:: My gangS :: TQVM

Wednesday, October 26, 2011

Bab 13 SSID (NOT FULL)



Assalamualaikum...mesti korang semua dah tertunggu2 kan full bab SSId ni kt p2u sekarang...zura pun dr semalam lg tak senang duduk...yelah p2u takde update lgsung..last entry maybe 3 hr lepas kut...pg td zura dpt tahu dr sorang peminat SSId cakap maybe p2u bercuti sehingga 31/10/2011 ni...so mase tu takdelah update cerita...korang mesti kecewa kan? zura lg kecewa...terpakse off fb cz ramai sgt orang pm tanya..tak terlarat sudah nak jawab sbb zura pun tgh bz menaip ni...tak naklah mood tu hilang...so zura nak mintak maaf sesangat sebab ingt dapat kuar hr ni n3 tu..nak siar full dh tak boleh sbb dh terikat ngn janji..so zura decided gabungkan teaser2 lepas merangkumi 2/3 entry yg dh di hntr...1/3 lg surprise tuk korang yg sudi menunggu...akhir kata : just enjoy this entry n tolong doakan zura dapat siapkan cecepat cz dateline tak sampai sebulan lagi..insyaAllah kalau takde ape2 hal dlm sekitar bulan 1- 3 tahun depan kuar ke versi cetak...thanks my luvly readers...sayang korang semua <3 <3 <3




****


BAB 13


AKHIRNYA enjin kereta Toyota Camry berwarna putih itu dihentikan selepas hampir empat jam bergerak. Puan Farizah membuka pintu kereta seraya membetulkan tubuhnya yang sedikit lenguh. Angin petang menerobos laju masuk ke dalam perut kereta. Menambah kedamaian suasana ketika itu.

“Mama pergi cari Tok Wan dulu. Nanti Firash kejutkanlah si Syaf tu.” Pesan Puan Farizah mengerling sekilas ke arah belakang. Lena saja Syaf tidur berbantalkan peha Firash itu. Dia tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Dia keluar dari kereta dan menarik nafas perlahan. Memandang ke arah rumah kayu yang berkonsepakan tradisional sepenuhnya itu. Pintu utama rumah tersebut kelihatan bertutup rapat. Mungkin saja emaknya itu berada di belakang rumah, fikirnya.

“Yelah ma.” Firash menjawab malas. Belakang tubuhnya terasa sedikit sengal akibat terlalu lama duduk di dalam keadaan menegak. Perlahan-lahan dia cuba membetulkan sedikit kedudukannya, bimbang jika gadis itu terjaga secara tiba-tiba. Itupun hampir kebas saja pehanya kerana agak lama dia memangku kepala Syaf yang sudah tertidur di ribanya. Memanglah mula-mula tadi Puan Farizah ada menyuruhnya mengurut perut gadis itu dengan minyak angin tapi tak sangka lah pulak yang gadis itu boleh tertidur di ribanya.

Bibirnya mengukir senyuman apabila teringatkan kata-kata mamanya yang menyuruh dia menemankan gadis itu pergi klinik esok. Bukannya dia tak tahu yang reaksi gadis itu macam mana. Walaupun tudung melindungi wajah gadis itu, dia tetap boleh mengagak apa reaksi gadis itu tadi.

Wajah Syaf yang sedang memejamkan matanya itu direnung sekilas. Tudung yang dipakai oleh gadis itu sudah hilang entah ke mana. Dia tersenyum sendiri memikirkan yang tangannya tadi tiba-tiba saja gatal membuka pin serta tudung yang dipakai oleh gadis itu. Perlahan jarinya melurut lembut rambut lepas bahu milik gadis itu. Raut wajah yang masih lagi pucat itu sedikit sebanyak merunsingkan hatinya. Kalau betullah apa yang mama cakap tadi tu macam mana? Sanggupkah dia memegang gelaran seorang bapa di kala usia yang masih muda? Di saat teman-teman sebaya yang masih lagi berkejar dengan buku dan pelajaran. Ah! Dia agak buntu untuk memikirkan perkara itu walau dia bersikap tenang di hadapan Puan Farizah dan gadis itu.

“Bangunlah, dah sampai ni.” Ucap Firash seraya menyentuh lembut pipi gadis itu dengan jarinya. Pehanya sudah tidak mampu lagi untuk menahan kebas yang terasa. Terasa seperti sesak nafas saja. Dengan tiga kali cuitan di pipi barulah kelopak mata itu bergerak-gerak.

Terpisat-pisat Syaf membuka matanya. Agak terasa sengal di batang lehernya apabila lama tidur di dalam begitu. Serentak itu anak matanya menangkap wajah Firash yang sedang merenungnya tidak berkelip. Erk! Apa yang dah jadi ni? Kepalanya yang masih mamai itu tidak dapat memproses apa yang sedang berlaku.

“Eh aku tertidur ke?” Soal Syaf seraya menegakkan tubuh. Tangannya mengurut batang lehernya yang terasa sengal akibat tertidur di dalam keadaan macam tu. Nasib tak terseliuh!

“Tertidur ke sengaja tidur? Aku tahu lah yang kau nak sangat tidur atas riba aku.” Balas Firash dengan kata penuh sindiran. Syaf mengetap bibir dan menjeling Firash sekilas. Dia ni memang lah! Suka sangat nak sakitkan hati aku! Tadi dah elok aje ambil berat semua. Dah rasa macam terbuai-buai aje perasaan bila dia ambil berat macam tu. Tapi sekarang, ya ampun! Sabar aje lah! Satu lagi aku bukannya sengaja nak tertidur atas riba dia tu, tapi tertidur! Dia tak tahu ke yang aku pening sangat tadi?

Terasa kepalanya berangin, dia memegang rambutnya. Mana tudung aku? Dia memandang Firash sekilas. Lelaki itu langsung tidak memandang ke arahnya. Hanya mengurut-ngurut pehanya dengan tangan.

“Kau bukak tudung aku ke?” Soal Syaf sedikit geram. Hee dia ni! Suka-suka hati aje bukak tudung orang! Firash tiba-tiba melemparkan pandangan ke arah Syaf.

“Dah aku nak picit kepala kau macam mana dengan tudung yang kau pakai tu? Kau kan pening tadi so aku bukaklah suruh kena angin sikit.” Balas Firash selamba. Tudung yang berada di sebelah kirinya tempat duduknya itu diambil.

“Nah, ambiklah. Aku pun tak ingin nak simpan tudung kau ni.” Firash menghulurkan tudung bawal Syaf yang sudah hampir renyuk. Syaf terasa ingin mengamuk. Sabar aje lah wahai hati!

“Aku tak suruh pun kau simpankan.” Balas Syaf lalu menyarungkan kembali tudungnya yang sudah hampir renyuk. Dipin kembali agar kelihatan sedikit kemas. Nanti apa pulak kata Tok Wan bila melihat dia tidak memakai tudung. Mesti Tok Wan memandang rendah ke arahnya. Dia mula membuka pintu kereta.

“Hoi cepatnya nak lari? Bukannya nak ucap terima kasih ke apa.” Rungut Firash seraya membuka pintu kereta di sebelahnya. Syaf yang sedang berdiri itu dipandang tajam. Huh! Menyesal aku buat baik tadi! Dan-dan aje tinggalkan aku kat sini! Kaki ni bila pulak nak hilang kebasnya? Rungut Firash lagi.

“Yelah. Thanks sebab tumpangkan kepala aku tadi. Kau tak payah risau, next time aku takkan tertidur lagi dah kat riba kau tu.” Syaf berjalan ke depan sedikit. Terasa hati dengan kata-kata Firash tu. Kalau aku tak pening tadi, mungkin aku tak tertidur atas riba dia lah! Lagipun tadi dia jugak suruh aku baring kat situ. Ni nak marah-marah aku pulak! Sambung Syaf dalam hati.

Tadi hatinya dah mula tersentuh dengan sikap keprihatinan lelaki itu namun sekarang dia tahu yang semua itu hanyalah lakonan saja di depan mata Puan Farizah. Mungkin lelaki itu terpaksa berbuat demikian. Jadi tak payahlah rasanya dia menaruh harapan yang lelaki itu akan menerimanya di dalam hidup lelaki itu. Monolog Syaf di dalam hati.

Dia menuju ke ruang halaman rumah yang dipenuhi dengan pelbagai spesies bunga-bungaan itu. Udara kampung yang nyaman disedut seadanya. Terasa sedikit lapang semua yang ada di dalam fikirannya sekarang.

“Tunggu kejap.” Arahan dari Firash menganggu ketenangan yang baru saja dikecapinya. Dia berpaling dan mendapati lelaki itu sedang menghampirinya.

“Ingat kata-kata aku dulu. Jangan bagi Tok Wan tahu pasal ni.”

“Yelah.” Balas Syaf malas. Bosan sudah dia mendengar ayat itu. Asyik berulang kali saja di telinganya. Entah apa lah yang nak ditakutkan. Takut jatuh sahamlah tu sebab kena kahwin muda! Syaf mencebik.

“Okay, bye my wife.” Firash sedikit menyimpul senyum sambil membuat isyarat selamat tinggal. Syaf berkerut dahi memandang kelibat itu yang sudah hampir menghilang ke suatu tempat. Ah! Ikut suka dia lah nak pergi mana-mana pun! Dia kembali memaku pandang pada sekeliling rumah.

Kelibat Puan Farizah yang sedang berjalan dengan seorang wanita tua yang berusia lewat lima puluhan itu menyapa matanya. Kelihatan wanita tua itu sedang memegang sebilah parang panjang. Hanya berkain batik serta berbaju kurung Kedah sahaja. Syaf mengukir senyum dan berjalan perlahan menuju ke arah mereka berdua.

“Ha Syaf. Inilah Tok Wan. Emak pada mama.” Puan Farizah memperkenalkan wanita tua itu. Syaf menghulurkan tangan untuk bersalam. Dikucup lembut tangan tua itu seraya tersenyum manis.

“Apa khabar Tok Wan?” Sapanya. Wanita tua itu berkerut dahi memandangnya. Syaf mula terasa pelik.

“Ni siapa Zah?” Soal Tok Wan.

Puan Farizah hanya tersenyum mendnegar soalan yang terbit dari bibir ibunya itu. “Ni lah Syafa Aqira. Anak angkat yang Zah cakap tadi tu.” Jawab Puan Farizah. Kelihatan Tok Wan menganggukkan kepalanya.

“Hmm..Nak panggil apa ni? Aku tak pandai lah nak sebut nama budak-budak sekarang.” Balas Tok Wan merenung lama ke arah gadis yang berada di hadapannya. Manis berbaju kurung.

“Zah panggil Syaf je. Tapi kalau mak nak panggil nama lain pun tak apa kan Syaf?” Puan Farizah mengemukan pertanyaan pada gadis itu.

“Ha’ah Tok Wan. Syaf tak kisah kalau nak panggil nama lain pun.”

“Aku panggil kau Qira aje lah. Lidah aku ni dah tua susah nak sebut nama pelik-pelik macam tu.” Balas Tok Wan dan seraya menuju ke tangga. Puan Farizah hanya menepuk bahu gadis itu dan mereka berdua menuju ke anak tangga.

“Syaf dah okay?” Soal Puan Farizah sekilas memandang ke arah gadis itu. Syaf hanya tersenyum dan mengangguk. Setelah tertidur tadi dia merasakan peningnya sudah mula berkurangan. Hanya kadang-kadang saja perutnya terasa perit.

“Baguslah tu. Tapi kalau tak tahan sangat, mama cadangkan Syaf buka aje eh.” Pesan Puan Farizah lagi lalu mereka sama-sama mendaki tangga menuju ke beranda.

“Takpe ma. Syaf okay aje lagi ni.”

Kelihatan Tok Wan sudah pun duduk bersandar di kerusi rotan di situ.

“Hmm, Firash mana?” Soal Tok Wan menjengah ke sekeliling. Tidak nampak pula kelibat cucunya yang sudah agak lama tidak bersua muka itu. Puan Fairzah dan Syaf masing-masing melabuh duduk di kerusi rotan yang berhampiran.

“Tadi ada kat kereta tu tapi sekarang ni tak tahulah pulak pergi ke mana.” Sampuk Puan Farizah. Sudah agak masak benar dengan anak bongsunya yang seorang itu. Pasti ada saja kerjanya kalau balik ke kampung.

“Hmm, biar aje lah dia tu. Eh laki kau tak balik sekali ke?” Soal Tok Wan apabila perasan yang menantunya itu tiada.

Puan Farizah mengeluh lemah apabila terdengar sebaris nama itu. Dia menarik nafas panjang. Syaf pula hanya berdiam diri. Tak tahu untuk mencelah apa-apa perbualan dua beranak itu.

Busy kut dengan isteri baru dia tu.” Balas Puan Farizah dengan riak bersahaja. Tok Wan yang seperti faham dengan perasaan anaknya itu sedikit mengeluh. Susah kalau orang hidup bermadu ni!

***

“HA FIRASH, tolong angkat beg Qira ni. Letak dalam bilik sebelah bilik kamu tu.” Arah Tok Wan setelah Firash pulang ke rumah. Katanya tadi dia sengaja mengambil angin petang di tepi sawah itu sekejap. Firash mengerling mata ke arah Syaf yang hanya memandangnya.

“Yelah Tok Wan.” Laju sahaja tangannya mencapai beg pakaian gadis itu dan membolos masuk ke bilik yang berada di sebelah biliknya. Bilik itu biasanya digunakan sebagai untuk tetamu yang datang. Dia meletakkan beg itu berhampiran dengan almari pakaian.

“Qira pergi lah rehat dulu. Mama kamu cakap tadi kamu pening kepala kan. Tok Wan dengan mama kamu nak pergi dapur ni.” Ujar Tok Wan.

“Erm, Qira nak masuk dapur jugaklah.” Balas Syaf laju. Seperti tidak sopan pula jika dia hanya berehat di dalam bilik sedangkan Puan Farizah dengan Tok Wan berada di dapur untuk menyiapkan hidangan untuk berbuka nanti.

“Tak pe lah Qira. Dua orang dah cukup dah. Kamu tu rehat aje dulu. Bimbang aje Tok Wan kalau kamu pening-pening lagi.” Nasihat Tok Wan lembut. Bukannya dia tak perasa yang wajah gadis itu seakan pucat sahaja.

“Yelah Tok Wan.” Syaf malas untuk membantah. Kakinya terus sahaja menapak ke bilik yang dimasuki oleh Firash tadi. Sedikit tersentak apabila lelaki itu selamba sahaja berbaring di atas katil bersaiz King itu.

“Eh kenapa tak masuk bilik kau?” Soal Syaf pelik. Bukannya lelaki itu ada bilik sendiri ke kat sini? Kan kalau Tok Wan nampak apa pulak cakap dia. Berdua-duaan dengan lelaki walaupun hakikat yang sebenar mereka adalah suami isteri. Firash menjeling tajam.

“Ala, rehat sekejap kat sini tak boleh ke? Kedekut betul lah. Macam lah bilik ni dia punya.” Balas Firash dengan nada sindiran. Syaf mengetap bibir dengan muka merah padam. Memanglah bilik ini bukan bilik dia tapi hormatlah sikit. Ini tak suka-suka hati aje baring kat situ lepas tu boleh pulak nak sindir-sindir dia!

“Tak pe. Kau baring aje lah. Aku tahulah yang bilik ni bukan bilik aku.” Balas Syaf sedikit berjauh hati. Firash memaku pandang pada Syaf yang sudah hendak keluar dari bilik. Cepat-cepat dia turun dari katil dan menarik tangan gadis itu. Syaf tersentak. Apa lagi yang dia ni nak? Letihlah lah aku macam ni!

Hmm, merajuk.” Gumam Firash perlahan. Syaf menarik nafas perlahan dan cuba bersabar dengan kata-kata Firash itu. Terasa tiba-tiba kedua-dua tangannya ditarik dan hampir saja dia terdorong ke belakang namun sempat dihadang oleh tubuh Firash. Dia terkedu. Tubuhnya betul-betul dipeluk oleh lelaki itu dari belakang. Terasa jantungnya mula berdegup tidak normal.

“Kau nak aku pujuk ke?” Soal Firash lembut berbisik di telinga Syaf yang masih dilitupi dengan tudung. Syaf memejamkan matanya. Bergetar perasaannya bila diperlakukan oleh Firash begitu.

“Syafa Aqira, do you listen to me just now?” Bisik Firash lagi dengan nada seakan menggoda. Syaf meramas-ramas tangan sendiri. Menggeletar rasa tubuhnya bila tubuhnya dipeluk erat oleh lelaki itu dari arah belakang.

“Hmm, speechless already.” Sambung Firash lagi. Dia memusingkan tubuh gadis itu seraya bertentang dengannya. Wajah Syaf yang masih memejamkan mata itu menerbitkan senyuman kecil di bibirnya. Jangan cakap dia dah tergoda dengan kata-kata aku tadi! Tapi kalau tergoda pun apa salahnya. Bisik hatinya nakal.

“You know that u’ve an adorable lips.” Firash merapatkan bibirnya ke arah bibir gadis itu. Serentak itu Syaf membuka matanya dan dibulatkan. Tangannya laju menekup mulutnya. Betul-betul terkejut dengan apa yang Firash sedang buat sekarang ini. Dia cuba untuk mengelak namun pelukan Firash ditubuhnya terlalu kemas. Firash merengus kecil, tidak berpuas hati bila niatnya itu dihalang.

“Err..Ni kan bulan puasa.” Celah Syaf dengan nada tergagap. Gila apa nak cium orang siang-siang hari macam ni! Kang ada yang terbatal puasa macam mana? Tak pasal-pasal kena kifarah pulak!

“Tak boleh ke?” Suara Firash kedengaran hampa. Syaf menelan liur. Lelaki ini memang betul-betul ambil kesempatan atas aku!

“Mana boleh. Tak boleh.” Syaf sedikit menegaskan.

“Kalau macam tu malam ni bolehlah?” Firash menjongketkan kening dengan sedikit senyuman nakal yang terukir di bibir. Syaf sudah menggigit bibir. Seakan mahu menampar mulutnya itu yang pandai-pandai menjawab begitu tadi.

“Lepaslah nanti Tok Wan datang.” Syaf cuba melarikan topik perbualan. Walhal jantungnya sudah hampir melayan entah ke mana saat ini.

“Just answer my question first and I will let you go.” Firash mengetatkan rangkulannya. Dia tahu Tok Wan takkan datang menganggu. Lagi pula dia sudah mendengar tadi Tok Wannya menyuruh gadis itu berehat.

Deru nafas milik lelaki itu terasa hangat menampar lembut ke arah pipi gebu milik Syaf. Syaf sudah serba tidak kena. Langsung tidak ada peluang untuk melarikan diri.

“Okay-okay. Boleh aje malam ni.” Putus Syaf akhirnya. Tidak sanggup lagi menghadap semua ini. Renungan dari sepasang mata redup milik lelaki itu seakan membuat hatinya cair.

Firash tersenyum lebar sehingga menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Dengan perlahan-lahan pelukan di tubuh gadis itu dileraikan. “ Hmm, okay. Malam ni malam Jumaat kan? Boleh topup pahala sekali.” Balas Firash dengan sedikit tertawa kecil. Syaf hampir-hampir saja terbalik di situ. Erk! Malam Jumaat?!

“Aku pergi dulu. Nak kena hafal doa kejap.” Sambung Firash lagi lalu melangkah keluar dari bilik. Syaf sudah terduduk di katil. Dia cuba menarik nafas panjang untuk bertenang. Aduhai macam mana ni? Kusut betullah!! Menyesal aku bagi keputusan macam tu tadi!

***

“QIRA PERGI lah mandi dulu. Nanti kalau lewat sangat gelap pulak kat luar tu.” Arah Tok Wan semasa mereka usai menunaikan solat Maghrib selepas berbuka tadi. Syaf yang masih memakai telekung itu mengerutkan dahi. Apa maksud kata-kata Tok Wan tu? Otaknya tidak dapat memproses info yang diutarakan dengan tepat.

“Tak boleh ke lewat mandi Tok Wan?” Soalnya seraya menanggalkan telekung yang tersarung. Sejadah diambil dan disidai bersama-sama telekung yang digunakan tadi.

“Qira tak tahu ke yang rumah Tok Wan ni bilik air ada kat luar rumah?” Soal Tok Wan dengan sedikit ketawa kecil. Sudah pasti gadis itu terkejut dengan apa yang diperkatakannya itu. Syaf terpempan. Bilik air ada kat luar rumah?

“Oh. Hmm, kalau macam tu Qira pergi mandi dulu lah. Erm Tok Wan, kat sana gelap tak?” Soal Syaf lagi. Dia mula membayangkan benda-benda pelik. Manalah tahu jika terserempak dengan haiwan-haiwan yang menggelikan itu. Tak sanggup rasanya untuk mandi tapi dengan tubuh yang sudah melekit-lekit ni macam mana pulak nak tidur nanti?

“Gelap jugak. Syaf bawaklah pelita nanti. Tok Wan dah letak kat dapur tu.” Sambung Tok Wan pula. Syaf mengangangguk kecil tanda faham.

“Yelah Tok Wan. Nanti Qira pergi.” Tok Wan menghilangkan diri di sebalik pintu dan menuju ke ruang dapur. Syaf menutup pintu dan mula menyelongkar beg yang bersaiz kecil. Beg itu mengandungi beberapa alatan mandian yang dibawanya dari rumah.

Berus gigi, ubat gigi dan botol mandian bersaiz mini dikeluarkan. Dia mula menyalinkan pakaiannya. Nasiblah kain batik ada dibawa balik bersama. Dia berkembang dan menutup bahagian bahunya dengan tuala bersaiz besar. Dia bahagian kepala pula, dia menutupnya dengan tuala bersaiz sederhana. Pintu bilik dikuak perlahan. Matanya menerawang ke kiri dan ke kanan. Berjaga-jaga jika Firash nampak akan kewujudannya di situ. Dengan langkah sedikit cepat, dia menuju ke ruang dapur untuk mengambil pelita yang diperkatakan oleh Tok Wan tadi.

Tok Wan hanya tersenyum kecil melihat Qira menuju ke arahnya. “ Tu ha pelita, nanti bawak perlahan sikit takut mati pulak apinya.” Pesan Tok Wan semasa Syaf mencapai pelita itu. Syaf hanya mengangguk lalu mencapai pelita itu dengan tangan kiri. Tangan kanannya sudah penuh dengan ubat gigi, berus gigi serta botol mandian.

Selipar jepun hijau disarungkan ke kaki. Dengan lafaz Basmallah, dia menurunkan kaki ke tanah. Hatinya berdoa agar tidak dipertemukan dengan haiwan-haiwan pelik nanti. Bilik air yang tidak sampai dua puluh langkah itu menyapa matanya. Tak adalah jauh sangat pun, bisik hati kecilnya.

Pintu zink seakan rumah kecil itu ditolak perlahan. Dengan pelita yang berada di tangan, dia menjengukkan kepalanya ke situ. Macam nampak ada perigi je? Eh perigi? Manalah aku tahu nak gunakan perigi ni. Tadi Tok Wan tak ada pulak cakap yang kat bilik air ni ada perigi. Masalah betullah, rungut Syaf di dalam hatinya.

Dengan berhati-hati dia menutup pintu zink tersebut dan meletakkan pelita itu di satu tempat kecil yang dibina seperti meja. Mungkin tempat untuk membasuh kain kut, fikir Syaf apabila melihat ada berus serta sabun membasuh di situ.

Tuala yang diletakkan di kepala serta dibahunya dileraikan. Dia menyangkutkan kedua-dua tualanya ke tali penyidai. Rambut yang sedikit melebih paras bahu itu dileraikan dari pengikat getahnya. Matanya tertancap pada satu paip getah di hadapannya. Eh paip apa pulak ni?

Bibirnya tersenyum lebar apabila mendapati paip itu disambungkan dengan pili paip yang tidak jauh dari situ. Apasal aku boleh tak nampak tadi? Fikirnya lalu menapak ke arah pili paip itu untuk memastikan telahannya betul. Patutlah Tok Wan tak risau sangat pun tadi. Dia membuka pili paip untuk memastikan air paip ada.

Kain batik basahan yang tersidai di situ diambil dan dikenakan pada tubuh. Manakala kain batik bersih yang dipakainya itu disidai kembali untuk menukar ketika usai mandi nanti. Dia kembali ke meja kecil untuk sesi memberus gigi. Di kala itu barulah dia teringat yang dia lupa untuk mengambil pencuci mukanya. Ah tak apa lah, nanti cuci muka kat dalam rumah sajalah.

Usai sesi memberus gigi, dia mengambil paip getah itu untuk mengalirkan air ke tubuhnya. Sesekali dia mendongak ke langit malam merenung bintang-bintang yang bertaburan. Best jugak kalau mandi sambil tengok langit, fikirnya lagi. Dan ini mungkin menjadi kenangannya yang terindah kala berada di kampung.

Sedang enak-enak dia menggosok tubuhnya dengan mandian, telinganya seperti mendengar bunyi sesuatu. Segera dia mematikan semua perbuatannya untuk mengenalpasti apa yang telinganya sedang mendengar. Namun suasana hanya sepi sahaja kecuali bunyi-bunyi unggas. Dia kembali meneruskan sesi membersihkan diri tanpa perasaan curiga.

Seketika kemudian terdengar bunyi pintu zink bilik air itu dikuak dari luar. Syaf kaku di situ. Rasanya aku dah kunci pintu tadi, macam mana pulak boleh terbuka ni? Matanya menyorot pandang pada susuk tubuh yang sedang masuk ke situ. Hampir terlompat dia di situ apabila mendapati Firash yang sedang berdiri tidak jauh darinya. Serentak itu paip air di tangannya jatuh ke lantai simen. Menyedari tubuhnya yang hanya berkemban dengan kain batik basahan, cepat-cepat dia mencapai tuala di tali penyidai.

Walaupun di situ hanya samar-samar cahaya kerana hanya bertemankan cahaya pelita, matanya boleh menangkap susuk tubuh Firash yang hanya bertuala separas pinggang. Dia ni buat apa kat sini? Habislah kalau Tok Wan tengok kejap lagi ni!

Err..Kau buat apa kat sini?” Soalnya dengan nada sedikit tergagap bila mendapati Firash sudah menghampirinya. Dia berundur sedikit ke belakang. Lelaki ini bahaya sungguh! Haruslah dia ambil langkah berjaga-jaga terlebih dahulu.

Firash tersenyum lebar sambil tangannya mencapai ubat gigi yang terletak di meja kecil itu. “Aku nak mandilah. Buat apa lagi kat sini.” Balasnya lalu memicit sedikit ubat gigi lalu diletakkan di berus gigi yang diselit kemas di tuala di pinggangnya tadi. Paip air yang sudah terdampar di atas lantai simen itu dicapai laju.

Syaf mengetap bibir. Nak mandi pun tengok-tengoklah masa dulu. Ni tak aci redah aje masuk bilik air. Kalau dibuatnya aku tak berpakaian tadi kan haru!

“Tak boleh tunggu aku siap dulu ke?” Soal Syaf resah. Namun Firash ralit meneruskan sesi memberus gigi. Syaf mengeluh seketika. Hessy! Buat aku cuak aje! Nak buat apa-apa pun rasa macam tak kena aje!

“Tak boleh. Nanti aku lambat pulak nak pergi masjid. Lagipun tak salahkan kalau teman wife sendiri mandi.” Balas Firash sambil tersengih nakal memandang wajah cemberut gadis itu. Tadinya dia dah dibagitahu oleh Tok Wan untuk menunggu sekejap gadis itu mandi namun dia sengaja berbuat demikian. Ala Tok Wan bukannya perasan pun dia datang tadi!

Syaf menarik nafas panjang. Dah mula lah tu perangai miang keladi dia datang. Aku hairan betullah dengan dia ni sekarang. Serius betul-betul pelik. Macam dah kena ubat guna-guna pun ada! Miang semacam saja!

“Kau tak nak bilas ke sabun yang ada kat badan tu? Atau kau nak suruh aku tolong bilaskan? Aku no hal.” Tegur Firash apabila mendapati tubuh gadis itu yang berkemban dipenuhi dengan buih-buih mandian. Walaupun sudah tersarung tuala di bahunya, takkanlah nak naik rumah dengan macam tu saja kut?

Syaf memadang tubuhnya atas bawah. Eh macam mana aku boleh lupa ni? Dia kembali memandang Firash yang sedang berpeluk tubuh. Pasal dia datang mengejut tadi lah yang buatkan aku lupa segala-galanya! Haissh!

“Aku boleh bilas sendiri lah.” Ujarnya sedikit berani lalu menghampiri ke arah Firash lalu merebut paip air getah itu. Firash sedikit tersentak. Mak ai, ganasnya dia ni! Namun bibirnya mengukir senyum kecil. Lucu dengan gelagat gadis itu yang serba tidak kena saja.

Syaf menghalakan paip getah itu ke tubuhnya walaupun dengan masih bertuala di bahu. Ah lantakla! Kalau basah tuala itu pun, dia tak kisah. Janji lelaki itu tidak nampak apa yang sepatutnya! Sudahlah mata dia tu merenung semacam aje! Ngeri betul!

“Mandi sekali dengan tuala ke?” Sindir Firash apabila melihat gadis itu melalukan air ke tubuhnya. Syaf hanya buat tak tahu saja dengan sindiran Firash itu walau rasa nak balas saja. Dia tahu kalau dia membalas kata-kata Firash itu, sudah pasti lagi lama dia berada di sini. Jadi keputusannya adalah lebih baik dia berdiam diri sahaja.

“Hmm, sombong.” Gumam Firash dalam hati. Dia memegang simpulan tuala itu lalu dengan selamba cuba menariknya keluar. Syaf yang sedang mengawasi gerak-geri lelaki itu hampir-hampir sahaja tertelan air paip. Matanya dibulatkan.

“Eh kau nak buat apa tu?” Soalnya dengan sedikit cemas. Firash tersenyum kecil dan hampir-hampir sahaja ketawa. “Nak mandilah. Takkan nak mandi dengan tuala bagai? Aku bukanlah sopan macam kau pun.” Balasnya lagi. Syaf mengetap bibir. Tengok tu, sempat lagi nak perli aku!

“Kot iye pun, agak-agaklah. Takkan nak berbogel kat sini pulak.” Syaf membalas geram. Geram betul dengan lelaki yang berada di hadapannya ini. Suka-suka hati dia aje nak buat macam tu!

“Eh kalau aku berbogel pun, bukannya berdosa pun.” Balas Firash selamba. Syaf menarik nafas perlahan. Sabar lah wahai hati!

“Ikut kau lah nak buat apa pun. Aku dah nak naik.” Tukas Syaf lalu menarik tuala serta kain batiknya yang ada di tali penyidai tadi. Dan entah kenapa tiba-tiba kakinya terasa tidak dapat menjejak lantai simen itu dengan elok kala terpaksa menarik tuala itu.

“Makk!!” Jerit Syaf sambil memejamkan mata. Habislah aku!

Firash yang tersedar gadis itu seakan-akan mahu tergelincir cepat-cepat menyambar tubuh Syaf dari terjatuh. Dalam hatinya cuma satu, ingin memastikan Syaf tidak terjatuh tergolek di atas lantai simen yang agak licin itu. Dia sudah lupa akan tualanya yang mula terleret ke lantai. Namun nasiblah tadi dia memakai boxer di dalam. Kalau tidak memang haru lah!

Suasana hening seketika. Hanya ombak nafas saja yang menderu. Syaf kaku di dalam pelukan Firash. Tuala yang tersarung dibahunya itu sudah entah ke mana. Kain basahan yang dipakainya sudah separuh terlondeh. Langsung dia tidak menyedari hal itu. Namun apa yang dia tahu sekarang, dia terasa selamat di dalam pelukan lelaki itu.

Syaf perlahan-lahan cuba membuka matanya setelah beberapa detik berlalu. Wajahnya yang tersembam di dada bidang Firash itu dialihkan sedikit. Masih terdengar-dengar degup jantung lelaki itu semasa mereka berpeluk rapat tadi. Namun wajahnya terasa sedikit berbahang apabila menyedari tubuhnya agak separuh terdedah itu.

Firash menelan liur berkal-kali bila menyedari akan keadaan itu. Ditatapnya pemandangan indah itu dengan ralit sekali tanpa berkelip mata. Dia menarik nafas panjang cuba untuk bertenang walaupun perasaannya kala itu sudah mula tidak keruan.

Syaf yang mula menyedari keadaan itu cepat-cepat menarik kain basahannya ke atas dan laju saja mencapai kain tuala serta kain batik yang masih tersidai. Kelam kabut langkahnya sehingga lupa untuk mengambil tualanya yang sudah jatuh ke lantai simen.

Dengan langkah sedikit laju, Syaf meninggalkan Firash yang masih lagi terpegun di situ. Pintu zink itu ditutup kasar dan lalu melangkah ke bahagian dapur. Aduhai, malu gila!

***

“HAH! Nak ke mana tu?” Tegur Tok Wan apabila nampak Firash berjalan terjengket-jengket menuju ke bilik Syaf. Firash tersentak lalu berhenti melangkah. Dia mengetap gigi. Spoil betullah Tok Wan ni! Dia memusing tubuhnya memandang Tok Wan sambil tersengih.

“Nak pergi pinjam charger handphone kat Syaf.” Firash membuat alasan. Huh! Bantai aje lah. Nasib tak kantoi! Kalau lah Tok Wan nampak aku tengah ceroboh bilik Syaf, mampus aku kena ceramah free malam ni!

“Oh, ingatkan nak takutkan Qira ke apa tadi? Kamu tu bukannya boleh berkira sangat. Suka sangat duk usik orang.” Sambung Tok Wan melihat cucu lelakinya itu. Dah besar panjang pun!

“Tak adalah Tok Wan. Firash dah insaf dah. Dulu tu kan Firash kecil lagi, memanglah tak matang lagi.” Balas Firash membuat alasa. Matang sangat lah tu! Umur baru aje masuk 21 tahun ni!

“Yelah. Pergi lah cepat. Dah nak masuk pukul 12 ni. Karang si Qira tu tidur susah pulak.” Sambung Tok Wan lalu menapak menuju ke biliknya. Tadi dia ke dapur untuk membasahkan tekak. Puan Farizah awal-awal lagi meminta diri untuk masuk tidur. Katanya penat memandu tadi siang tadi.

Firash tersenyum lebar. Hampir-hampir saja menjerit di dalam hati. Line clear! Bisik hatinya lalu laju cuba menolak pintu bilik Syaf dari luar. Namun senyumnya mati apabila mendapati pintu bilik itu berkunci dari dalam. Ah! Kacau betul! Getus hatinya sambil ligat berfikir. Macam mana aku nak masuk ni?

Ala, apa susah. Ketuk aje lah. Lagipun tadi kan Tok Wan dah tahu jadi mesti dia tak hairan sangat! Firash kembali mengukir senyum. Tangannya laju mengetuk pintu bilik kayu itu. Hampir empat kali ketukan barulah pintu itu terbuka sedikit dari dalam. Belum sempat Syaf membuka luas-luas, pintu itu sudah ditolak kasar dari luar oleh Firash.

Syaf terkejut sakan melihat kelibat Firash yang dah berada di dalam biliknya itu. Langsung dia lupa akan janjinya dengan Firash petang tadi. Dia menggigit bibir perlahan. Habis lah aku malam ni!

“So?” Firash cepat-cepat mengunci pintu bilik itu dan melangkah mendekati Syaf yang sudah menjauhkan diri darinya. Hai takutke? Petang tadi beria-ia aje setuju?

“Aku...” Syaf sudah menelan lir. Dia memerhatikan dirinya yang hanya berbaju tidur yang separa betis. Memang kena sangatlah dengan malam ni! Macam manalah boleh lupa tadi? Kalau aku tahu, pasti aku pakai jeans dengan jaket sebagai langkah berjaga-jaga!

Firash tersenyum manis sehingga langkah gadis itu terperangkap di dinding. Dia ralit meneliti setiap inci wajah gadis itu yang sudah bersih dari sebarang solekan. Dia menarik nafas panjang apabila haruman lavender yang dipakai gadis itu menusuk ke hidungnya. Damai dan menyenangkan!

“Takpe aku faham. Kalau kau tak sabar, aku lagi tak sabar.” Bisik Firash perlahan pada telinga. Syaf menelan liur berkali-kali dan terperangkap di dinding itu apabila Firash sudah mendekatinya. Tangannya mula berpeluh-peluh walau suasana di kampung itu agak dingin pada waktu malam.

Firash sempat mengerling sekilas ke arah katil yang tidak jauh darinya. Entah kenapa sebuah novel yang berada di atas katil itu menarik perhatiannya. Dia melangkah ke arah katil. Syaf yang sudah berpeluh dingin itu mula gelabah sakan. Habislah aku kalau dia buka novel tu!

“Kau baca novel macam ni?” Soal Firash sedikit pelik. Dia tidak kisah jika novel itu novel cinta. Sudah nama pun perempuan pasti tidak akan lepas dengan novel yang bertemakan begitu. Namun novel yang dipandangnya itu adalah novel thriller. Novel karya Ramli Awang Mursyid, novelis terkenal di Malaysia. Setahunya hanya seorang saja yang dia kenal amat meminati novel begini.

“Err...” Syaf sudah kehilangan kata-kata bila tangan Firash sudah mencapai novel Tombiruo Terakhir itu. Dia menelan liur kesat di saat helaian novel itu diselak.

Firash mendengus geram apabila terpandang sebaris nama yang terukir di helaian muka hadapan novel itu. Patutlah macam tak sedar aje aku ketuk pintu ni tadi! Dia mengalihkan pandang memandang Syaf yang sudah agak pucat itu.

“Kau simpan lagi novel dia ni?” Soal Firash dengan sedikit bergetar. Terasa perasaannya lain macam apabila membaca sebaris nama itu.

“Err..Aku baca aje..Tak simpan pun.” Balas Syaf dengan sedikit tergagap. Hampir-hampir mengetuk kepalanya kerana terbawa novel itu balik ke kampung. Dia bukan sengaja tapi novel itu memang ada di dalam begnya kerana sudah terbiasa membawa ke mana-mana.

No wonder lah kau....” Ayat yang keluar dari mulut Firash itu terhenti saat satu penanda buku terjatuh dari novel tersebut. Syaf memejamkan matanya rapat-rapat. Mati lah aku!

“Farish...” Suara Firash sudah bernada dingin. Penanda buku yang tertampal gambar Farish itu membuatkan hatinya terasa panas. Dia memaku pandang pada gadis itu dengan renungan tajam.

“Apa semua ni?” Soal Firash dengan nada tegas. Serentak dengan itu penanda buku itu dicampak ke wajah Syaf. Syaf terkedu di situ. Hampir saja dia terlompat dengan tindakan Firash itu. Dia menggigit bibir menahan perasaan.

“Firash, dah ambil belum charger tu?” Tiba-tiba kedengaran suara Tok Wan dari luar. Sepantas kilat Firash mencampakkan novel itu ke lantai. Syaf terkebil-kebil melihat Firash yang sudah serba tidak kena. Dia mengerutkan dahi. Charger apa pulak ni?

“Mana charger handphone kau? Aku nak pinjam kejap.” Gesa Firash. Syaf yang agak keliru dengan situasi itu hanya diam. Namun melihatkan wajah Firash yang seperti bengang dengannya, cepat-cepat dia mengambil charger telefon dari beg pakaiannya. Dihulurkan laju pada Firash apabila terdengar bunyi derapan langkah yang makin kuat di luar bilik. Firash menyambutnya laju.

“Kau ingat yang hal ni tak settle lagi.” Firash berkata lalu membuka pintu bilik. Terpacul kelibat Tok Wan di muka pintu memerhatikan mereka berdua dengan pandangan yang tak dapat dimengertikan.

“Ingat nak tidur dalam ni tadi.” Sindir Tok Wan pada Firash yang berjalan melepasinya. Firash berpaling sekilas sambil tersengih. “Ada ke patut Tok Wan cakap macam tu, tak baiklah. Macam lah Firash ni tak tahu halal ke haram.” Firash membalas lalu menuju ke pintu biliknya. Tok Wan memandang Syaf yang tercegat saja di situ sebelum berlalu ke bilik.

Syaf mengeluh nafas kelegaan. Terasa hampir berhenti jantungnya tadi bila melihat renungan mata Firash yang seakan hendak menelannya kala itu. Serius dia takut melihat perbuatan Firash padanya tadi. Seperti dapat membayangkan apa yang akan terjadi keesokan hari.



p/s : sorry n sorry again....


13 comments:

Paujia Bella said...

me also doakan yang terbaik 4u la sis~amin untuk perkhabaran yang baik yg akak post tue..

sYnystEralExGatEs said...

besttttttttttttt! gelak sakan aku bace part perigi tuh! memang lawaksss sungguh! muahahaah! takpe2..ini pun dah ada nk tenangkan hati yg lara..muahahaa! all the best ngn SSid ye kak! be strong..(:

Hajar said...

wah, memang selamba lah si firash nih. haha. agak-agak kantoi tak ngan tok wan nanti? :D

*mudah2an zura sempat siapkan ssid ni on time. Aminn.. :)

Nik Ainaa said...

siapa farish siapa firash ni ? haih ! kan seng kalau ada novel selalu . boleh baca habis sellu , nak tahu kisah dua orang ni .

arin arida said...

wohooo~
:D

Nurfazila Suhaide said...

fuh! nasib baik ada tok wan..

HaYisA neeRzA said...

nak full version!!!! excited nak tau nih hehehe... best la sis :)

wannIza said...

ala akak...nak full version....best sangatttttt!!!

diella said...

ala..lmbt lg ke p2u nk update..pttla slalu bukak xde citer bru updatee..xsabor nk 2gu full version..

nursya said...

fuh...
xsbr tggu citer nie kuar buku nyer...
cik writer cepat2 la abiskan manuskrip...
nti leh g beli nie...
huhuhu...

YONG JIAO XIU said...

tak sabar nak baca yg full pya. hurm skg ni p2u tu mcm lembap sikit lah. update sikit n tak menentu.huhuhu.

zura asyfar said...

farish abang....firash adik....hehe...bersabar yer tgu n3 full kat p2u tu...tuk versi cetak insyaAllah awal tahun depan...p2u?dorang gi bercuti tu...hehe...anyway thnks all sudi bace n komen kt sini :DDD

blinkalltheday said...

bile syaf dgn chad nak lovey dovey ni??ehe..