pasti sejuknya boleh menyebabkan dia tubuhnya beku agaknya.

Selepas siap membersihkan diri dia segera masuk ke rumah. Cepat-cepat menuju ke biliknya untuk bersiap.

Takbir raya berkumandang dari masjid yang tidak jauh dari rumah Tok Wan. Sehening takbir raya itu, Syaf sayu di bilik apabila teringatkan arwah ayah dan emaknya yang sudah lama pergi. Tanpa sedar air matanya sudah membasahi pipi. Namun dia tetap menggagahkan diri untuk bersiap.

Buat pertama kali dalam hidupnya, dia memakai baju kurung hijau muda lembut itu. Baju kurung yang dibeli oleh Firash padanya semasa mereka berdua bertembung kala shopping sebelum balik kampung hari tu. Pashmina yang mempuyai dua tone warna hijau lembut dan gelap itu dipakai dan sedikit dililit dengan rapi. Sedikit bedak kompak disapukan ke wajahnya dan secalit lipstick berwarna merah jambu dicalit ke bibirnya. Siap.

Seketika kemudian terdengar bunyi-bunyi bising suara Firash dan Puan Farizah di luar. Laju saja kakinya bergerak menapak ke ruang tamu. Dilihatnya Tok Wan sudah berada di situ. Menunggu Firash dan Puan Farizah barangkali untuk pergi ke masjid.

“Nanti Qira tolong tengok-tengokkan ketupat yang tengah rebus kat dapur tu eh? Bimbang kering air je.” Pesan Tok Wan.

“Yelah. Tapi nak kena tambahkan air lagi ke Tok Wan?” Soal Syaf kembali. Tadi dia ada tengok Tok Wan tambahkan air ke dalam periuk. Katanya kena tambah dua atau tiga kali baru ketupat tu benar-benar masak.

“Tak payahlah. Dah tambah pun tadi.” Syaf mengangguk perlahan. Matanya tertancap pada kelibat Puan Farizah yang baru saja keluar dari bilik Firash.

“Kenapa tu bising-bising Zah?” Soal Tok Wan mengerut dahi. Terdengar bunyi bising suara cucu dan anaknya tadi. Boleh riuh satu rumah.

“Firash tu cari butang baju Melayu dia tak jumpa. Sebab tu yang kelam-kabut cari tu.” Puan Farizah merungut lalu melabuhkan punggungnya di sisi Tok Wan. Matanya merenung ke arah tubuh Syaf yang tersarung baju kurung moden warna hijau muda. Cantik, detik hatinya.

Erm....Rasa Syaf ada belikan dia butang baju Melayu tu. Nanti Syaf pergi ambil.” Tiba-tiba Syaf bersuara apabila teringatkan yang dia ada belikan sesuatu untuk Firash semasa dia keluar dengan Fara untuk membeli makanan untuk berbuka minggu lepas.

“Ha, eloklah tu.” Sampuk Tok Wan. Syaf menapak laju masuk ke biliknya.

“Baik budaknya Qira tu.” Sambung Tok Wan lagi. Puan Farizah hanya tersenyum dan mengangguk perlahan.

SYAF MENGELUARKAN beg plastik kecil dari beg pakaiannya. Kotak baldu biru gelap itu ditarik perlahan dan dibuka. Satu set butang baju Melayu yang berbatu permata putih terpampang di matanya. Bibirnya mengukir sedikit senyum. Harap Firash sudilah menerima pemberian yang tidak seberapa ini. Dia sudah tidak tahu untuk berikan apa lagi pada lelaki itu. Hendak belikan barang-barang mahal lagilah dia tidak mampu.

Dia melorong langkah ke bilik Firash yang terletak bersebelahan dengan biliknya itu. Walaupun debaran di dada datang menjenguk, dia tetap cuba bersabar

Firash yang tengah mencari sesuatu di beg pakaiannya dikerling sekilas. Kotak baldu di tangan digenggam kuat.

Err...Firash.” Panggil Syaf dengan nada sedikit gugup. Firash yang tengah sibuk mencari sesuatu tu berpaling seketika. Terpamer kerutan di wajah kacak itu. Tangan lelaki itu masih lagi ligat memunggah pakaiannya yang masih berada di dalam luggage. Mungkin sedang mencari butang baju Melayu kut, fikir Syaf.

“Ha, apa hal ni?” Soal Firash acuh tak acuh. Dia merengus kecil. Manalah agaknya aku letak butang baju tu? Rasanya dah macam letak dalam beg, apasal tak ada pulak?

Dia mendekati cermin meja solek dan membetulkan kolar baju Melayu cekak musang yang tidak berbutang itu. Memang betul-betul nampak tak lengkap tanpa butang baju. Terdedah saja menampakkan dadanya. Hesyy, takkan nak pergi masjid dengan keadaan macam ni kut?

Ermm...Nak bagi sesuatu ni.” Perlahan Syaf menjawab. Mata Firash menikam tepat ke mata Syaf. Seolah-olah mahu memberitahu yang dia tak nak gadis itu main-main dengannya. Yelah, dahlah lambat ni nak pergi masjid.

“Nak bagi apa?” Suara Firash mula mengendur tatkala terperasan akan baju yang dipakai oleh gadis itu. Nampak begitu sempurna di tubuh tinggi lampai. Wajah Syaf yang bersolek tipis itu mengundang rasa debar di hati. Dia menelan liur sesaat.

“Butang baju Melayu.” Tangan yang tertutup itu dibuka perlahan dan satu kotak baldu biru berbentuk segi empat tepat itu terpapar di matanya.

Hmm...Tak payah susah-susah.” Balas Firash cuba menghilangkan rasa yang tak keruan di hati. Syaf pula sedikit terasa dengan kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu. Tak susah pun kalau setakat beli butang baju Melayu tu. Bukannya kena panjat gunung pun. Tapi bila Firash langsung tidak menghiraukan pemberiannya itu, hatinya diusik rasa terkilan.

Namun apabila melihat Syaf yang tidak bergerak-gerak di hadapannya itu, Firash tidak sampai hati untuk menolak. Tangannya mula mengambil akan kotak yang dihulurkan oleh Syaf. Dan saat tangannya bersentuhan, Syaf cepat-cepat cuba melarikan tangannya walaupun tangan Firash seakan tidak mahu lepas.

“Lambat lagi ke?” Suara Puan Farizah menyapa di pintu bilik. Syaf dan Firash masing-masing terkejut. Akibat terkejut, tergopoh-gopoh tangan Firash memegang kotak baldu itu dari terjatuh.

“Ha, eh dah nak siap ni.” Balas Firash seakan tergagap. Laju sahaja tangannya mengambil butang baju Melayu itu dan dipakainya. Syaf hanya diam manakala Puan Farizah menggeleng kepalanya melihat kelakuan Firas itu.

“Syaf, tolong pakaikan Firash butang baju Melayu tu. Nanti lambat pulak. Orang dah nak khutbah tu.” Arah Puan Farizah apabila nampak anaknya itu sedikit terkial-kial untuk memasukkan butang baju ke lubang di kolar baju Melayu itu. Memanglah susah sebab dah pakai. Biasanya butang perlu dimasukkan dahulu sebelum baju disarung ke tubuh.

“Ha? Err...Yelah.” Jawab Syaf teragak-agak. Dia menghampiri Firash yang sedang terkial-kial di depan cermin. Puan Farizah mengangguk pada Syaf. Syaf menarik nafas dan menarik sedikit bahu Firash itu supaya berdepan dengannya.

Dengan tangannya yang mula berpeluh, dia mengambil butang baju di tangan Firash sebelum diletakkan di kolar baju Melayu itu. Wajah Syaf yang bersolek nipis tu dipandang tidak berkelip oleh Firash. Dari alis yang sedikit melentik itu menuruni ke bahagian hidung yang sedikit mancung dan akhirnya ke bibir Syaf yang sedikit dioleskan dengan lipgloss. Lama matanya memerhatikan bibir itu. Dia menelan liur.

Syaf yang merasakan wajahnya ditenung tepat oleh Firash cuba untuk bersikap selamba walaupun jantungnya berkocak hebat. Matanya setia memandang kolar baju leher itu. Sedikit pun tidak dialihkan dari tempat itu dengan tangan cuba memasukkan butang baju ke dalam lubang butang. Disebabkan dengan keadaannya yang direnung sampai tidak berkelip oleh lelaki itu, kerjanya juga agak lambat.

Manakala Firash pula seakan berada di dalam dunia khayalannya tersendiri. Langsung tidak terasa yang mamanya turut berada di situ. Saat jari Syaf mula menyentuh lehernya, jantungnya mula memainkan irama tak menentu. Berkali-kali nafas ditarik untuk menghilangkan keresahan di dada.

“Dah siap ke? Jomlah, Tok Wan dah tunggu tu.” Tegur Puan Farizah sebelum menghilang dari pintu. Mati terus khayalan indah Firash. Syaf pula menghela nafas lega. Terduduk dia seketika di atas katil milik Firash itu apabila lelaki itu sudah mengekori Puan Farizah keluar.

SYAF YANG hanya duduk di rumah saja menunggu semua orang pergi sembahyang sunat hari raya itu mula sibuk di dapur. Pelbagai jenis juadah seperti lontong, ketupat palas, nasi minyak serta lemang mula dihidangkan di meja makan. Memang agak banyak bila juadah itu sudah mula tersusun kemas di meja. Syaf tersenyum sendiri apabila mengingatkan Tok Wan yang beria-ia nak memasak semua tu tanda Tok Wan berbesar hati datang beraya dengannya pada tahun ini.

Seketika kemudian terdengar bunyi enjin kereta diberhentikan di laman rumah. Syaf melangkah ke tepi tingkap. Kelihatan Tok Wan, Puan Farizah serta Firash baru saja keluar dari perut kereta. Bajunya sedikit dibetulkan untuk menyambut mereka pulang.

“Sakit rasa kaki ni bila duduk bertolak-tolak masa nak keluar tadi.” Rungut Tok Wan semasa melangkah naik ke rumah. Puan Farizah mengekorinya dari belakang. Manakala Firash pula masih berada di halaman rumah.

“Sakit lagi ke kaki mak tu?” Soal Puan Farizah dan duduk di kerusi rotan di ruang tamu. Tadi ibunya ada memberitahu yang kakinya dipijak oleh tetamu masjid yang agak ramai itu. Nasiblah Puan Farizah cepat-cepat menarik tangan ibunya itu. Bimbang juga kalau-kalau ibunya terjatuh di situ.

“Dah siap ke hidang semua?” Soal Puan Farizah.

“Dah siap dah cuma nasi himpit aje yang tak ada lagi.” Balas Syaf dan menyusun beberapa biji gelas ke dalam dulang. Dia kembali ke dapur untuk mengambil nasi himpit yang baru saja siap masak.

SESI BERMAAF-MAAFAN di pagi raya itu sedikit kekok buat Syaf. Setelah semuanya bermaaf-maafan, dia teragak-agak untuk pergi bersalam dengan Firash. Tambahan pula takkanlah dia mahu membuat sesi bermaafan di situ juga? Tak ke pelik pandangan dari Tok Wan nanti! Silap-silap kena ceramah panjang kat situ sambil cuba menyiasat apa sebenar hubungan antara mereka berdua!

Namun apabila mendapat isyarat mata dari Puan Farizah, kakinya tetap melangkah menuju ke bilik Firash setelah lelaki itu masuk ke biliknya. Dalam pada itu dia tetap berjaga-jaga dengan keadaan Tok Wan yang baru saja pergi ke dapur itu. Kalau boleh tak nak lagi berlaku pertembungan seperti kejadian malam lepas.

Beberapa minit, kakinya seolah-olah melekat di depan pintu bilik Firash. Teragak-agak untuk dia mengetuk pintu bilik itu. Namun dikuatkan hatinya juga untuk berbuat demikian. Baru saja tangannya mahu mengetuk pintu bilik itu, tiba-tiba pintu terbuka dari dalam. Syaf terasa jantungnya seakan melompat keluar. Wajah Firash yang agak terkejut itu betul-betul terpampang di depan matanya.

“Nak apa?” Soal Firash dengan riak pelik. Tangannya mula membuka dua butang baju Melayu bercekak musang berwarna hijau muda itu. Agak rimas apabila tertutup sampai ke leher.

“Ermm...”Syaf sudah kehilangan kata-kata. Dia mengetap bibir perlahan.

“Ada apa ni? Aku nak pergi beraya pulak ni.” Sambung Firash. Namun hatinya terasa sedikit pelik apabila melihat Syaf yang seperti teragak-agak untuk bercakap. Apa hal pulak dengan perempuan ni?

Err..Sebenarnya aku......”

“Qira! Tolong Tok Wan kejap ni!” Kedengaran suara Tok Wan memanggil Syaf dari luar. Syaf yang sedang mula untuk memberitahu Firash untuk sesi mintak maaf itu terbantut. Dia merengus kecil. Tok Wan selalu saja kacau line! Dia memandang seketika pada Firash yang sedia menanti sebelum menuju ke pintu bilik.

Tok Wan yang baru sahaja menukar pakaiannya itu keluar dari biliknya itu memandang pelik akan kelibat Syaf yang baru sahaja keluar dari bilik cucunya itu.

“Tok Wan.” Sapa Qira sambil mengukir senyum. Dia perasan pandangan Tok Wan yang sedikit curiga itu.

“Ha, yang kamu ni masuk bilik Firash tu tadi kenapa?” Soal Tok Wan sedikit curiga. Syaf menelan liur. Tok Wan nampak ke? Apa aku nak jawab ni?

“Oh yang tu. Mama panggil Firash tadi, katanya ada benda penting nak cakap.” Syaf terpaksa berbohong.

Hmm, kenapa pulak mama kamu tak boleh panggil sendiri anak dia tu sampai suruh kamu pulak pergi panggilkan? Dia tak tahu ke yang tak elok anak gadis masuk bilik budak lelaki.” Sempat juga Tok Wan memberi ceramah percuma. Syaf hanya tersenyum kelat. Dia mengiyakan saja kata-kata Tok Wan itu walau hakikat sebenarnya bukan begitu.

“Hmm, nak tanya ketupat nasi tu Qira dah potong belum? Nak hidang kat depan kejap lagi.” Balas Tok Wan sambil melangkah bersama-sama menuju ke dapur. Syaf mengeluh kelegaan. Nasib tak kantoi!

“Belum lagi Tok Wan. Nanti Qira potong.”

“Yelah. Tok Wan nak pergi bilik air kejap.” Balas Tok Wan lalu menapak menuju ke pintu dapur.

“MASUKLAH Qimi, Imah.” Puan Farizah menjemput kedua-dua anak saudaranya itu masuk ke dalam rumah. Mereka berdua yang baru saja tiba itu melangkah naik ke beranda.

“Selamat hari raya Mak Ngah. Maaf zahir batin.” Ucap Haqimy seraya menghulurkan tangan untuk bersalam. Kemudian diikuti oleh Imah yang manis berbaju kurung biru lembut. Sedondon saja dengan abangnya itu.

“Yelah. Duduk dulu. Makan lah kuih tu dulu. Mak Ngah nak ke dapur kejap.” Ujar Puan Farizah lalu menapak masuk ke dalam rumah. Mata Haqimy meliarkan ke sekeliling. Cuba mencari kelibat Syaf yang tiada di situ.

“Abang cari apa tu?” Soal Imah sedikit pelik. Haqimy tersengih.

“Tak ada ada apa-apa lah.” Dia membetulkan songkok yang terletak di kepala. Imah hanya menjongketkan bahu melihat gelagat abangnya itu. Tangannya mencapai balang-balang comel yang berada di atas meja kecil di situ. Penutup dibuka dan laju saja dia mengambil biskut Almond London yang tersusun elok itu lalu disuap ke mulut.

Seketika kemudian terdengar derapa langkah yang datang dari dalam rumah. Haqimy membetulkan kedudukannya. Terpacul Syaf yang berbaju kurung hijau lembut itu menatang dulang yang berisi minuman. Sebuah senyuman dilemparkan pada kedua-dua tamu.

“Awalnya kau datang sini.” Syaf menegur lalu meletakkan satu jag yang berisi minuman itu ke meja. Haqimy ralit memerhatikan Syaf yang ayu berbaju kurung. Cantik, bisiknya sambil tersenyum. Imah pula berkerut dahi tanda pelik kerana tidak pernah melihat gadis yang berada di hadapannya itu. Setahunya Mak Ngah Izah tak ada anak perempuan. Habis tu ini siapa pulak?

“Saja datang awal. Mana tahu kalau-kalau kau sibuk nak pergi beraya kat tempat lain pula.” Jawab Haqimy. Haqimy berpaling apabila terasa lengannya dicuit.

“Kawan abanglah, nanti pergi salam dengan dia.” Bisik Haqimy perlahan. Imah mengangguk tanda faham.

“Aku tak ada pergi mana-manalah. Duduk rumah aje.” Jawab Syaf lagi lalu menuang minuman ke gelas.

“Oh. Tapi takkan nak raya kat rumah aje kut? Jomlah ikut aku pergi raya dengan adik aku ni.” Haqimy mempelawa. Imah hanya tersenyum apabila namanya disebut.

Syaf merenung mereka berdua seketika. Memanglah terasa ingin beraya bersama-sama namun dia tak tahu sama ada Firash akan benarkan dia pergi atau tidak. Jadi tak payahlah berangan untuk perkara yang tak tahu lagi hujung pangkalnya, bisik hati kecilnya cuba memujuk.

“Tak apalah Qimy. Aku temankan mama aje kat umah dengan Tok Wan. Nanti ada orang datang susah pulak.” Syaf memberi alasan. Haqimy mengeluh perlahan. Baru saja dia memasang niat untuk membawa Syaf beraya di sekitar kampung. Nampaknya tak kesampaianlah niatnya itu.

Erm..Tak apalah. Maybe next time. Eh mana Tok Wan? Aku tak mintak maaf lagi dengan dia?” Soal Haqimy menjengukkan kepala ke dalam rumah. Namun kelibat Tok Wan langsung tidak kelihatan dari tadi.

“Ada tu kat dapur. Kejap lagi datanglah tu. Eh adik kau ni nama apa? Rancak sembang lupa pulak nak bertanya.” Syaf sedikit ketawa.

“Panggil Imah je kak.” Jawab Imah sopan.

“Oh. Tingkatan berapa ni?” Soal Syaf lagi apabila melihat susuk tubuh remaja itu yang seperti bersekolah lagi.

“Dah habis SPM dah. Tengah tunggu result ni.”

“Laa, ingat masih sekolah lagi sebab nampak kecik aje.”

“Dia ni kecik sebab bantut.” Selamba saja Haqimy mengutuk adiknya. Dengan pantas jari Imah mencubit lengan abangnya itu.

“Orang ikut emaklah. Dah yang abang tu tinggi macam galah tu terlebih pembesaran ke?” Sindir Imah kembali. Syaf ketawa melihat mereka berdua bergurau. Memang kelihatan berbeza antara Haqimy dan adiknya itu. Cuma wajah mereka serta warna kulit saja yang sama.

Oit mulut, cubit kang!” Haqimy menjengil matanya. Imah hanya mencebik. Syaf menggeleng-geleng kepala melihat dua beradik itu bertekak.

“Dahlah korang ni. Duk bertekak pulak pagi-pagi raya.” Celah Syaf sambil menjegilkan mata. Dan mereka bertiga sama-sama ketawa.

FIRASH KELUAR dari biliknya apabila terdengar bunyi suara gelak ketawa yang agak kuat dari beranda. Dia terserempak dengan Mak Long Inah yang sedang melangkah menuju ke dapur. Segera senyuman manis dilemparkan seraya tangan wanita itu disalam mesra.

“Selamat hari raya Mak Long. Maaf zahir batin.” Ucap Firash ikhlas.

Mak Long Inah tersenyum. “Hmm, Selamat hari raya. Mak Long pun macam tu jugak. Eh tak apalah, Mak Long nak pergi dapur ni jumpa Tok Wan.” Balas Mak Long Inah. Firash hanya mengangguk perlahan dan langkah kembali diatur menuju ke beranda.

Matanya tertancap pada Haqimy dan Imah yang sedang berbual sakan dengan Syaf di ruang tamu. Dia menyorokkan sedikit tubuhnya di kabinet hiasan itu untuk mengintai.

“Aku ingat kau main-main aje semalam. Tak sangka pulak nak bagi betul-betul.” Ucap Syaf sambil tersenyum. Tangannya sedang menyambut sampul duit raya yang sedang dilhulurkan oleh Haqimy. Lelaki itu hanya tergelak kecil.

“Ala, aku tak berkira lah! Time sekolah dulu pun, aku mana pernah miss bagi kau angpow tiap kali raya. Nasiblah raya cina aku tak bagi sekali.” Imah hanya memandang mereka berdua berbual. Sesekali tangannya mencapai balang kuih raya yang berada di atas meja.

“Dah kau layan sangat aku masa tu kenapa? Aku tahulah masa tu aku tak matang lagi.” Balas Syaf sedikit ketawa. Memang dia masih ingat lagi kenangan semasa mereka berdua sekolah dulu. Haqimy seringkali memberikannya duit raya tiap kali raya walaupun masa tu dia tak adalah mintak pun. Namun tradisi itu terhenti apabila Haqimy melanjutkan pelajarannya ke US.

“Aku tak berkira lah pasal tu Syaf. Lagipun tu duit aku bukannya duit mak ayah aku.” Balas Haqimy. Dulu semasa dia masih bersekolah, rajin juga dia mengajar tusyen secara sambilan untuk budak-budak yang perlukan tunjuk ajar untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Yelah-yelah. Aku tahu. Tapi macam banyak aje ni.” Luah Syaf ketika menarik dua keping not biru dari sampul duit raya berwarna maroon itu.

“Tak ada banyak sangat pun tu. Kalau kau tak nak, bagi balik je.” Balas Haqimy. Syaf mula mencebik.

Eee dah bagi pun! Nak mintak balik pulak. Buruk siku betul! Tengok aje lah along kau ni Imah.” Syaf mengutuk Haqimy. Imah tersengih-sengih.

“Along memang macam tu Kak Syaf. Layan aje lah perangai dia yang tak matang tu.” Sambung Imah sambil mencebik. Dan ketawa mereka bertiga berkumandang di seisi rumah.

Firash merengus kecil di sebalik kabinet. Alah, dapat duit raya seratus pun dah kecoh! Macam tak pernah dapat duit raya aje! Dia mengatur langkah menuju

“Eh abang Firash.” Tegur Imah apabila ternampak kelibat abang sepupunya itu sedang melintasi mereka bertiga. Serentak itu, ketawa Syaf tiba-tiba mati. Matanya turut merenung sama ke arah Firash yang sedang berhenti itu.

Firash berpaling sekilas ke arah mereka bertiga sebelum kembali mengatur langkahnya menuju ke tangga.

“Nak ke mana pulak tu? Tunggulah semua orang sampai dulu.” Tegur Tok Wan yang baru saja muncul dari dapur dengan Mak Long Inah. Di tangannya ada sepinggan ketupat nasi.

Firash tak jadi untuk turun tangga. Dia berpaling melihat Tok Wan serta Mak Long Inah itu yang sedang duduk bersama-sama dengan Syaf, Haqimy serta Imah di kerusi rotan itu.

“Ha’ah. Tunggulah Pak Long kau datang dulu. Kita raya sama-sama dulu. Kejap lagi lah baru nak pergi ke kat lain pun.” Sambung Mak Long Inah pula. Firash sedikit mengeluh dan memusingkan tubuh menuju ke mereka berlima.

Tempat duduk kosong di sebelah Syaf itu dijeling. Bibirnya mengukir senyuman nipis sebelum selamba melabuhkan punggung di situ. Syaf yang agak terkejut dengan keadaan itu sedikit menjauhkan diri. Haqimy hanya memerhatikan gelagat Firash itu tanpa kata. Namun sedikit terasa sesuatu apabila perasan yang baju raya mereka berdua ni sedondon. Dia orang berdua ni ada apa-apa ke?

“Syaf dah kerja kan? Kerja apa?” Soal Mak Long Inah sambil tersenyum mesra.

“Ha’ah. Dah kerja pun. Kerja biasa-biasa aje.” Sopan Syaf membalas. Mak Long Inah mengangguk perlahan. Dia tersenyum ke arah anak sulungnya itu. Sesuai kut kalau mereka bersama, fikirnya dalam hati.

“Syaf tu dah lama pun kerja. Dah dekat tiga tahun pun.” Celah Puan Farizah sambil membawa satu dulang berisi minuman. Diletakkan berhati-hati di atas meja kopi yang sudah penuh dengan pelbagai juadah raya itu. Punggung dilabuhkan di sebelah Tok Wan.

“Oh. Aku ingatkan baru habis belajar tadi. Sebab tak nampak pun macam orang yang dah kerja.” Firash memalingkan pandangan ke arah Mak Long Inah. Huh! Agak-agaklah kalau nak puji pun! Manakala Syaf di sebelah Firash hanya mempamerkan senyum lebar.

“Mak..Dulu masa sekolah dulu ramai aje yang ingat dia tu salah masuk sekolah. Yelah muka tu macam budak-budak je padahal masa tu dah tingkatan empat. Nak buat macam mana kan, muka babyface!” Tambah Haqimy sambil ketawa. Bertambah lebar senyuman dari Syaf. Firash hanya buat-buat tak tahu walau kadang-kadang hatinya dijentik rasa cemburu kerana Haqimy asyik memuji Syaf. Satu biji biskut raya yang agak besar disumbatkan ke dalam mulut.

“Awet mudalah tu. Tak adalah nampak tua walau umur dah dua puluh lima.” Celah Puan Farizah pula. Mak Long Inah kelihatan sedikit terkejut. Berkerut dahinya ketika itu.

“Dua puluh lima? Maksudnya muda setahun lah dari si Qimy ni?”

“Yelah Mak. Kan dah cakap semalam yang Syaf ni junior Qimy masa kat sekolah dulu.” Sambung Haqimy pula.

“Oh. Lupa pulak Qimy dah cakap semalam.” Mak Long Inah tersengih. Sudah lupa akan apa yang diberitahu oleh anak sulungnya itu semalam. Syaf hanya tersenyum kecil apabila mereka semua bercakap tentang halnya itu. Dia mengerling sekilas ke arah Firash yang berada di sebelahnya. Lelaki itu hanya diam saja dan sibuk mengunyah kuih raya. Seolah-olah langsung tidak mempedulikan keriuhan di situ.

“Ha Firash! Lama ke cuti raya kali ni? Biasa tak sampai dua hari dah sibuk nak balik sana?” Soal Mak Long Inah pada anak saudaranya yang hanya diam saja itu.

Firash tiba-tiba tersedak. Syaf yang kebetulan sedang menuang air sirap ke gelas itu cepat-cepat menghulurkan minuman pada lelaki itu. Cepat sahaja tangan Firash menyambut huluran gelas dari tangan Syaf dan meneguknya rakus. Huh! Tu macam nak menyindir aje bunyinya!

“Kau ni Inah, dah tersedak budak tu!” Tegur Tok Wan apabila melihat merah muka cucunya itu menahan perit akibat tersedak. Firash memejamkan matanya yang sedikit berair. Apalah malang nasib aku ni duduk kat sini ni? Kalau si Syaf tu asyik puji aje memanjang! Tapi kalau aku boleh pulak duk sindir-sindir!

Firash berdeham beberapa kali untuk melegakan tekaknya itu. “Cuti seminggu kali ni, dapatlah duduk lama.” Balasnya pada soalan emak saudaranya itu.

“Eloklah macam tu. Sesekali cuti lama-lama kat kampung. Asyik duduk kat bandar aje, jangan nanti lupa asal usul sudah.” Sambung Mak Long Inah. Firash menarik nafas panjang. Cuba menenangkan hati sendiri yang tiba-tiba rasa panas dengan kata-kata dari Mak Long Inah itu.

Puan Farizah hanya terdiam apabila kakak kandungnya itu berkata. Dia mengerling ke arah emaknya sekilas.

“Jangan duk mengata anak orang Inah. Nanti kena kat anak sendiri baru lah tahu langit tu tinggi ke rendah.” Celah Tok Wan. Mak Long Inah tersengih.

“Bukan macam tu mak. Inah ni bimbang tengok budak-budak kampung yang pergi ke bandar tu. Boleh bertukar perangai dalam sekelip mata aje.” Sambung Mak Long Inah menegakkan pendapat. Haqimy, Syaf serta Imah masing-masing terdiam. Firash pula mempamerkan wajah tegang.

“InsyaAllah Mak Long. Saya takkan lupa asal usul saya.” Firash terus bangun dan menuju ke tangga. Panas hatinya apabila emak saudaranya sendiri tak habis-habis hendak menyindirnya.

Hessy kau ni Inah. Cakap tu biar berlapik sikit. Kan dah terasa budak tu.” Tegur Tok Wan lagi.

“Inah ni sayang anak saudara Inah. Sebab tu cakap macam tu tadi.” Sambung Mak Long Inah sambil tersenyum tawar. Syaf sempat mengerling seketika ke arah Firash yang sudah menuju ke halaman rumah. Entah kenapa hatinya turut terasa dengan kata-kata emak saudara Firash itu.

RAINA MENGGELIAT lemah di atas katil. Jam berbentuk arnab berwarna pink di meja sisi katilnya itu dikerling sekilas. Sudah hampir menunjukkan pukul 12 tengah hari. Dia menarik nafas panjang sebelum melunjurkan kakinya ke bawah katil.

“Raya ke hari ni?” Soalnya pada diri sendiri lalu bingkas menuju ke meja solek. Rasanya dah dekat dua tahun dia tidak menyambut hari raya. Mamanya sering saja ke luar negara di kala semua menyambut perayaan itu. Dia pula lebih suka melepak bersama-sama dengan geng-geng satu universiti dengannya.

Rambutnya yang mula melepasi bahu itu disikat perlahan. Sambil itu dia membelek-belek wajahnya di cermin. Kut-kut ada jerawat degil yang mula naik. Setelah berpuas hati dengan keadaan wajahnya, dia mengambil telefon bimbit yang berada di meja solek. Ada beberapa mesej dari Haris serta Addy. Ah! Malas aku layan dia orang semua tu! Baik aku call si Fisya aje!

Beberapa saat perlu ditunggu sebelum Fisya mengangkat panggilannya. Dia kembali merebahkan tubuhnya ke katil.

“Hello Fish! Kau ada kat mana tu? Jumpa nak tak? Bosanlah aku hari ni.” Sapa Raina bertubi-tubi. Dia melekapkan rapat-rapat telefon bimbit itu ke telinganya apabila terdengar bunyi yang agak bising dari pihak sana.

“Kau ada rumah mak sedara kau?” Soalnya sambil mengeluh perlahan. Dahinya berlerut-kerut mendengar suara Fisya yang timbul tenggelam dengan keadaan yang agak bising. Mesti tengah beraya tu, fikirnya dalam hati. Hmm, syoknya kalau dapat beraya tapi nak beraya dengan siapa?

“Ha yelah-yelah. Kita jumpa malam nanti. Okay bye.” Talian dimatikan. Dia memejamkan matanya seketika. Konfem bosan aku nanti sampai ke malam!

Seketika dia bingkas bangun dan mencapai tualanya lalu ke bilik air untuk membersihkan diri. Mungkin dia perlu bertanya pada abangnya kalau-kalau ada aktiviti lain yang boleh dia join sama nanti.

SYAF KELUAR dari biliknya. Langkahnya terhenti seketika di hadapan bilik Firash. Entah kenapa sejak dari tadi otaknya masih terfikir-fikir akan perkara yang patut dilakukannya pagi tadi iaitu meminta maaf dari Firash. Kesibukan lantaran tetamu yang agak ramai berkunjung ke rumah Tok Wan siang tadi sedikit sebanyak membuatkan dia terlupa akan hal itu. Sudahlah selepas Firash keluar dari rumah Tok Wan tadi, lelaki itu hilang entah ke mana. Dekat-dekat nak masuk maghrib baru lah nampak muka. Itupun langsung tidak bercakap dengan sesiapa. Wajah pun nampak muram dan dingin aje.

Namun bila lagi masa yang sesuai untuk meminta maaf atas semuanya? Masa hari raya ni lah walau sepatutnya ucapan maaf itu perlu dilakukan setiap hari. Syaf mula pening kepala memikirkan hal itu. Hubungan dia dengan Firash pun masih terumbang-ambing. Sekejap okay dan sekejap tak okay.

“Ah, pergi aje lah mintak maaf. Kalau dia tak layan pun janji aku dah mintak maaf dengan dia.” Gumam Syaf perlahan dan mula menolak pintu bilik Firash yang tidak berkunci itu. Itu pun matanya tetap mengawasi jika Tok Wan terpandang akan perbuatannya itu.

Bunyi pintu bilik yang terkuak dari luar itu menyebabkan Firash yang tengah meniarap di atas katil itu berkerut dahi. Sesi menaip di laptopnya juga terhenti.

Syaf menutup pintu bilik Firash rapat-rapat. Dia bersandar di pintu bilik itu seketika seraya melemparkan pandangan ke arah lelaki itu di atas katil. Nafas ditarik panjang untuk cuba menenangkan debaran di dalam hati.

“Apa kes yang datang bilik aku ni?” Soal Firash dingin. Dia meletakkan laptopnya di sebelahnya lalu duduk bersila. Wajah gadis itu direnung dengan pandangan yang penuh dengan persoalan.

“Err...Aku....Err..” Sedikit tergagap Syaf mula mengatakan sesuatu. Firash mengeluh lemah. Dia ni kan? Dari pagi tadi lagi asyik tergagap aje nak cakap dengan aku! Nak cakap tu cakap aje lah! Monolog Firash di dalam hati.

“Kau nak apa ni? Nak mintak aku suruh pergi kedai pulak ke?” Soal Firash lagi dengan sedikit tegas. Syaf menghela nafas. Ke situ pulak dia ni fikir!

“Eh bukan. Bukan nak suruh kau pergi kedai.”

“Habis tu? Datang nak serah diri kat aku?” Soal Firash dengan sedikit senyuman nakal di bibir. Syaf sedikit menelan liur. Hessy dia ni!

“Err...Bukanlah. Aku cuma datang sini nak...” Syaf berjalan sedikit untuk mendekati Firash di katil.

“....mintak maaf.” Sambungnya sebelum duduk di birai katil Firash. Firash yang agak terkejut dengan tindakan Syaf itu mengukir sedikit senyum sinis. Namun tangannya tetap dihulurkan ke arah gadis itu.

Syaf menyambut huluran tangan Firash lalu tunduk dan mengucupnya lembut. Sebaik saja Syaf mengangkat wajahnya, matanya bersabung dengan pandangan redup Firash. Dan entah kenapa matanya seakan terpaku melihat redupan mata Firash itu. Tanpa sedar tangannya dipegang kemas oleh Firash.

“Laa...Kau ada buat salah dengan aku ke?” Soal Firash tiba-tiba. Mengejutkan Syaf yang sudah hampir-hampir melayang ke alam lain itu. Syaf mengetap bibir sebelum menarik laju tangannya dari tangan lelaki itu. Firash tersenyum sinis.

“Hari ni kan hari raya. Okay lah tu aku datang mintak maaf dengan kau dari tak ada langsung.” Balas Syaf sedikit geram. Aku punyalah beria-ia curi masa datang minta maaf dengan dia tapi boleh pulak dia kata macam tu kat aku? Apa punya suami lah dia ni! Bebel Syaf dalam hati.

“Dah malam pun ni. Orang mintak maaf pagi-pagi tadi.” Sambung Firash lagi. Syaf mengeluh perlahan. Nak datang mintak maaf macam mana kalau asyik sibuk aje dengan tetamu yang berkunjung? Sudahlah lelaki itu tadi seharian tak pulang ke rumah. Terasa hati agaknya dengan kata-kata dari Mak Long Inah tadi kut.

“Tak kisahlah malam ke siang. Janji niat kita nak mintak maaf tu ikhlas.” Balas Syaf sedikit berani. Kadang-kadang dia merasakan yang dia pun perlu bagi teguran kepada lelaki itu. Cakap ikut sedap mulut aje. Nasiblah dia ni jenis lali dah dengan perangai Firash itu. Kalau tak, memang terasa hati sampai ke jantung jugaklah!

Firash merengus kecil. Entah kenapa kata-kata dari gadis itu seakan terkena batang hidungnya sendiri. “Kalau aku tak maafkan macam mana?” Soalnya dengan menjungkitkan kening. Perlahan-lahan dia bangkit dari katil dan menuju ke arah gadis itu yang sedang berdiri.

“Kalau kau tak nak maafkan nak buat macam mana lagi? Redha aje lah.” Balas Syaf lalu berpaling ke belakang. Baik aku keluar sebelum Tok Wan perasan. Janji aku dah mintak maaf!

“Tunggu kejap.” Panggil Firash tiba-tiba. Syaf menghentikan langkahnya yang sudah berhampiran dengan pintu. Dia berpusing sedikit ke belakang. Kelihatan ada sesuatu yang dipegang di tangan lelaki itu.

“Nah.” Firash menghulurkan sampul raya berwarna emas itu kepadanya. Syaf sedikit tercengang. Dia bagi aku duit raya jugak ke?

Err...Apa ni?” Soal Syaf sedikit pelik. Namun tangannya tetap menyambut huluran sampul duit raya itu.

Firash mengeluh kecil. Takkan tak kenal kut sampul duit raya? Atau sengaja buat-buat tak kenal?

“Duit raya lah. Ingat si Qimy aje boleh bagi duit raya? Aku pun boleh bagi jugak.” Jawab Firash sedikit riak. Syaf mencebik bibir. Eleh! Jeles lah tu aku dapat duit raya dari Qimy tu!

“Oh duit raya. Terima kasih lah sebab bagi. Aku tak ada nak bagi apa-apa kat kau.” Balas Syaf sebelum tangannya membuka sampul duit raya itu. Membulat matanya melihat kepingan not-not biru itu. Biar betul si Firash ni?

“Eh banyak sangat lah ni.” Syaf menutup sampul duit raya itu dan menghulurkan kembali kepada Firash. Lelaki itu merengus kecil.

“Banyak apa nya tu? Kenapa kau tak sudi ambil duit aku tapi sanggup ambil duit dari lelaki lain?” Firash mula meninggikan suara. Entah kenapa egonya terasa sedikit tercalar dengan perbuatan gadis itu. Seolah-olah wang yang diberikan olehnya itu tidak memberi apa-apa erti.

Syaf mengeluh kecil. “Bukan macam tu lah maksud aku. Tapi kau bagi ni banyak sangat kut. Dah tu macam mana dengan duit belanja kau pulak? Aku tak nak kau tak ada duit pulak nanti.” Balas Syaf prihatin. Pelik je dengan tindakan Firash itu. Bermati-matian menyuruhnya mengambil wang itu. Sedangkan selama ni mana pernah lelaki itu memberinya wang. Ada udang di sebalik maggi ke apa?

“Aku ada duit lah. Kau tak payah risau pasal tu.” Balas Firash pula lalu kembali ke katil. Laptopnya kembali ditarik kembali ke riba. Ada kerja yang perlu dia siapkan.

“Tak apa lah kalau kau dah cakap , anyway thanks.” Balas Syaf sambil tersenyum lalu menuju ke pintu. Teringatkan sesuatu, dia kembali berpaling.

“Err..Aku nak mintak charger aku yang kau pinjam tu.” Syaf bersuara kepada Firash yang sudah mula menaip sesuatu di laptop. Lelaki itu mengangkat wajahnya dari laptop yang terdampar di katil..

“Tu ada atas meja solek tu. Aku tak guna pun.” Balas Firash lalu menyambung menaip. Syaf mendengus kecil. Nak guna macam mana? Aku pakai pakai telefon biasa je, kau pulak pakai I-phone, rungutnya dalam hati serta mencapai charger itu.

Firash hanya menegerling sekilas kelibat gadis itu yang sudah menghilang ke luar bilik. Dia mengeluh perlahan sambil membaringkan tubuhnya. Salah aku ke kalau bagi duit kat isteri sendiri?

Syaf yang sedang memegang charger itu sedikit tersentak dengan kehadiran TokWan di depannya. Bibirnya mengukir senyum tawar

“Tok Wan tak tidur lagi?”

“Pergi dapur tadi kejap nak minum air.” Balas Tok Wan mendatar. Matanya menangkap kelibat sesuatu di tangan gadis itu. Tidak jadi untuk bertanya apa yang sednag gadis itu sedang buat walaupun hatinya tertanya-tanya sendiri. Kenapa aku rasa si Qira ni asyik masuk bilik Firash aje? Dia orang ada apa-apa hubungan ke?

“Oh. Okaylah Tok Wan. Qira nak tidur ni. Selamat malam.” Ucap Syaf dan cepat-cepat melangkah masuk ke biliknya. Entah kenapa dia merasakan pandangan mata dari Tok Wan itu seperti menyatakan maksud sesuatu.

“Hmm, selamat malam.” Balas Tok Wan perlahan dan merenung lama ke arah pintu bilik Qira yang tertutup.

HAMPIR TIGA jam Syaf cuba untuk memejamkan matanya namun matanya langsung tidak mahu memberi kerjasama. Terkebil-kebil saja matanya memandang siling rumah sambil mengurut perlahan pinnggangnya yang terasa sakit. Dia mengeluh perlahan. Ni lah akibatnya kalau lama tak datang period! Tubuh dah mula sakit sana sini!

Merasakan dirinya sudah tidak mampu untuk menanggung kesakitan itu. dia bangun dari katil dan cuba mencari apa-apa saja ubat yang ada di dalam bilik itu. Namun agak hampa kerana bilik itu kososng dan tidak mengandungi apa-apa walau hanya minyak panas.

Teringatkan sesuatu yang dipandangnya ketika siang tadi, dia menuju ke arah ruang tamu. Tebongkok-bongkok tubuhnya di situ. Tangannya laju menyelongkar apa saja yang berada di atas kabinet tv itu. Namun segalanya hampa apabila benda yang dikehendakinya tidak dijumpai. Rasanya semalam dia seperti ternampak deretan botol minyak ubat di kabinet yang menempatkan tv itu. Takkan dalam dalam sekelip mata saja boleh hilang kut? Hatinya tertanya-tanya sendiri sambil mengeluh perlahan

Dia terduduk di kerusi sambil mengurut pinggangnya yang terasa sudah semakin mencucuk. Sebab itulah dari tadi dia tidak boleh tidur. Biasanya dia akan meletakkan minyak panas untuk mengurut. Dulu semasa arwah ibunya masih ada, selalu saja ibunya itu akan menjadi pengurut tak bertauliah. Dan kalau di rumah sewanya pula, Fara yang biasa menjadi tukang urutnya. Namun sekarang bila duduk di sini, dah tak ada siapa yang nak mintak tolong. Takkan nak mintak tolong Puan Farizah pulak? Mengingatkan hal itu, hatinya dipagut sayu.

Akhirnya dia termenung sendiri sambil memeluk lutut di sofa kecil di ruang tamu itu. Hanya memandang ke arah tv yang bergelap tanpa melakukan apa-apa. Tanpa perasan yang derapan kaki seseorang menuju ke arahnya.

Dia menarik nafas panjang untuk cuba tidak terlalu bersedih walau hatinya masih teringatkan arwah ibunya itu. Bibirnya tanpa sedar mengukir senyum tawar. Kenangan lama yang akan terus melekat di hatinya sampai bila-bila.

“Kenapa tak tidur lagi ni?” Tegur Firash seraya meletakkan tangan ke dalam poket seluar bermudanya. Kat sini dia terpaksa tidur dengan memakai baju disebabkan suasana malam yang agak sejuk. Kalau di rumahnya, tak ada pun nak kena pakai baju macam ni.

Syaf sedikit tersentak. Langsung tidak perasan akan kelibat Firash yang tiba-tiba datang ke situ. Dia menyeka sedikit air matanya yang bergenang di tubir mata.

“Ha? Err...Aku nak tidurlah ni.” Balas Syaf bersuara lalu bingkas bangun dari sofa itu. Firash menjongketkan kening seperti tidak berpuas hati dengan jawapan dari Syaf tu. Lengan gadis itu ditarik semasa Syaf cuba melepasinya. Mata Syaf membulat kerana terkejut. Firash pula memandangnya tidak berkelip. Seakan dapat perasan akan mata gadis itu yang seakan memerah.

“Firash, aku nak tidur ni. Dah lewat pun.” Bergetar suara Syaf di situ sambil cuba merungkaikan tangan Firash yang memegang lengannya. Firash memandang tepat wajah Syaf yang kegelisahan. Seperti sedang menyembunyikan sesuatu.

“Baik kau cakap dengan aku! Kau buat apa kat ruang tamu ni pagi-pagi macam ni?” Soal Firash dengan nada sedikit ditegaskan. Syaf menggigit bibir menahan sakit pinggangnya yang kadangkala menyerang secara tiba-tiba. Takkanlah aku nak bagitahu kat Firash pulak pasal ni? Bisik hatinya.

Sedikit bengang dengan kebisuan gadis itu, Firash bertindak dengan memusing gadis itu berhadapan dengannya. Pinggang gadis itu ditarik sedikit kuat sehingga menimbulkan kerutan di wajah Syaf.

“Auchh!” Syaf sedikit menjerit kala tangan Firash menyentuh pinggangnya. Dia memejamkan matanya seketika cuba untuk menghilangkan rasa sakit itu sehingga hampir bergenang kembali air mata di tubir matanya. Firash yang sedikit terkejut terus saja memandang wajah Syaf yang masih berkerut. Dan apabila melihat mata gadis itu yang sudah berair, dia sudah dilanda perasaan serba salah.

“Eh kau ni kenapa?” Soalnya sedikit risau melihat Syaf yang sedikit menunduk ke lantai sambil sebelah tangannya memegang pinggang.

“Aku...Err...” Syaf tidak sanggup untuk meneruskan ayatnya kerana merasakan kesakitan di pinggangnya yang mula menjadi-jadi.

“Kau sakit ke?” Soal Firash lagi dengan nada tidak berpuas hati. Cuba mengintai wajah Syaf yang sedang menunduk.

Syaf menarik nafas panjang. Cuba untuk menahan air matanya dari gugur. Ya Allah, sakitnya! Jerit hatinya lagi sambil sebelah tangannya menekan pinggang.

Entah kenapa Firash dapat merasakan kelainan dari keadaan tubuh Syaf itu. Seakan dapat merasa tubuh itu menggigil dan kala tangannya menyentuh tangan gadis itu, terasa sejuk seperti ais. Fikirannya mula berfikir macam-macam. Dia ni demam ke? Namun apabila tangannya menyentuh dahi Syaf, tiada langsung kesan panas yang dapat dirasa. Dia mula berasa pelik.

Dan di saat tubuh gadis itu terasa seperti hendak terlorot ke lantai, dia cepat-cepat mengemaskan pautannya ke pinggang lalu menghadang dengan tubuhnya. Kepala gadis itu tersandar di dadanya dengan tubuh mereka seakan berpelukan.

Syaf sudah tidak tahu untuk bereaksi apa-apa lagi. Kesakitan di pinggangnya mengatasi segalaya. Perlahan-lahan air matanya yang cuba ditahan tadi gugur juga. Firash yang terasa ada air hangat yang membasahi baju tshirt yang dipakai sedikit terkejut. Dia cuba untuk mengalihkan kepala Syaf namun gadis itu hanya mengeraskan diri.

“Kenapa ni?” Soal Firash sedikit lembut. Dia mengusap perlahan rambut Syaf yang sedikit menutup wajah gadis itu.

“S-sakit.” Terketar-ketar Syaf menjawab dengan nada tenggelam timbul dengan esakan kecil. Firash yang tidak tahu untuk berbuat apa-apa itu cepat-cepat menghulur tangannya ke belakang tubuh gadis itu. Dan sekelip mata Syaf terasa tubuhnya terawang. Matanya yang sedikit terpejam itu hampir dibulatkan apabila terasa yang lelaki itu telah mencempungnya menuju ke bilik. Perlahan-lahan tangannya dirangkul ke leher Firash untuk mengimbangkan tubuh supaya tidak terjatuh.

Jantungnya mula mengepam laju apabila Firash menolak pintu biliknya yang tidak tertutup rapat itu dan berhati-hati meletakkannya ke atas katil. Dia cuba untuk bangun namun Firash terlebih dahulu menahan.

“Tunggu kejap.” Arah Firash seraya mengunci pintu biliknya. Syaf hanya diam memerhati perbuatan Firash itu walaupun jantungnya sudah berdebar sakan. Apa yang dia nak buat ni? Bisik hatinya sebelum memandang Firash yang sedang membuka laci meja solek.

Firash mengambil satu botol kecil yang berisi minyak panas dan menuju ke arah Syaf yang sedang bersila di atas katil. Firash melabuhkan punggung di katil dan memandang wajah Syaf yang agak memerah tadi. Sakit sangat ke sampai boleh menangis? Fikirnya.

“Kau baring kejap.” Arah Firash lagi. Syaf sudah terkebil-kebil di situ. Arahan Firash itu langsung tidak difahaminya. Dia hanya diam saja sambil mengerutkan dahi.

Firash mengeluh perlahan. Dia merapatkan dirinya ke tubuh Syaf dan menolak bahu gadis itu sehingga terbaring. Syaf sudah membulatkan mata kerana terkejut dengan tindakan Firash yang tiba-tiba itu. Dia cuba untuk bangun namun sekali lagi tangan Firash menekan bahunya supaya kembali terbaring. Dia nak buat apa ni? Fikirannya sudah mula berfikir bukan-bukan apabila Firash memandang tepat ke arah matanya.

“Err...Kau nak buat apa ni?” Soalnya sedikit gugup. Firash mula tersenyum nipis dan mula mendekatkan wajahnya ke arah wajah gadis itu. Hanya beberapa inci saja sebelum bersentuhan.

“Kau rasa aku nak buat apa?” Soal Firash dengan menaikkan sedikit keningnya. Namun di dalam hatinya sudah hampir ketawa melihat reaksi gadis itu.

“Kau..Kau jangan...Aku tengah period ni.” Luah sedikit terketar Syaf memberi alasan. Dia ni biar betul? Takkan masa-masa macam ni pun pakat main aci redah aje!

Firash hampir saja ketawa namun cuba ditahan. Kalut! Itulah yang digambarkan olehnya pada gadis itu.

“Err..Aduh..” Syaf menekan pinggangnya dengan tangan. Wajahnya berkerut-kerut menahan sakit. Firash yang tak sampai hati nak mengusik Syaf itu kembali kepada kedudukan asal. Botol minyak panas yang masih kemas di dalam genggamannya itu dibuka penutup. Dia bergerak sedikit lagi menghampiri Syaf yang sudah merengkok menahan kesakitan.

Laju sahaja tangannya cuba menyelak baju tidur gadis itu sehingga menampakkan sedikit kawasan perut. Syaf yang masih di dalam kesakitan itu terkejut sakan.

“Eh apa ni?” Tangannya cuba menepis namun tangan Firash cepat saja menahan. Membahang wajahnya apabila tangan Firash selamba saja menolak baju tidur yang dipakainya sedikit ke atas.

“Duduk diam-diam. Aku nak letak minyak panas ni.” Arah Firash lagi. Syaf mengeluh kelegaan. Ingatkan nak buat apa lah tadi, fikirnya sambil cuba memejam mata. Menikmati urutan lembut dari tangan Firash di sekitar pinggangnya.

Hampir sepuluh minit berlalu. Firash masih lagi mengurut-urut lembut di sekitar pinggang gadis itu. Sekali sekala dia menjeling ke arah Syaf yang sudah memejam mata. Dah tidur ke? Bisiknya sambil cuba mengawangkan tangan pada wajah Syaf. Namun gadis itu hanya diam tanda kemungkinan dia sudah tidur.

Firash perlahan-lahan bangun dari katil dan mematikan suis lampu yang terpasang. Dia mula memanjat katil dan berbaring di sebelah Syaf. Deruan nafas lembut yang keluar dari bibir gadis itu menandakan Syaf sudah lena. Dia tersenyum kecil dan merapatkan tubuhnya ke sebelah tubuh Syaf secara mengiring.

Kepala gadis itu diangkat perlahan dan berhat-hati dia meletakkan di atas lengannya. Helaian rambut yang menutup pipi dan dahi disebak lembut ke belakang. Lama dia memerhatikan wajah Syaf yang sedang lena tidur itu sambil jarinya mengusap lembut pipi gebu Syaf.

“Kau buat aku risau aje lah.” Gumamnya perlahan sebelum bibirnya laju mengucup dahi Syaf lembut. Dia menarik nafas panjang dan cuba untuk memejamkan matanya. Akhirnya tanpa sedar dia tertidur di situ





p/s : jgn lupe tuk komen yer...mane tahu kalau sy baik hati, sy akan bg full entry tuk lain kali..insyaAllah..SSid dh masuk final editing..hope semuanya berjalan lancar...mgu depan dh nk hntr*tak sabar nk hntr sebenarnye sbb dh lame mgadap 'dia' hr2*...okla...itu jer kut tuk kali ni :D

33 comments:

Anonymous said...

wow.. best giler.. syok lyan larr... suke SSID...

mieraminho95 said...

best..mantap la!! sy suka!! :)

Nur Alia said...

wink-2..terbaik la sis zura..tak sabar nk tunggu novel SSiD :)

nadiah said...

tok wan, sila keluar sekarang. tengok apa cucu cucu awak dah buat.
kekekekeke.

sYnystEralExGatEs said...

besttttt! nk lagiiiiiii! thumbs up! (:

Tie Tinie said...

thumbs up..
seronok bca firash & syaf nie..
x sabar menunggu ke versi cetak..
baru puas nak baca...
tahniah...

Hanim69 said...

klau la tetiba tok wan nmpak dema nii... mau mnjerit tok wan sbb dia x tau dema dh kawin....

semah said...

bestnya.... smbng LG....
cpt2 r hntaq le publisher bleh cetak cpt2.....
xsbr nk beli......

Sweet Honey Burberry said...

besh...^_^

arifuka kashirin said...

cayalah firash...writer,cptlah smbg..

Ad_dEen said...

nice....
akhirnya ada gak full nye..
p2u knp suram je..huhu...
terbaikkk kak zura...
hope segalanya berjalan lancar...
x sabar tunggu dipasaran...

My said...

best2...zura next n3 kasi full jugak ye..hehehe

Unknown said...

terbaeklah!!! xsabar nak tunggu SSID ni kuar. nak beli!!

Uwais Al-Qarni said...

lebih baik ssid publish kt sni je kalau p2u lambat publish

Nik Ainaa said...

YaAllah ! Bestnya . Firash ni caring laa . so sweet . haha nampaknya Firash jeles dengan Qimy . hehe kalau dah keluar versi cetak , confirm sy beli tau . :)

Azwa Azee said...

Ya Allah kak.. best sgt!! bila nak bagi lagi??..;)

Hayisa Neerza said...

sis yang comel dan baik hati ..hehe best2 suka sangat nnt bab 17 pon bg full entry eh hehe

cikpah said...

<3 <3 <3... best sgt!!

Makanan Kesihatan said...

wahhh..mesti la tok wan tu lg pelik ngn dorang ni..heheh..cter ni mmg best sbb lain drpd yg lain.. ^__^

Anonymous said...

hoooyeaaahhhh.... camni la baru seronok nak baca... takder la tertunggu2... hehehhee.... memang BEST & SUPERB la citer ni.... suka laaa firash & syaf berfeeling2... kehkehkeh... =P

missn said...

Firash, sok kuar cpt2 ek...
comellah...

Nurfazzy said...

wahhh...the best...!!!!!!!!!!!!!!

Yong said...

wah terima kasih ya bagi banyak ni. suka baca pjg2 mcm ni. hope dpt baca full story dia awal thn depan. oh bila nak terbit ye?
er ni tido sekatil sebilik kang pagi esok kantoi gan tok dia plk kang. abis kena parang nti kang.

blinkalltheday said...

firash sooo suwit...

Afifah Yusof said...

hohoho... best.. excited setiap kali nak tunggu cerita ni.. ^_^

evy said...

wahhhhhh....nak lg...

zura asyfar addy rifqhiey said...

thanks utuk semua komen di atas...sedikit sebanyak akan membantu sy memberi smgt tuk final editing...thanks again <3<3<3

miera xavier said...

wahhh!bestnyer.
sis,nty anta lahh n3 full tao.
cpt2 lah ad kt pasaran.gerenti sy beliii!
SSID terbaik lahh.
:)

putri nia adelia said...

assalamualaikum kak zura...hihihi...alhamdulillah,sempat jgk baca sblm blk ganu...huhuhu...x sabrnya ain nk tggu SSID kuar..c0ngrats sis f0r the luvly st0ry,luv it (^_^)

IVORYGINGER said...

hahaha... setuju dgn Nadia_abdllh n Salmah Hanim... mau esk dema kena cekup dgn Tok Wan. Naya2x kena kejar dgn parang nnti. ahaks... apapun can waiting the next post. wahai cik writer yg baik hati tlg la post the new entry with full version. cant wait la. hehehe... ;D

Anor said...

Jgn kantoi dgn Tok Wan dh...nk lagi tak puaslh...

RinsyaRyc said...

Ohohohokkkk cheezzyyy je si Firash.. GGgrrrramm.. >_< x sabo-2 tunggu si Firash nih~~ Sweet gile!

Hafia Hana said...

nk lg..
interested nk tau..
*cpt2 la kawen