:: My gangS :: TQVM

Wednesday, September 7, 2011

Cerpen : Aku Miliknya Part 2



“Thanks eh Jepp. Aku masuk dulu lah, dah lambat ni.”

Tarahalla Ji. Aku pun dah nak balik ni.” Balas Jepp. Enjin motor dihidupkan kembali dan motornya menderum laju mengharungi kepekatan malam.

Jiji menolak motor sampai ke laman rumah. Mak Nah yang baru keluar dari pintu rumah itu terus saja mendapatkan suaminya Pak Wan yang berehat di beranda. Dia menghenyakkan punggungnya di kerusi rotan.

“Tengoklah tu anak dara awak tu. Malam-malam macam ni baru balik.” Mak Nah memulakan bebelan. Dilihat suaminya hanya mengerling sekilas ke arah Jiji sebelum kembali menghadap suratkhabar.

“Bukan dia pergi rumah Izzat ke tadi?” Soal Pak Wan tanpa memalingkan muka dari suratkhabar yang dibacanya.

“Memanglah tapi saya tak suka lah dia tu keluar malam-malam macam ni. Bimbang betul saya dengan dia sorang ni. Entah perangai siapa lah yang diikutinya.” Sambung Mak Nah lagi.

“Hmm...Biarlah dia tu. Baru aje semalam balik kampung. Nak pergi jumpa kawan-kawan lah tu agaknya.” Pak Wan membela.

“Saya tak kisah kalau dia nak jumpa kawan-kawan dia tu. Cuma saya bimbangkan kalau dia keluar malam-malam macam ni aje. Dahlah sekarang ni macam-macam hal yang jadi. Saya ni bukan apa bang, bimbang aje dahlah dia anak perempuan. Kalau anak lelaki tak adalah bimbang sangat.” Mak Nah mengeluh bila memikirkan perangai anaknya.

“Dia dah besarlah Nah oi. Pandai-pandailah tu dia jaga diri. Kita ni tawakkal aje lah.” Sambung Pak Wan. Matanya mula menangkap kelibat Jiji yang sudah menolak motor masuk ke garaj.

“Kenapa dengan motor tu?” Tegur Pak Wan. Jiji menolak motor LC nya masuk ke garaj yang sudah memuatkan kereta wira ayahnya dan sebuah motor Honda EX5.

“Entahlah. Tiba-tiba aje mati tadi. Tak tau kenapa.” Jiji mengunci pintu garaj itu dengan mangga sebesar buah mempelam. Kena kunci elok-elok nanti ada pulak yang gatal tangan nak membukanya.

“Hmm, esok kamu cuba la bawak pergi kedai Ah Seng tu. Suruh dia tengok mana-mana yang rosak.” Sambung Pak Wan lagi. Jiji mengangguk perlahan dan mendaki tangga ke beranda rumah. Dia mengerling pada emaknya sekilas sebelum melabuhkan punggung di sebelah emaknya.

“Mak, ayah. Ji nak cakap sikit ni. Harap ayah dengan mak janganlah terkejut.” Tutur Jiji perlahan. Dia melihat emaknya sudah merenung tajam ke arahnya. Air liurnya ditelan kesat. Hendak tak hendak, dia kena juga beritahu hal ini pada emak dan ayahnya. Tak sanggup lagi asyik kena kejar sampai kat kampung. Lagipun hal ini berkaitan dengan masa depannya juga nanti.

“Hah, hal apa pulak tu? Kamu jangan cakap kat kami yang kamu dah buat benda yang tak elok pulak.” Celah Mak Nah. Pak Wan mengeluh lemah melihat sikap isterinya itu. Suka sangat berburuk sangka walhal cerita sebenar belum lagi diketahui.

Jiji yang mendengarnya sudah menelan liur. Kenapa emaknya seakan dapat menebak saja apa yang ada di dalam fikirannya sekarang ini? Tapi betullah apa yang orang cakap, seorang ibu dapat rasa apa yang akan terjadi pada anaknya. Jiji mengeluh perlahan.

“Hal apa tu Ji? Kamu tak cukup duit ke?” Soal Pak Wan. Manakala Mak Nah sedang menjelingnya tajam.

“Bukan pasal duit ayah tapi pasal...” Jiji berjeda lalu menarik nafas perlahan. Nak bagitahu ke tidak ni? Kalau tak bagitahu, karang tak pasal-pasal hidup aku tunggang langgang lepas ni tapi kalau aku bagitahu pun mungkin juga akan jadi perkara yang sama. Susah betul!

“Yang cakap terhenti-henti ni kenapa?” Soal Mak Nah sedikit garang. Tak suka betul dia apabila anaknya itu cakap tergantung.

“Ha’ah Ji. Cakaplah elok-elok sikit. Mak dengan ayah tak faham kalau kamu sekejap cakap sekejap berhenti.” Sambung ayahnya. Jiji memandang tepat muka ayahnya dan mula menarik nafas.

“Sebenarnya Ji nak mintak izin dengan ayah nak kahwin.” Luncur saja ayat yang dikeluarkan oleh Jiji. Seperti sudah dihafalnya ayat itu. Akhirnya dia boleh menarik nafas lega. Sekarang hanya menunggu reaksi emak dan ayahnya saja.

Mak Nah dah bulat mata sementara suratkhabar yang dipegang oleh Pak Wan terjatuh ke atas lantai disebabkan terkejut.

“Kamu dah hilang akal ke Syiza Dania? Belajar pun tak habis lagi, dah pandai nak cakap pasal kahwin?!” Suara Pak Wan tiba-tiba memetir. Jiji dah kecut perut. Dah boleh agak dah akan reaksi ayahnya akan perkara ini namun dia terpaksa.

“Kamu dah buat benda tak elok ke Ji?” Mak Nah bertanya dengan nada seakan hendak menangis. Di fikirannya ketika ini sudah memikirkan perkara bukan-bukan. Jiji terdiam. Tidak tahu untuk menjawab soalan emak dan ayahnya ketika ini.

Jiji turun dari kerusinya dan melutut di kaki ayahnya. Tangannya memegang kedua-dua belah kaki ayahnya seakan merayu.

“Ampunkan Jiji ayah. Tapi Jiji perlukan restu ayah.” Perlahan Jiji bersuara sedangkan Mak Nah sudah mengalirkan air mata.

“Mak...” Lirih Jiji memanggil emaknya.

“Kamu memang dah buat benda tak elok kan Ji?” Soal Mak Nah lagi. Dia memukul-mukul bahu Jiji dengan tangannya. Jiji hanya bertahan dan langsung tidak bergerak. Mukanya tetap memandang ke arah ayahnya yang sudah berdiri. Pandangan tajam dilemparkan oleh Pak Wan kepadanya.

“Ayah, izinkan Jiji untuk berkahwin. Jiji tak kisah kalau ayah nak pukul Jiji sekalipun. Jiji cuma perlukan restu ayah saja.” Rayu Jiji lagi sambil memegang kaki ayahnya. Air mata yang sejak tadi ditahan akhirnya tertumpah juga apabila melihat reaksi ayahnya yang hanya mendiamkan diri.

“Aku boleh bagi kau kahwin tapi dengan syarat, lepas ni kau jangan balik ke rumah ni lagi. Aku dah tak ada anak macam kau.” Ucap Pak Wan mendatar. Kecewa sungguh dia dengan keputusan anaknya untuk berkahwin di usia yang masih muda. Tidakkah anaknya itu terfikir yang dia sanggup menggadaikan sebidang tanah semata-mata untuk membiayai pengajian anaknya itu ke universiti. Kalau hendak berkahwin pun, biarlah habis belajar dan bekerja dahulu. Hatinya terasa seperti disiat-siat. Pedih dan kecewa bersatu.

“Ayah, Jiji mintak maaf ayah tapi jangan halau Jiji ayah.” Ngongoi Jiji dalam tangisan namun Pak Wan sudah melangkah ke dalam rumah.

“Ji, kamu dah buat apa ni Ji?” Soal Mak Nah disertai tangisan.

“Maafkan Jiji mak. Jiji terpaksa buat semua ni.” Balas Jiji lalu memeluk emaknya. Suasana malam yang sudah lewat itu mengukir kenangan pahit buat mereka bertiga.



***



Malam raya kedua Jiji akhirnya selamat dinikahkan dengan Alfezz. Tiada majlis besar-besaran hanya kenduri kecil sahaja yang berlangsung di rumah Jiji. Keluarga Alfezz juga tidak seorang pun yang datang. Hanya kawan-kawan yang bersamanya pada malam itu saja yang kelihatan.Pak Wan pula hanya menunggu sekejap sahaja semasa akad nikah berlangsung dan selepas itu terus menghilangkan diri. Jepp yang hanya dijemput pada pagi raya itu amat terkejut dengan berita yang disampaikan. Namun dia tetap hadir di majlis yang berlangsung di rumah Jiji.

Alfezz yang segak berbaju Melayu berwarna krim itu memandang lama ke arah Jiji yang anggun berbaju kurung moden warna senada. Dia melangkah kaki ke dalam bilik untuk menghilangkan penat yang melayan tetamu yang bertandang. Dilayangkan tubuh ke atas katil yang berhias indah. Dia memejamkan mata buat seketika.

Jiji menguak pintu biliknya. Matanya tertancap pada kelibat Alfezz yang sudah terbaring di atas katil. Wah syoknya dia dapat tidur. Aku jugak yang letih tadi duduk melayan tetamu. Siap dengan layan pertanyaan orang lagi kenapa tiba-tiba saja berkahwin. Memang tak terlayan dibuatnya.

Jiji melabuhkan punggung di atas kerusi berhampiran dengan meja solek. Selendang panjang dan veil yang tersarung di kepala ditanggalkan satu persatu. Rimas semacam saja sebab kena pakai menda alah ni dari tadi tapi kalau tak pakai nanti macam tak lengkap pulak persalinan baju kurung moden tu.

Dia merenung mukanya yang masih bermekap tebal tu. Dah nampak macam opera cina dah sebab putih melepak. Tapi cantik jugak, desis hati Jiji sambil tersenyum kecil. Tanpa perasan, ada mata yang memandangnya dengan pandangan mencebik.

“Kau ingat kau cantik sangat ke mekap macam tu?” Tegur Alfezz yang tiba-tiba. Senyuman Jiji mati. Dia berpaling ke belakang memandang Alfezz yang tengah duduk bersila di atas katil. Tadi aku nampak macam dah lena je. Ni apasal tiba-tiba tegur aku pulak? Mengigau ke apa?

“Kalau tak cantik, tak payahlah tengok.” Balas Jiji geram. Dia bingkas bangun dari kerusinya. Kakinya menghala ke almari pakaian yang terletak berdekatan dengan meja solek.Sehelai tshirt dengan seluar track di ambil lalu berlalu ke bilik mandi. Malas nak layan si Alfezz ni. Baik mandi lagi bagus, sudahlah satu badan rasa melekit ni.

Alfezz memandang tajam Jiji yang sudah berlalu ke bilik mandi. ‘Huh, suka hati dia aje cakap macam tu kat aku. Nasiblah rumah ni rumah dia.’ Desis Alfezz lalu bangun dari katil dan menapak menuju ke hujung bilik. Luggage bersaiz kecil itu ditarik mendekatinya. Sehelai boxer biru gelap ditarik keluar.

Selepas menukar persalinan pengantinnya, Alfezz duduk termenung di katil. Betul ke apa yang aku buat ni? Sudahlah mama dengan papa tak tahu lagi pasal ni. Tapi kalau dia orang tahu pun, aku dah selamat apa, desisnya dalam hati.

Pintu bilik yang terbuka itu sedikit mengejutkannya. Jiji yang lupa untuk mengambil towel itu terpempan apabila melihat tubuh Alfezz yang tersarung dengan boxer sahaja.

“Kau ni kenapa pakai macam tu?” Tegur Jiji. Matanya dialihkan sedikit ke kanan. Tak sanggup melihat tubuh Alfezz yang terdedah itu. Sungguh, inilah kali pertama dia melihat lelaki yang hampir-hampir tak berpakaian. Terasa panas pipinya ketika ini.

“Salah ke aku pakai macam ni?” Soal Alfezz sedikit senyum. Tak tahu pulak yang Jiji ni ada pula rasa malu. Kalau kat uni tu, semedang saja buat muka tak ada perasaan. Selamba saja duduk berkecoh-kecoh dengan budak-budak lelaki. Ni takkan tengok aku yang pakai boxer ni dah mula merah pipi?

“Ikut suka kau lah.” Balas Jiji ke arah rak penyidai. Tuala yang tersidai itu diambil tanpa menyedari yang Alfezz sudah berada di belakangnya.

“Opocot mak kau!” Latah Jiji apabila berpaling ke belakang. Terkejut dia melihat Alfezz yang sudah terpacak berada di belakangnya. Alfezz dah tergelak kecil. Tak tahu pulak yang Jiji ni spesis melatah.

“Hmm, aku tak tahu pulak yang kau ni melatah.” Tegur Alfezz lalu berjalan merapati Jiji sedikit. Jiji yang perasan dengan kehadiran Alfezz yang berada dekat dengannya mula rasa tak sedap hati. Apasal pulak mamat ni rapat dengan aku? Takkan pulak dia nak buat dot dot pulak dengan aku? Seram!!

“Aku tak sengajalah.” Balas Jiji lalu melangkah sedikit ke tepi. Namun langkahannya itu disekat oleh Alfezz.

“Aku nak mandi ni, tepilah sikit.” Pinta Jiji. Matanya menangkap wajah Alfezz yang merenung matanya. Dah tak betul ke apa mamat ni? Dah lupa ke dengan kata-kata dia minggu lepas?

“Aku ikut sekali boleh?” Alfezz mengukir sengih gatal. Sementara Jiji dah bulat mata.

“Aku harap kau still ingat lagi kata-kata kau minggu lepas. Kita kahwin ni sebab nak tutup rahsia je kan? So please ke tepi. Aku nak mandi.” Tegas Jiji bersuara dan merempuh sedikit bahu Alfezz yang menghalang laluannya ketika itu. Alfezz mengeluh perlahan dan menghantar Jiji dengan pandangan lemah. Dia kembali ke katil lalu merebahkan tubuhnya. Kata-kata dari Jiji tadi sedikit sebanyak menganggu perasaannya.



***




Jiji yang sudah siap berpakaian itu mengesat rambutnya yang dipotong pendek itu dengan towel. Dia menuju ke dapur untuk mencari air. Dahaga lah pulak. Sedang dia menuang air masak ke gelas, terdengar suara orang bercakap-cakap. Dia membawa gelas yang berisi air itu menuju ke bilik.

Sebelum sampai ke biliknya, dia berhenti seketika di bilik emaknya yang tidak jauh dari ruang dapur.

“Budak tu tak pergi lagi?” Kedengaran suara ayahnya bertanya. Jiji mendekatkan lagi telinganya ke pintu bilik yang sedikit terbuka.

“Biarlah dia duduk bermalam dulu malam ni. Esok-esok aje lah dia orang pergi.” Balas emaknya. Jiji mengeluh seketika mendengar kata-kata dari ayahnya itu. Nampaknya ayah memang betul-betul nak halau aku dari sini.

“Kan saya dah cakap. Saya tak ada kaitan lagi dengan budak tu. Suruh dia pergi dari rumah ni sekarang sebelum saya mengamuk.” Tegas Pak Wan bersuara. Gelas yang di tangan Jiji hampir saja terjatuh. Terasa tubir matanya mula bergenang.

“Abang ni tak boleh sabar ke sikit? Kan dah tengah malam ni.” Pujuk emaknya.

“Saya tak kira. Tengah malam ke tengah pagi ke, suruh dia orang pergi. Saya dah tak nak tengok muka dia lagi. Apatah lagi dengan muka suaminya yang entah siapa-siapa tu.” Sambung Pak Wan lagi. Kakinya mula melangkah ke luar dari bilik. Jiji yang sedang berdiri di situ terkejut dengan kemunculan Pak Wan.

“Hah, apa tunggu lagi kat sini? Aku dah tak ada anak macam kau. Baik kau pergi berambus sekarang!” Tempik Pak Wan sambil merenung tajam ke arah Jiji. Jiji menelan liur. Kelu lidahnya untuk bersuara. Emaknya yang berdiri di belakang ayahnya memberi isyarat supaya pergi. Akhirnya Jiji mengangguk dan sedikit berlari-lari anak ke bilik.

Pintu bilik yang terbuka sedikit itu dirempuh sedikit lalu dia menuju ke almari pakaian. Alfezz yang baru saja hendak melelapkan mata itu tersentak. Dia menggosok-gosok matanya yang masih mengantuk. Ekor matanya memerhatikan Jiji yang sibuk mengemas.

Jiji menarik luggage besar dari atas almari lalu membukanya kasar. Pintu almari pakaian yang sedia terbuka itu ditariknya kasar. Baju-baju yang masih kemas bersangkut itu dihumban masuk ke dalam luggage. Satu beg kecil yang mengandungi dokumen peribadinya ditarik keluar dari meja studi. Siap.

“Kau kenapa?” Soal Alfezz dengan perkara yang penuh dengan persoalan. Agak terkejut dengan tindakan Jiji yang sibuk berkemas itu. Nak pergi mana tengah-tengah malam macam ni?

Jiji mengangkat muka dan memandang seketika ke arah Alfezz sebelum bersuara perlahan. “ Kena gerak sekarang.”

Alfezz mengerut kening tanda tidak faham. Kena gerak pergi mana malam-malam macam ni? Ada apa-apa benda yang terjadi ke yang aku tak tahu, fikirnya.

“Aku tak faham Jiji. Nak gerak ke mana?” Soal Alfezz. Dia bingkas bangunn dari katil dan berjalan merapati Jiji yang sedang berdiri. Dia perasan mata Jiji yang sedikit memerah. Dia ni menangis ke?

“Aku cakap kena gerak, gerak je lah. Tak ada masa nak explain untuk masa ni.” Balas Jiji. Beg laptop diambil dan disangkut ke bahu. Alfezz merengus kasar. Tak puas hati dengan jawapan Jiji.

“Aku tak nak gerak lah. Dah malam ni kan. Esok-esok je lah.” Alfezz kembali ke katil. Sungguh, dia betul-betul penat sekarang. Dan penatnya makin terasa bertambah mengenangkan perangai Jiji yang seperti sudah dilanda taufan itu. Tadi macam okey saja sebelum keluar dari bilik.

Ian Alfezz please. I’m begging you right now. Kita kena gerak sekarang sebelum ayah aku mengamuk.” Jiji sedikit merayu. Tangannya sempat mencapai lengan Alfezz sehingga lelaki itu tidak jadi untuk berbaring.

Alfezz terpana mendengarkan rayuan dari Jiji itu. Dia berpaling dan merenung tepat wajah mengharap Jiji itu. Tangan Jiji yang memegang lengannya itu disentuh lembut. Jiji yang perasan tangannya masih memegang lengan Alfezz cepat-cepat menariknya kembali. Terasa pipinya berbahang. Macam mana aku boleh pegang lengan dia pulak ni?

“Okey. Kita gerak sekarang. But you owe me big thing , girl.” Senafas Alfezz berkata. Entah kenapa dia rasa simpati melihat wajah Jiji yang beriak seperti itu. Nampak macam sedih tapi tak menangis. Kenapa ya?

“Thanks Alfezz.” Balas Jiji dan merenung biasan tubuhnya di cermin meja solek. Aku kena pakai sweater ni karang sejuk pulak dalam kereta, desis Jiji lalu mencari sweaternya di dalam almari pakaian. Sementara Alfezz sudah mula memakai tshirt dan jeans.

“Okey dah boleh gerak.” Tegur Alfezz pada Jiji yang masih statik di situ. Nampak seperti gadis itu merenung jauh. Jiji yang perasan Alfezz menarik luggagenya itu cepat-cepat bergerak menuju ke pintu.

Jiji merenung sayu ke pintu bilik emaknya sebelum melangkah laju ke luar rumah. Alfezz yang sudah ada di bahagian bonet belakang itu dikerling sekilas. Dia menarik luggage besarnya itu sebelum meletakkannya sekali dengan luggage kepunyaan Alfezz. Hanya beg kecil serta beg laptopnya saja yang dipegang.

‘Selamat tinggal emak. Maafkan Jiji. Nanti Jiji akan jelaskan semuanya pada emak kenapa Jiji sanggup buat macam ni.’ Desis Jiji dalam hati seraya memandang rumahnya buat kali terakhir.

“Cepatlah, tadi nak gerak sangat malam-malam macam ni.” Tegur Alfezz pada Jiji yang masih belum memasuki ke kereta. Jiji mengesat tubir matanya yang berair sebelum membuka pintu kereta.



11 comments:

aeidmn said...

best2~

cactaceous opuntia said...

suspen je cte ni...npe die xnk xplain siap2 kt mk ayah die...huuu

Juju said...

best2 smbg lg kak....^_^

blinkalltheday said...

sambung g~~

Unknown said...

Cepat2 lah sambung.. .
Nk tau apa sebab Jiji buat macam tu

Makanan Kesihatan said...

wah..knape die kawin ea..suspen btul ni..ni bleh jdik e-novel la..heheheh

nick ina said...

wah! bestnya ! suka suka !

zura asyfar addy rifqhiey said...

aeidmn : tqvm ;)

cactac ; hehe...tak explain sbb citer ni pjg lg kut...

juju : tq2..will do ;)

blink : oke :)

ayie : oke2..mmg akn smbung dlm mase tdejat..tgu ea ;)

aisy : nk wat e-novel ke? tak sggup dh kut..bnyk sgt ni..hehe

nick ina : hehe..tqvm

Hajar said...

salam zura. first time komen nih. selalu jadi silent reader je. :)

cerita yang menarik. zura memang suka buat cerita yang suspen ek macam SSID gak.

kalau panjang sangat buat mini novel pun ok. =)

ieda ismail said...

panjang lg ke citer ni???

liyana said...

bez..i like:)
smbung lagi sis

*ape yg ANOY kt atas ni xpuas hati ek?

sis zura,abaikan..
rmai lagi kt luar 2 yg sokong sis
u can do it!